Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Dec 05, 2020 8:30:09 pm

Salam sejahtera kepada rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Adalah diharapkan semua berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga tersayang. 

Sebentar tadi, Menteri Kanan (Keselamatan) mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Negeri Pulau Pinang ditamatkan kecuali untuk Mukim 12, Daerah Barat Daya dan Mukim 13, Daerah Timur Laut. Manakala Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bakal dilaksanakan membabitkan dua lokaliti zon merah iaitu flat-flat di Persiaran Paya Terubong, Relau dan Flat Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban. Kedua-dua penguatkuasaan adalah bermula 7 Disember hingga 20 Disember 2020. 

Justeru, saya mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pengurusan COVID-19 yang telah mempertimbangkan permohonan dicadangkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang (JKKNPP) bertarikh 3 Disember lalu supaya pelaksanaan PKPB di Pulau Pinang hanya di lokasi-lokasi bersasar iaitu mukim atau lokaliti yang terkesan sahaja. 

Beberapa perincian berhubung pelaksanaan PKPD di kedua-dua lokaliti berkenaan adalah seperti berikut:-

(i) Bagi flat-flat di Persiaran Paya Terubong, Relau, jumlah keseluruhan individu yang dijangka tersenarai adalah seramai 10,000 orang. Manakala kawasan Flat Desa Bistari Blok A & B, Batu Uban bakal melibatkan seramai 2,300 orang; 

(ii) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang bertanggungjawab melaksanakan kawalan di lokasi-lokasi berkaitan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA);

(iii) Prosedur Operasi Standard (SOP) lanjut berhubung pelaksanaan PKPD di kedua-dua lokaliti berkenaan bakal diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang dan PDRM dalam tempoh terdekat;

(iv) Sebagaimana dicadangkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), terdapat keperluan pelaksanaan PKPD di kedua-dua lokaliti untuk mencegah penularan wabak COVID-19 dalam kalangan penduduk setempat tanpa memberi risiko penularan kepada komuniti sekitar; 

(v) Semua penduduk di lokaliti PKPD diseru untuk memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan dan juga pejabat kesihatan daerah (PKD) bertugas.

Dengan ini, saya berharap seluruh rakyat Pulau Pinang akan terus mematuhi SOP ditetapkan dalam usaha kita memutuskan rantaian perebakan pandemik ini di Negeri Pulau Pinang secara keseluruhan. 

Kita mampu lakukannya dan kita mampu menang. Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top