Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Dec 03, 2020 4:54:01 pm

Salam sejahtera kepada rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Saya berharap semua berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga tersayang. 

Dalam tempoh tiga (3) hari lagi, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan selama 28 hari (sehingga 6 Disember 2020) di hampir seluruh negeri Semenanjung Malaysia bakal mencapai tempoh matangnya. Justeru, kita perlu menunggu pengumuman lanjut daripada Kerajaan Persekutuan berhubung perkara berkaitan. Kita di Pulau Pinang mengharapkan supaya keputusan yang baik dapat dilaksanakan bagi mengimbangi aspek kesihatan awam serta pemulihan ekonomi yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19. 

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang (JKKNPP) Bilangan 16/2020 yang berlangsung pada pagi ini adalah amat penting yang mana penilaian risiko daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bakal dijadikan garis panduan serta kesiapsiagaan terhadap sebarang pengumuman lanjut kelak. Justeru, beberapa makluman dan ketetapan yang diputuskan sebentar tadi adalah sebagaimana berikut:-

(i)  Sehingga 2 Disember 2020, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaporkan bahawa terdapat 14 kluster aktif di Negeri Pulau Pinang iaitu Kluster Penjara Reman; Kluster Penjara Seberang Perai; Kluster Bayan; Kluster Tembaga; Kluster Permatang; Kluster Intan; Kluster Rengas; Kluster Rajawali; Kluster Beringin; Kluster Damar Laut; Kluster Assumption; Kluster Bayam Indah; Kluster Summer dan Kluster Seri Pasir. Mukim 12 di Daerah Barat Daya dan Mukim 13, Daerah Timur Laut sehingga 2 Disember 2020 masih berada dalam zon merah manakala Mukim Georgetown; Mukim 6, Daerah Seberang Perai Selatan; Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara dalam zon jingga;  

(ii)  Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pulau Pinang memaklumkan bahawa saringan terhadap pekerja-pekerja warga asing di bawah program saringan khas COVID-19 menggunakan kaedah RTK Antigen sebagaimana diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dilaksanakan bermula 9 Disember 2020 bagi kawasan zon merah manakala 16 Disember 2020 bagi lain-lain kawasan. Pelaksanaan turut melibatkan usaha sama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pulau Pinang (JTKPP). Justeru, majikan-majikan dimohon untuk merujuk kepada portal rasmi PERKESO berkaitan program saringan ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai prosedur pelaksanaan serta klinik-klinik panel dilantik oleh PERKESO dan KKM; 

(iii)  Setiap Pegawai Daerah diminta mengenal pasti lokasi-lokasi mengikut kesesuaian diperlukan JKNPP bagi kesiapsiagaan fasiliti kuarantin dan rawatan susulan aktiviti saringan COVID-19 untuk menampung lonjakan kes sekiranya ia berlaku. Pendekatan ini adalah sebagai tambahan kepada kemudahan di Kompleks Masyarakat Penyayang (KMP) kini. 

(iv)  Mesyuarat membuat ketetapan supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan pelaksanaan PKPB di Pulau Pinang hanya di lokasi-lokasi bersasar iaitu mukim atau lokaliti yang terkesan sahaja. Justeru, Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang (MKNPP) dimohon untuk membawa cadangan ini kepada mesyuarat Sidang Khas MKN yang dijadualkan berlangsung pada esok, Jumaat bertarikh 4 Disember 2020.

Sebagaimana kita maklum, wabak COVID-19 ini telah berada dalam komuniti kita. Justeru, dalam usaha memutuskan rantaian perebakan pandemik COVID-19, kita umumnya perlu bekerja sebagai satu pasukan. Ayuh, bersama-sama kita terus berusaha serta berdoa untuk Pulau Pinang kembali sebagai Negeri hijau. 

Teruskan penjagaan kendiri, patuhi SOP, amalkan amalan 4P dan kita mampu menang. Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top