Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Nov 13, 2020 6:38:57 pm

Salam sejahtera rakyat Pulau Pinang yang dikasihi. 

Susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang berlaku membabitkan beberapa buah kilang di negeri ini, Kerajaan Negeri ingin menegaskan pentingnya pelaksanaan tatacara operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara lebih ketat sebagaimana digariskan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI) dari semasa ke semasa terhadap semua syarikat/kilang bawah Sektor Perkhidmatan Ikhtisas dan Profesional serta Sektor Pembuatan di negeri ini.

Serentak itu, berasaskan kandungan surat Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini, semua syarikat dan kilang juga dikehendaki menubuhkan Jawatankuasa Protokol Tindakbalas Kecemasan (taskforce) sekiranya terdapat pegawai serta pekerja yang dijangkiti COVID-19. Malah, pihak pengurusan juga digesa untuk TIDAK MEMBENARKAN pegawai serta pekerja yang mengalami demam dan/atau mempunyai gejala untuk hadir bekerja dan harus memastikan mereka mendapatkan rawatan bagi memastikan tempat kerja tersebut adalah selamat.

Justeru, kedua-dua PBT iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) adalah diminta supaya meneruskan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap semua syarikat/kilang di bawah Sektor Perkhidmatan Ikhtisas dan Profesional serta Sektor Pembuatan yang tidak mematuhi SOP ditetapkan di bawah PKP yang dikuat kuasakan dari semasa ke semasa. 

Kepada seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang, setiap seorang daripada kita adalah frontliners. Wabak COVID-19 telah berada dalam komuniti kita, justeru, teruskan penjagaan kendiri, patuhi SOP dan amalkan amalan 4P. Jangan sesekali sebarkan maklumat-maklumat yang diperoleh daripada sumber yang tidak sahih yang mampu mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat. 

Bersama-sama kita putuskan rantaian jangkitan pandemik ini. Kita mampu menang.

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top