Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Nov 09, 2020 3:20:26 pm

Salam sejahtera kepada rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. 

Hari ini, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah berkuat kuasa selama 28 hari (sehingga 6 Disember 2020) di hampir seluruh Negeri-negeri Semenanjung Malaysia kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis.

Di Pulau Pinang, antara pendekatan awal yang diambil sebelum pelaksanaan PKPB kini adalah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melibatkan kawasan Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Negeri Pulau Pinang bermula 15 Oktober sehingga 11 November 2020; PKPD di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai (22 Oktober hingga 18 November 2020) serta PKPB membabitkan Mukim 12 (6 November hingga 19 November 2020) dengan tujuan untuk mengehadkan pergerakan individu di kawasan terkesan dan seterusnya mengawal perebakan wabak pandemik COVID-19 dengan lebih berkesan. 

Pagi ini telah berlangsungnya Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang (JKKNPP) Bilangan 15/2020, beberapa makluman dan ketetapan yang diputuskan adalah sebagaimana berikut: 

(i) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaporkan bahawa terdapat tujuh (7) kluster aktif di Negeri Pulau Pinang kini iaitu Kluster Penjara Reman; Kluster Penjara Seberang Perai; Kluster Bayan; Kluster Tembaga; Kluster Permatang; Kluster Alma dan terbaru adalah Kluster Intan; Mukim 12 dan Mukim 13 kini telah bertukar menjadi zon merah selain Mukim Georgetown bagi Kluster Penjara Reman dan Mukim 6 (Kluster Penjara Seberang Perai) ekoran pelaporan jumlah kes aktif sebanyak 41 kes dan ke atas di lokasi-lokasi berkenaan;

(ii) JKNPP mencadangkan supaya PKPD bagi Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Negeri Pulau Pinang yang akan tamat pada 11 November 2020 supaya tidak disambung dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKPB, manakala PKPD bagi Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai dilanjutkan (selepas tarikh tamat pada 18 November 2020). MKNPP akan membawa cadangan berkaitan ke peringkat Pusat bagi pertimbangan lanjut;

(iii) Bagi membendung perebakan kes Kluster Intan yang majoritinya di Mukim 13, JKNPP diminta supaya meneruskan pemantauan dan mempertimbangkan sama ada PKPD perlu dilaksanakan memfokuskan lokaliti-lokaliti khas berkaitan;

(iv) Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang (MKNPP) dimohon oleh JKKNPP untuk mengemukakan rayuan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pusat berhubung pengoperasian pusat-pusat jagaan kanak-kanak swasta demi keperluan ibu bapa yang perlu bekerja pada tempoh PKPB;

(v) Bagi aktiviti keagamaan untuk agama Islam dan bukan Islam, garis panduannya akan diperhalusi dan ditentukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta Kerajaan Negeri termasuk perincian SOP bagi sambutan Deepavali di negeri ini;

(vi) Ketua Polis Pulau Pinang memaklumkan bahawa sebanyak 31 lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) dijalankan sepanjang tempoh PKPB dengan membabitkan 1,294 keanggotaan bertugas dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA); 

(vii) Bagi garis panduan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan membuat pengumuman perlu dari semasa ke semasa termasuk pembukaan taman dan lokasi rekreasi di bawah seliaan masing-masing. 

Umumnya, saya menaruh keyakinan terhadap semua pihak dalam menangani pandemik ini, dan kita perlu bekerja sebagai satu pasukan dalam usaha membendung COVID-19 daripada terus merebak dalam negara dan Negeri Pulau Pinang khasnya. 

Sebagaimana kita maklum, wabak COVID-19 ini telah berada dalam komuniti kita. Teruskan penjagaan kendiri, patuhi SOP dan amalkan amalan 4P. Setiap seorang daripada kita adalah frontliners, justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk bersama-sama putuskan rantaian jangkitan pandemik ini. Kita mampu menang, Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top