Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Nov 05, 2020 2:42:00 pm

Salam sejahtera kepada rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. 

Berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12, Daerah Barat Daya berkuat kuasa esok iaitu 6 November hingga 19 November 2020, saya telah mengadakan perbincangan lanjut dengan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang (MKNPP) sebentar tadi bagi penelitian mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. 

MKNPP memaklumkan bahawa SOP lengkap PKPB di Mukim 12 telah disediakan dan dikemukakan kepada Kerajaan Pusat. Antara intipatinya adalah:-

(i) Kawasan utama yang terlibat adalah Bayan Lepas; Bayan Baru; Queensbay; Zon Perindustrian Bayan Lepas (FTZ); Sungai Ara dan Batu Maung dengan membabitkan kawasan seluas 26.7 kilometer/persegi dan anggaran populasi adalah berjumlah 150,000 orang; 

(ii) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengumumkan penugasan lapangan pihak berkaitan pada hari ini termasuk lokasi-lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) terlibat;

(iii) Aktiviti sektor ekonomi dan industri di kawasan PKPB boleh beroperasi berdasarkan pematuhan SOP yang ditetapkan; 

(iv) Pergerakan keluar/masuk merentas kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan. Hanya pekerja yang mempunyai pas pekerja yang sah ATAU surat kebenaran daripada majikan dibenarkan untuk tujuan bekerja dan menjalankan tugas; 

(v) Hanya dua (2) orang sahaja yang dibenarkan dalam sesebuah kenderaan bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan/keperluan asas, perubatan dan lain-lain keperluan perlu. Individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak adalah tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak; 

(vi) Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres dan teksi/e-hailing adalah dibenarkan beroperasi; 

(vii) Aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal dan dijalankan secara individu dengan tidak melebihi 10 orang di kawasan sama serta terbuka adalah dibenarkan; 

(viii) Institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz dan pusat jagaan kanak-kanak adalah perlu ditutup dalam tempoh ini. 

(ix) Kerajaan Pusat akan mengeluarkan perincian SOP penuh sebagai rujukan semua. 

Sehubungan itu, saya sekali lagi meminta supaya mereka yang terlibat terutamanya penduduk di Mukim 12, Daerah Barat Daya supaya terus bertenang dan mematuhi SOP pelaksanaan PKPB yang ditetapkan. 

Terus amalkan amalan 4P dan bersama-sama kita putuskan rantaian perebakan pandemik COVID-19. Kita mampu menang, Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top