Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Jun 09, 2020 3:59:18 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya dikasihi. Salam sejahtera. 

Hari ini memasuki hari ke-84 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hari terakhir bagi PKP Bersyarat ataupun PKPB. Esok iaitu pada 10 Jun 2020, kita akan memasuki tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mana bakal memperlihatkan hampir keseluruhan sektor ekonomi dan sosial beroperasi sepenuhnya di seluruh negara kecuali lain-lain sektor dalam kategori yang dilarang sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Jun 2020 iaitu hari Ahad. 

Terima kasih dan sekalung penghargaan diucapkan kepada barisan hadapan atau frontliners, agensi kerajaan sama ada Pusat ataupun Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan-badan korporat sama ada pihak syarikat atau orang-perseorangan dan komuniti-komuniti setempat yang begitu komited sehingga berjaya mengekalkan status Pulau Pinang sebagai negeri Hijau yang kini telah memasuki hari ke-33. Syabas!

Tidak dinafikan bahawa ramai yang ternanti-nantikan tempoh PKPP. Yang berniaga telah berbulan terjejas pendapatannya; yang merindui ibu bapa di kampung halaman akhirnya boleh kembali ke kampung masing-masing; kepada kaki sukan, akhirnya aktiviti tanpa melibatkan sukan berkumpulan telah dibenarkan; dan kepada yang telah tiga bulan tidak ke kedai gunting, tidak sabar rasanya. 

Berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP, apabila Kerajaan Pusat membuat pengumuman, akan adanya tatacara operasi standard (SOP) yang diserah atau dikongsi dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) setiap negeri untuk dikaji, diteliti serta disesuaikan mengikut keperluan negeri masing-masing, dan negeri Pulau Pinang adalah tidak terkecuali. 

Sebagaimana ditekankan pada peringkat awal bahawa sebarang keputusan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah berdasarkan keseimbangan kesihatan dan sosial ekonomi rakyat negeri ini atau sinonimnya, we need to safeguard our lives and our livelihood. 

Strategi serta pendekatan beransur-ansur mengikut fasa yang diambil oleh Kerajaan Pusat membuktikan bahawa keputusan Kerajaan Negeri dalam Strategi Pemulihan Berperingkat adalah tindakan yang tepat sehingga kini. Malah, apa yang dipraktik serta dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sehingga ke hari ini adalah tidak pernah atau sama sekali melanggari akta atau undang-undang diperuntukan oleh Kerajaan Pusat. 

Justeru, dakwaan Menteri Kanan Pertahanan bahawa negeri Pulau Pinang menolak pematuhan PKPP adalah tidak berasas sama sekali. Pada jam 7.13 petang, 7 Jun 2020, kenyataan saya dengan jelas menyatakan bahawa Pulau Pinang akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri sejajar dengan usaha bagi mencapai keseimbangan antara kesihatan awam dengan kehidupan rakyat, dan pembukaan secara berperingkat sektor ekonomi, sosial, budaya, pendidikan serta keagamaan ke arah mencapai normalisasi pasca COVID-19. 

Turut dinyatakan di dalam kenyataan saya juga adalah mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang akan berlangsung pada hari Selasa, 9 Jun 2020 bagi meneliti pelaksanaan PKPP di negeri Pulau Pinang, dan keputusannya akan diumumkan pada hari yang sama sebagai rujukan lanjut semua pihak di negeri ini. Justeru, ingin saya tekankan bahawa JKKN ditubuhkan atas arahan Kerajaan Pusat dan Ketua Menteri dilantik sebagai pengerusi untuk memastikan kita dapat melawan COVID-19 secara menyeluruh dan bersama-sama. Oleh itu, Menteri Kanan tidak harus menganggap JKKN sebagai rubber-stamp sahaja. 

Realitinya, tuduhan bahawa Pulau Pinang tidak mahu mengikut atau melaksanakan PKPP adalah terbukti salah. Ini kerana, berdasarkan minit mesyuarat JKKN bertarikh 2 Jun 2020 iaitu pada minggu lepas yang mana Mesyuarat telah bersetuju bahawa Perintah Kawalan Pergerakan masih boleh dilanjutkan tetapi PERLU seiring dengan pemulihan sosial ekonomi dan ia tertakluk kepada keputusan Kerajaan Persekutuan. Berasaskan prinsip ini, agensi-agensi negeri adalah diarah supaya menyediakan SOP-SOP berkaitan yang ketat sebagai persiapan kemungkinan lebih banyak sektor sosial ekonomi dibuka kelak. Ini terbukti dan secara terang menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah sentiasa bersedia dan menyambut baik seruan serta sebarang pengumuman daripada Kerajaan Pusat. 

Saudara dan saudari sekalian, 

Saya sayang serta amat ambil berat akan rakyat negeri ini, dan ia sentiasa menjadi pegangan utama saya untuk menjaga kebajikan serta kesejahteraan anda semua. Saya perhatikan semua maklum balas yang tercatit di dalam Facebook saya. Saya mengambil maklum semua berkaitan.

Sebagaimana dinyatakan, pagi ini telah berlangsungnya mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang, antara intipatinya adalah sebagaimana berikut:- 

(i) Di dalam mesyuarat berkaitan, sekali lagi saya tekankan dan tegaskan bahawa Pulau Pinang akan melaksanakan PKPP sepenuhnya bermula ESOK iaitu 10 Jun 2020 bagi sektor-sektor perniagaan dan ekonomi di seluruh negeri sebagaimana pengumuman Kerajaan Pusat. Cadangan tersebut telah dipersetujui secara sebulat suara oleh ahli-ahli mesyuarat. Maknanya, PKPP akan dilaksanakan dengan SEPENUHNYA mulai ESOK, 10 Jun 2020. 

(ii) Mesyuarat juga bersetuju bahawa lain-lain sektor yang di dalam senarai kategori dilarang sebelum ini akan dibuka secara berfasa sebagaimana bakal diumumkan oleh Kerajaan Pusat dari semasa ke semasa. 

(iii) JKKN akan mengetuai Jawatankuasa Pemantauan Peringkat Negeri berhubung pelaksanaan tujuh (7) Teras Strategi PKPP serta Fasa Normalisai yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan akan dilaksanakan di peringkat negeri secara terselaras serta bersepadu. Tujuh (7) strategi berkenaan adalah meliputi, kumpulan kerja pengukuhan kesihatan awam; pengukuhan kawalan sempadan; pemerkasaaan tanggungjawab komuniti; pembudayaan kebiasaan baharu; perundangan dan penguatkuasaan; pembukaan sektor ekonomi dan perlindungan golongan berisiko. 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

Setakat ini, kita dapat perhatikan bahawa perindustrian Pulau Pinang beransur kembali normal walaupun kita perlu suatu tempoh masa lagi untuk mengembalikan pencapaian ekonomi yang lebih baik. 

Walaupun kadar pengangguran kebangsaan meningkat daripada 3.3 peratus pada Februari 2020 kepada 3.9 peratus pada Mac 2020, pasaran kerja di Pulau Pinang masih lagi kukuh dan memerlukan pekerja dalam pelbagai bidang industri. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangkakan bahawa Pulau Pinang mampu menawarkan 18,886 peluang pekerjaan bernilai tinggi hasil daripada pelaburan yang direalisasikan pada tahun ini. 

Malah, sukacita ingin saya kongsikan di sini juga, walaupun berdepan krisis wabak, syarikat teknologi antarabangsa, Bosch mengumumkan bahawa pihaknya telah memeterai perjanjian jual beli dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk membangunkan sebuah kilang baru di Batu Kawan pada minggu lalu. Pada tempoh masa sama, syarikat teknologi perubatan terbesar dunia, B Braun juga telah mengumumkan peningkatan keupayaan kilang miliknya di Pulau Pinang sebanyak tiga kali ganda.

Kesemua ini membuktikan keyakinan para pelabur yang bernilai tinggi terhadap keupayaan negeri Pulau Pinang secara menyeluruh. 

Dalam sektor pelancongan, Kerajaan Negeri yakin bahawa melalui Pelan Tindakan Pemulihan Pelancongan, Pulau Pinang akan bangkit semula sebagai lokasi pelancongan popular bukan sahaja atas faktor keindahan, keenakan makanan serta kekayaan budaya, bahkan disebabkan kita merupakan sebuah negeri yang selamat, dan sihat untuk pelancong serta komuniti tempatan. Konsep Responsible Tourism ataupun Pelancongan Bertanggungjawab akan diserapkan dalam Pelan Tindakan Pemulihan Pelancongan bagi memastikan kelangsungan sektor berkenaan.

Mengimbas kembali kepada pencapaian Pulau Pinang setakat ini, walaupun segala perancangan sebelum ini telah tergendala dalam tempoh lebih daripada tiga bulan, saya yakin bahawa negeri kita masih berada di landasan ke arah merealisasikan Visi Penang2030 iaitu Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. 

Tidak dinafikan bahawa wabak COVID-19 ini telah mempercepatkan lagi beberapa inisiatif seperti pendigitalan yang sememangnya sudah dirancang dalam dasar Visi Penang2030 sebelum ini. Malah, penggunaan teknologi pintar merupakan salah satu faktor kejayaan kempen Penang Lawan COVID-19 sehingga detik ini.  

Sebagai mengakhiri siaran mesej saya hari ini, adalah menjadi harapan saya agar selaras dengan pelaksanaan PKPP dan kebenaran untuk membuka semula semua sektor serta aktiviti yang berkaitan di negeri ini, rakyat Pulau Pinang adalah diseru untuk terus berdisiplin dalam mematuhi SOP yang ditetapkan demi keselamatan diri, keluarga tersayang dan juga komuniti kita. 

Janganlah sia-siakan usaha kita selama 83 hari ini. Sentiasa amalkan amalan 4P iaitu: 

1.   Penjarakan sosial;

2.   Pakai pelitup muka;

3.   Pencucian tangan dengan sabun;

4.   Perhatikan gejala COVID-19 sama ada pada diri kita mahupun orang di sekeliling kita.

Gunakan aplikasi PGCare untuk membantu pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses pengesanan kontak. Ini adalah penting untuk memastikan kita boleh mengambil tindakan pantas dalam mengekang penularan wabak pandemik ini jika munculnya kes-kes baharu. 

Akhir sekali, yakinlah bahawa jika Pulau Pinang berjaya melawan COVID-19, kita akan berjaya bangkit semula. Kerajaan Negeri sentiasa bersamamu di dalam perjalanan pertempuran ini. 

Penang Lawan COVID-19!

Sekian terima kasih. 

CHOW KON YEOW

Back to top