Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Jun 02, 2020 5:14:00 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya dikasihi. Salam sejahtera. 

Hari ini merupakan hari ke-77 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan peringkat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bakal berakhir dalam tempoh seminggu lagi. 

Di bawah PKPB, seluruh negara, termasuk Pulau Pinang yang mempraktikkan ‘Strategi Pemulihan Berperingkat’ memperlihatkan yang mana hampir semua sektor sudah dibenarkan untuk beroperasi semula, dan terdapat sebahagian masih tertakluk kepada keputusan peringkat Kerajaan Persekutuan. 

Syukur, lengkung perebakan sudah berjaya diratakan. Mengikut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes positif COVID-19 baru yang dilaporkan di seluruh negara semalam hanya sebanyak 38 kes dengan kadar kes discaj sebanyak 51 kes. Kadar kesembuhan dan discaj keseluruhan sehingga semalam adalah 6,404 kes iaitu mencapai 81.51 peratus. 

Di Pulau Pinang, kita sudah 25 hari berada dalam zon Hijau. Dalam kata lain, sudah hampir empat (4) minggu tiada sebarang kes COVID-19 dicatatkan. Sebagai makluman, pekerja asing turut disaring di Pulau Pinang bagi memastikan tiada penularan dalam kalangan mereka. Sehingga 28 Mei 2020, di pihak berkuasa tempatan (PBT), seramai 9,654 pekerja warga asing telah menjalani pemeriksaan saringan dan syukur bahawa keputusan sehingga kini adalah negatif. 

Pada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga akhir Mei 2020, seramai 1,765 pekerja warga asing membabitkan 56 lokasi telah disaring. Dalam pada itu, pemeriksaan turut diadakan dalam kalangan penjaga serta penghuni di 38 pusat jagaan warga emas, dan seramai 1,888 pekerja di 77 pasar di seluruh negeri ini turut menjalani saringan. Terbaru, pemeriksaan saringan turut dijalankan terhadap mereka di Depoh Tahanan Imigresen. Umumnya, pendekatan-pendekatan ini diambil sebagai langkah dalam mengekalkan status negeri Hijau kita yang mana ia menjadi komitmen utama Kerajaan Negeri.

Setakat 31 Mei 2020, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang menunjukkan bahawa kadar pematuhan PKPB di negeri ini mencecah 97.3 peratus membabitkan laporan di 17 lokasi sekatan jalan raya dengan kekuatan 108 pasukan pemantau PDRM. 

Syabas diucapkan kepada barisan kesihatan serta keselamatan kita, dan terima kasih rakyat Pulau Pinang!

Segala pencapaian ini membuktikan bahawa keputusan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan ‘Strategi Pemulihan Berperingkat’ adalah berkesan dalam memastikan rakyat Pulau Pinang terus terlindung daripada wabak pandemik ini dengan memfokuskan kepada keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi. 

Saudara-saudari sekalian, 

Pagi ini, saya telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang, antara perkara yang dipersetujui adalah seperti berikut:-

(i) Senario selepas 9 Jun 2020, Mesyuarat bersetuju bahawa Perintah Kawalan Pergerakan, sama ada Bersyarat ataupun sebaliknya, ia masih boleh dilanjutkan tetapi PERLU seiring dengan pemulihan sosial ekonomi dan ia tertakluk kepada keputusan Kerajaan Persekutuan. Serentak itu, berasaskan prinsip ini, agensi-agensi negeri diarah supaya menyediakan tatacara operasi standard (SOP-SOP) berkaitan yang ketat sebagai persiapan kemungkinan lebih banyak sektor sosial ekonomi dibuka kelak. 

(ii) Memandangkan sudah hampir empat (4) minggu kita berada dalam zon Hijau, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa bagi pembukaan semula taman-taman rekreasi di Pulau Pinang ia adalah dibenarkan bermula 6 Jun 2020, Sabtu sebagaimana senarai berikut: Taman Bandaraya (Youth Park); Taman Metropolitan Relau; Taman Botani Pulau Pinang; kawasan mendaki Bukit Jambul; aktiviti mendaki Bukit Bendera dari laluan warisan di kaki bukit stesen dan pintu jalan jeep Bukit Bendera (hanya untuk pejalan kaki). Waktu operasi adalah dari jam 7 pagi hingga 7 malam dan bilangan pengunjung adalah terhad kepada 200 orang pada satu-satu masa KECUALI Taman Metropolitan Relau yang hanya terhad kepada 50 orang sahaja pada satu-satu masa. Semua pengunjung adalah perlu mendaftarkan diri secara individu melalui imbasan kod QR aplikasi PGCare. 

(iii) Semua Hutan Simpanan Kekal di bawah seliaan Jabatan Perhutanan iaitu Taman Bukit Panchor, Teluk Bahang, Cherok Tokun, Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam dan Bukit Juru masih KEKAL DITUTUP, manakala Taman Negara Pulau Pinang di bawah seliaan Jabatan Perhilitan serta taman rekreasi dan empangan di bawah seliaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga masih KEKAL DITUTUP

(iv) Bermula semalam, 1 Jun 2020, sebanyak 15 buah taska di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dibuka dengan kawalan pematuhan tatacara operasi standard (SOP) ketat. Bagi tadika, Mesyuarat meminta supaya ia dibawa kepada pertimbangan Kerajaan Persekutuan bagi tempoh pembukaan. 

(v) Bersempena musim durian kini, bagi membantu golongan peniaga mikro yang turut terkesan ekoran impak penularan wabak COVID-19, gerai durian hanya dibenarkan menjual secara ‘take away’ SAHAJA bermula 4 Jun 2020, Khamis berdasarkan SOP ketat pihak berkuasa tempatan (PBT).  

(vi) Bagi memastikan pemasaran hasil tangkapan laut nelayan di Pasar Bisik Penaga, Seberang Perai Utara (SPU) yang kini operasinya disita selama tujuh (7) hari, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Pejabat Daerah SPU, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Exco bertanggunggjawab akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung hal berkaitan. 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

Sama ada PKPB akan dilanjutkan ataupun diperketatkan, saya tiada jawapannya. Persoalannya, adakah kita bersedia untuk mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada PKP ataupun PKPB, dan mengucapkan ‘selamat datang’ kepada normal baharu dalam kehidupan harian kita. 

Apa yang kita bakal dan perlu hadapi serta praktikkan di dalam normal baharu ini? Sama ada sudi atau tidak, kita perlu hadapinya, oleh itu, komitmen kita adalah perlu terutamanya dalam memastikan keselamatan diri, orang tersayang dan juga komuniti kita terjamin. Justeru, saya berharap, rakyat Pulau Pinang tetap mengambil pendekatan berwaspada.

Amalkan amalan 4P, iaitu:

1.   Penjarakan sosial;

2.   Pakai pelitup muka;

3.   Pencucian tangan dengan sabun;

4.   Perhatikan gejala COVID-19 sama ada pada diri kita mahupun orang di sekeliling kita.

Pada masa sama, gunakan aplikasi PGCare untuk merekodkan pergerakan kita agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh melaksanakan pengesanan kontak dengan pantas sekiranya berlaku kes COVID-19 yang baru. Sebagai rekod, sehingga jam 2 petang tadi, sebanyak 14,665 premis perniagaan di Pulau Pinang telahpun mendaftarkan premis mereka di bawah aplikasi PGCare, dan hampir 500,000 pengguna telah merekodkan 1.9 juta check-in. 

Kita jaga kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita. 

Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi,

Di sini saya ingin menyampaikan satu berita terkini yang baru diterima. 

Kerajaan Persekutuan telah membatalkan peruntukan RM100 juta yang bertujuan untuk membangunkan satu sistem kereta kabel alternatif bagi Bukit Bendera. 

Peruntukan ini diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan dalam Belanjawan 2020 pada Oktober 2019 yang lalu oleh mantan Menteri Kewangan. 

Sebagai makluman, kajian pra-kebolehlaksanaan atau ‘pre-feasibility study’ projek kereta kabel kini masih dalam proses dan dijangka akan siap pada separuh kedua tahun ini. Semua maklumat, data serta usul daripada kajian ini akan difailkan untuk kegunaan masa depan.

Ekoran pengumuman ini, saya berasa amat kecewa dengan keputusan Kerajaan Persekutuan tersebut. Pemansuhan peruntukan RM100 juta ini sudah tentu akan membawa kesan bukan sahaja kepada kesinambungan pelan pembangunan Bukit Bendera, malah ekonomi Pulau Pinang secara amnya.

Dalam keadaan ekonomi yang muram akibat wabak COVID-19, pelaksanaan projek infrastruktur awam bakal memberi rangsangan kepada pasaran tempatan, menyediakan peluang pekerjaan dan pelbagai kesan riak (ripple effect) kepada pembangunan ekonomi negeri. 

Sebagai tindakan lanjut, Kerajaan Negeri sudah tentu akan meneruskan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan tentang isu ini demi kepentingan rakyat dan negeri Pulau Pinang. Sepatutnya Kerajaan Persekutuan perlu memastikan peruntukan kepada pihak negeri ditingkatkan untuk membantu rakyat mengharungi cabaran ekonomi akibat wabak COVID-19. Tanpa berbincang dengan Kerajaan Negeri dan tanpa maklum balas daripada rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh, Kerajaan Persekutuan telah memansuhkan peruntukan penting berkaitan. Kerajaan Persekutuan seakan-akannya menghukum rakyat Pulau Pinang dalam isu ini.

Justeru, saya berharap seluruh rakyat dan negeri Pulau Pinang akan bersatu dan teguh menghadapi cabaran wabak dan situasi ekonomi kini. Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk melindungi rakyat serta ekonomi negeri demi memastikan Pulau Pinang sentiasa berdaya maju.

Walaupun apapun yang berlaku, Kerajaan Negeri akan sentiasa sentiasa bersama anda semua. Saya percaya dan yakin orang Pulau Pinang mampu harungi dan menang dalam pertempuran ini.  

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top