Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

May 21, 2020 2:19:00 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya dikasihi. Salam sejahtera. 

Hari ini merupakan hari ke-65 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan kini kita berada di peringkat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mana masih memperuntukkan pemantuhan terhadap semua syarat-syarat yang dikuatkuasakan. 

Semalam, kita dikejutkan dengan kes-kes baru di dua negeri yang sebelum ini telah diisytiharkan sebagai negeri Hijau. Ini bermakna, hanya negeri Pulau Pinang dan Perlis sahaja yang memegang status Hijau di Malaysia kini. Justeru, kita semua memainkan peranan penting dalam terus mengekalkan status ini. 

Bermula Isnin lepas, 18 Mei 2020, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membenarkan dine-in atau makan di dalam premis bagi sektor makanan dan minuman serta kebanyakan sektor yang dibenarkan di bawah PKPB sebagaimana ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Pada kesempatan ini, saya ingin tekankan dan mengingatkan anda semua agar terus berwaspada. Ingat Amalkan 4P, iaitu:

1.   Penjarakan sosial;

2.   Pakai pelitup muka;

3.   Pencucian tangan dengan sabun;

4.   Perhatikan gejala COVID-19 sama ada pada diri kita mahupun orang di sekeliling kita. 

Kita bersama-sama menjadi perisai untuk melindungi diri sendiri, keluarga dan komuniti kita daripada wabak COVID-19. 

Dalam pada itu, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa aplikasi PGCare yang telah dilancarkan pada 15 Mei lalu sehingga jam 10 pagi ini telah mendaftarkan lebih 8,400 premis perniagaan, mencapai hampir 170 ribu pengguna dan merekodkan hampir 302 ribu check-in.

Dengan ini, saya berharap anda semua akan terus mempraktikkan penggunaan PGCare demi keselamatan kita dan juga komuniti kita. Sistem ini bertujuan mengesan kontak dengan pantas jika terdapatnya kes COVID-19 yang baru. Jika kita dapat mengesan kontak dengan pantas, maka kita boleh mengasingkan kes-kes positif dengan cepat dan seterusnya mengekang perebakan. In order words, we check-in because we care. 

Bercakap tentang care, ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’ telah meletakkan pendigitalan sektor awam antara objektif di bawah Misi CARE. 

Justeru, baru-baru ini, Pusat Tuisyen Rakyat anjuran PEKA Pulau Pinang kini telah bertukar format kepada e-Tuisyen Rakyat bermula 27 April 2020. Setakat ini, sudah terdapat 180 pelajar daripada komuniti berpendapatan rendah di sekitar Pulau Pinang menyertai e-Tuisyen Rakyat yang dikendalikan oleh 10 guru serta sukarelawan PEKA. Pendekatan pembelajaran yang digunakan adalah Zoom, Google Meet dan WhatsApp agar pelajar-pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran masing-masing walaupun dalam tempoh PKP dan PKPB. 

Serentak itu, sebagai sebuah negeri yang sentiasa mengutamakan percambahan modal insan, Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah Task Force ‘Program Komputer E-Pembelajaran’ yang terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang berdedikasi bagi membangunkan sektor pendidikan dalam normal baharu bagi memastikan pendidikan anak-anak Pulau Pinang tidak terjejas. 

Dalam normal baharu, sebahagian aktiviti pendidikan terpaksa dikendalikan di atas talian. Namun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa cabaran yang terpaksa dihadapi antaranya kemudahan internet; kekurangan perantian serta perkakasan yang sesuai; literasi komputer dalam kalangan pelajar; ibu bapa; guru dan sebagainya. 

Oleh itu, di bawah Task Force ‘Program Komputer E-Pembelajaran’, pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan bagi menangani cabaran-cabaran tersebut. Antaranya:- 

1.   Skim pinjaman peranti komputer;

2.   Skim pemberian komputer terpakai;

3.   Sokongan teknikal dan penyelenggaraan;

4.   Program latihan literasi komputer;

5.   Pemerkasaan komuniti melalui e-dialog dan e-forum;

6.   Pembelian peranti komputer pada harga diskaun serta skim pembayaran ansuran tanpa faedah.

Kesemua ini adalah untuk memastikan anak-anak Pulau Pinang boleh membuat peralihan kepada sistem e-pembelajaran dengan lancar. 

Di bawah Skim Pinjaman Peranti Komputer, Kerajaan Negeri amat bersyukur kerana memperoleh sumbangan daripada Intel Malaysia, SNS Network, Acer, PITH dan Lenovo untuk menyediakan peranti komputer untuk dipinjamkan kepada pelajar berkelayakan yang disyor oleh sekolah masing-masing. Setakat ini, Intel Malaysia telah menyumbangkan sebanyak RM250,000 untuk pembelian kira-kira 120 komputer riba; SNS Network sebanyak 15 komputer riba, manakala Lenovo, PITH dan Acer masing-masing menyumbangkan 10 komputer riba bagi tujuan skim ini. 

Di bawah Skim Pemberian Komputer Terpakai, komputer terpakai akan dikumpul dan dibaiki oleh syarikat Swisspac dan kemudiannya disumbangkan secara percuma kepada pelajar yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan. Pada hari ini, lima (5) pelajar berkelayakan akan menerima komputer masing-masing di bawah pelaksanaan skim berkenaan. 

Di samping skim-skim dinyatakan sebentar tadi, perkhidmatan penyelenggaraan dan latihan dalam talian juga ditawarkan secara percuma kepada mereka yang mengalami masalah teknikal. Semua butiran selanjutnya boleh rujuk di laman Facebook Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh negeri Pulau Pinang.

Bagi pelajar dari keluarga berpendapatan sederhana yang ingin membeli peranti komputer, PITH jenama HP, SNS Network (jenama JOI), Swisspac (jenama Asus), Eduspec (jenama Acer) masing-masing menawarkan peranti pada harga diskaun bermula pada harga RM199.  Bayaran secara ansuran pada kadar faedah kosong peratus juga ditawarkan kepada mereka yang memerlukannya mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Pada masa sama, saya ingin menyeru pihak korporat dan juga orang awam supaya menderma komputer lama masing-masing kepada Penang Science Cluster untuk dipinjamkan, ataupun kepada pihak Swisspac untuk tujuan pembaikian dan seterusnya dapat diedarkan kepada pelajar yang memerlukannya.

Umumnya, Kerajaan Negeri juga akan memperkasakan komuniti dalam sektor pendidikan melalui penganjuran e-dialog atau e-forum berkala. Sehingga kini, tiga (3) e-forum telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh. Cendekiawan, guru, pengetua, pemimpin dan Ahli-ahli Lembaga Pengurus Sekolah sama ada tempatan atau dari luar negara seperti Hong Kong serta Taiwan telah dijemput untuk berkongsi pengalaman mereka. E-forum bertajuk “Post Covid-19 Lockdown: School Reopening – Are You Ready?” yang bakal melibatkan speaker dari Jepun, Sweden dan Denmark akan disiarkan secara langsung di Facebook Buletin Mutiara iaitu laman penerbitan rasmi Kerajaan Negeri pada 29 Mei 2020 jam 4 petang.  

Pada kesempatan ini, saya mengucapkan syabas kepada Exco Saudari Chong Eng, iaitu Exco yang bertanggungjawab memimpin inisiatif ini. Kerajaan Negeri akan terus berusaha memastikan Pulau Pinang kekal berdaya saing dalam normal baharu dan seluruh rakyat Pulau Pinang tanpa mengira kaum, agama, gender, umur mahupun kelas sosial tidak akan ketinggalan serta terkesan pada semua aspek ekoran impak wabak COVID-19.

Sebagai mengakhiri siaran mesej hari ini, suka saya ucapkan Salam Aidilftri kepada semua rakan-rakan saya yang beragama Islam. Dalam kita bersuka-ria, jangan sesekali kita leka dengan pematuhan penguatkuasaan terutamanya jumlah tetamu yang bertandang ke rumah sebagaimana ditetapkan dalam mengekang perebakan wabak pandemik COVID-19 di bawah PKPB. 

Kita ingin kekalkan status negeri tercinta kita sebagai zon Hijau. Amalkan amalan 4P, kita mampu lakukannya!

dan sebagai simbolik penubuhan Task Force ‘Program Komputer E-Pembelajaran’, saya ingin menjemput semua pihak yang terlibat untuk bersama saya di hadapan ini. Terima kasih diucapkan kepada semua.

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top