Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

May 15, 2020 1:38:45 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Salam sejahtera. 

Hari ini merupakan hari ke-59 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga negara kini berada di peringkat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Umumnya, Pulau Pinang kini berada dalam Fasa Ketiga iaitu Fasa Pembukaan berdasarkan Strategi Pemulihan Berperingkat negeri kita.

Hampir kesemua sektor yang dibenarkan dalam PKPB telah dibenarkan beroperasi di Pulau Pinang selain beberapa penyesuaian yang dibuat berdasarkan situasi di negeri ini. 

Sukacita saya ingin kongsikan di sini bahawa ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ telah memperoleh pengiktirafan daripada pakar-pakar kesihatan awam termasuk Profesor Emeritus Dato’ Dr. Lam Sai Kit, seorang saintis yang amat disegani bukan sahaja di Malaysia, malah di dunia atas sumbangan beliau dalam kajian penyakit merebak. 

Ekoran penularan wabak pandemik ini, Kerajaan Negeri terpaksa membuat keputusan untuk mengimbangkan antara kesihatan dan ekonomi demi kepentingan rakyat negeri Pulau Pinang. Sebagaimana saya tekankan pada peringkat permulaan lagi bahawa Kerajaan Negeri sentiasa bersama-sama anda dalam menempuhi pertempuran ini.

Umumnya, saya juga berasa amat gembira kerana Menteri Kanan Pertahanan telah mengumumkan bahawa Pulau Pinang mencatatkan kadar pematuhan PKPB sebanyak 98 peratus, iaitu, kadar pematuhan paling tinggi berserta dengan negeri Pahang dan Melaka. Dengan ini, saya ucapkan ribuan terima kasih di atas kesabaran rakyat seluruh Pulau Pinang yang telah membuahkan hasil kejayaan ini. Syabas!

Saudara dan saudari sekalian, 

Hari ini, kebenaran untuk makan di premis telah dibenarkan kepada sektor perhotelan, pusat membeli-belah dan juga rantaian francais makanan segera. Adalah diharapkan pihak-pihak berkaitan dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini yang telahpun diumumkan pada 13 Mei lalu. 

Kita perlu sentiasa ingat dan berwaspada bahawa wabak COVID-19 masih lagi di sekeliling kita dan vaksinnya juga masih lagi dicari. Meskipun tempoh menangani wabak COVID-19 adalah satu tempoh paling mencabar, namun pengorbanan tersebut membuahkan hasil apabila Pulau Pinang kini diklasifikasikan sebagai negeri ‘Hijau’. Cabaran yang lebih besar adalah untuk kita kekalkan status negeri ‘Hijau’ ini, kita harus terus komited, teruskan apa yang sudah dilakukan dan pastikan pematuhan semua SOP ditetapkan. 

Dalam lawatan saya ke Klinik Kesihatan Daerah Timur Laut di Jalan Perak semalam, saya telah bertemu dengan barisan hadapan yang telah berjuang sejak Disember tahun lalu untuk memutuskan rantaian wabak pandemik ini. Yang mana mereka terpaksa berkampung di klinik sehingga 12 tengah malam, malah ada juga yang kadang-kadang terpaksa tidur di pusat kuarantin sementara menunggu pemindahan pesakit ke wad. Justeru, janganlah kita sia-siakan pengorbanan mereka ini. 

Sebagai Ketua Menteri, saya akur dan sentiasa peka dengan semua maklum balas yang tercatit di laman Facebook saya. Saya menelitinya satu-persatu kerana itulah salah satu pendekatan saya untuk mengetahui luahan serta masalah rakyat di negeri ini. Tidak dinafikan bahawa pembukaan keseluruhan sektor ekonomi secara berperingkat di Pulau Pinang merupakan satu cabaran, namun semua pihak diseru agar terus kekal tabah dan bersama-sama Kerajaan Negeri. 

Kita melaksanakannya secara beransur-ansur iaitu apabila Kerajaan Pusat mengumumkan sesuatu, Kerajaan Negeri akan mengambil sedikit masa untuk meneliti serta memutuskan bagaimana dapat melaksanakannya juga di peringkat negeri. Adalah lebih baik kita perlahan beberapa langkah untuk melonggarkan syarat-syarat yang diputuskan, tetapi sebaliknya lebih cepat bertindak dalam memperketatkan syarat-syarat SOP tersebut.

Berlandaskan ini, pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang bersidang pada 13 Mei lalu, barisan Exco telah memutuskan bahawa bermula 18 Mei 2020, dine-in atau makan di SEMUA premis makanan untuk sektor makanan serta minuman adalah dibenarkan. Dalam kata lain, bermula Isnin minggu depan (18 Mei 2020), Pulau Pinang akan melaksanakan PKPB sepenuhnya yang mana semua sektor yang dibenarkan di bawah PKPB oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah dibenarkan di negeri ini. 

Justeru, pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama-sama Exco Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan menyelaras garis-garis panduan perlu bagi disesuaikan kepada kebenaran dine-in Fasa 2 ini. 

Serentak itu juga, bagi memudahcara pematuhan SOP oleh premis-premis perniagaan, Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan sistem pendaftaran bagi pengesanan kontak, iaitu aplikasi Penang Contact Tracer, ataupun PGCare

Aplikasi PGCare ini merupakan projek usaha sama PPP iaitu public, private, partnership antara Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) dengan syarikat Madison Technologies yang disokong oleh Maxis Broadband Sdn. Bhd. Malaysia (perjanjian menerusi CMI) dan merupakan salah satu hasil perbincangan meja bulat maya, ‘Penang Lawan COVID-19 eCrowdSource: Hacking the Next Normal’ anjuran Digital Penang pada 20 April 2020.

Anda boleh mengakses sistem ini di laman web, www.pgcare.my ataupun melalui www.penanglawancovid19.com. 

Di samping itu, aplikasi PGCare juga mampu menggantikan keperluan SOP mendaftar nama setiap pelawat yang memasuki premis perniagaan di Pulau Pinang sebagaimana diperuntukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mana PGCare hanya memerlukan tiga (3) langkah mudah, iaitu:-

(i) Imbas kod QR;

(ii) Isi maklumat anda; dan 

(iii) Isytihar kepada pihak premis selepas anda check-in. 

Realitinya, sistem ini bukan sahaja menjimatkan masa, menggelakkan sentuhan, malah juga memastikan maklumat peribadi anda selamat serta tidak disalah gunakan. 

PGCare hanya akan merekodkan nama serta nombor telefon anda, dan semua maklumat ini hanya boleh diakses oleh Kerajaan Negeri. Pihak premis perniagaan dan orang lain selain Kerajaan Negeri adalah TIDAK DAPAT mengakses maklumat-maklumat tersebut. 

Di pihak Kerajaan Negeri, pangkalan data adalah diurus dan maklumat tersebut hanya akan diakses sekiranya terdapat permintaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tujuan pengesanan kontak ataupun contact tracing bagi wabak COVID-19. Malah, pangkalan data maklumat hanya akan disimpan untuk 30 hari sahaja dan bakal dilupus secara automatik selepas itu sebagaimana permohonan serta persetujuan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Justeru, saya menyeru pihak premis perniagaan dan rakyat Pulau Pinang secara amnya supaya memberi kerjasama untuk menggunakan sistem ini secara bertanggungjawab. Kita melaksanakan SOP sebegini kerana kita sayangkan diri, sayangkan keluarga dan sayangkan komuniti kita. Just as the name PgCare indicates, we are logging on because we care not only for ourselves, but also for our loved ones and our community. 

Akhir sekali, walaupun negeri Pulau Pinang telah membenarkan operasi sepenuhnya sektor-sektor yang dibenarkan di bawah PKPB, saya menyeru agar kita terus mematuhi SOP serta langkah-langkah kesihatan awam. Bantu dan bersama-sama Kerajaan Negeri untuk sebarkan mesej Amalan 4P, iaitu:-

1.   Penjarakan sosial

2.   Pakai pelitup muka

3.   Pencucian tangan dengan sabun

4.   Perhatikan gejala COVID-19

Pastikan bukan hanya kita dan keluarga kita yang amalkan amalan 4P ini, sebaliknya juga rakan-rakan sepejabat, jiran-jiran dan juga orang awam di sekeliling kita demi keselamatan bersama. Kita boleh lakukannya. 

Sekian terima kasih. Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top