Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

May 12, 2020 3:23:00 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Salam sejahtera. 

Hari ini merupakan hari ke-56 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga hari terakhir Fasa 5 PKP. Bagi negeri Pulau Pinang, sehingga hari ini, telah tiga (3) minggu tiada kes baru dilaporkan. Malah, Ketua Polis Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa dari tempoh 4 hingga 10 Mei 2020, tiada tangkapan dibuat ekoran ingkar PKP ataupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).  

Pagi ini, saya telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang, antara perkara yang dipersetujui adalah seperti berikut:-

(i) Bermula esok juga iaitu 13 Mei 2020, Pulau Pinang akan memasuki Fasa Pembukaan dalam ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’. Ini bermakna, semua sektor dan aktiviti yang dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah PKPB adalah dibenarkan di Pulau Pinang dengan tertakluk kepada tatacara operasi standard (SOP) yang dikeluarkan. 

(ii) Senarai larangan masih kekal sebagaimana pengumuman Kerajaan Persekutuan.  

(iii) Mengenai aktiviti yang tidak termasuk di dalam senarai larangan, maka ia adalah dibenarkan. 

(iv) Exco Kerajaan Tempatan; pihak berkuasa tempatan (PBT); Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB); Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pulau Pinang bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sebagai penasihat teknikal, bakal memperhalusi pelaksanaan SOP berhubung ujian saringan terhadap pekerja-pekerja tapak pembinaan dan sektor perkilangan sebelum ia diumumkan dalam tempoh terdekat. 

(v) Taman Bandaraya, Taman Metropolitan, Taman Botani di bahagian pulau; Vision Park, Empangan Mengkuang, Pantai Kamloon, Taman Pelajaran Air Hitam Dalam, Hutan Lipur Cerok Tokun, Hutan Lipur Bukit Panchor, Hutan Simpan Bukit Juru di bahagian Seberang Perai MASIH DITUTUP. Kompleks sukan, stadium, dewan orang ramai juga MASIH DITUTUP. Aktiviti rekreasi adalah hanya terhad di taman-taman kejiranan dan taman poket di taman-taman perumahan.  

(vi) Bagi solat berjemaah, Kerajaan Negeri menerima pakai SOP yang akan ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan; SOP juga tertakluk juga kepada agama-agama lain. 

(vii) Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri, mengambil kira nasihat daripada Ketua Pengarah Kesihatan, kita nasihatkan bahawa had jumlah tetamu yang ditetapkan kepada flat atau rumah pangsa adalah tidak melebihi tujuh (7) tetamu. 

(viii) Bagi dine-in atau makan di dalam premis makanan, mesyuarat memutuskan bahawa ia akan dibuka SECARA BERFASA, iaitu:-

Fasa 1: bermula 15.5.2020, Jumaat 

*Meliputi hotel, pasar raya, francais makanan segera berdasarkan garis panduan yang bakal diumumkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada ESOK, 13 Mei 2020 selepas penyelarasan daripada Exco Kerajaan Tempatan dan juga Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP). 

*Bagi premis makanan lain-lain kategori, berdasarkan nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), kebenaran dine-in bakal diperhalusi pada Fasa 2 kelak dan masih BELUM DIBENARKAN

Serentak itu, turut diketengahkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) pagi ini juga, walaupun telah diklasifikasikan sebagai negeri Hijau, ujian saringan COVID-19 terus dijalankan di Pulau Pinang membabitkan kumpulan-kumpulan berisiko tinggi seperti sekolah madrasah dan tahfiz; warga asing; pusat jagaan warga emas khas kepada golongan penjaga dan pekerja-pekerja pasar membabitkan pemantauan di 35 pasar seluruh di negeri ini. Sehingga hari ini, keputusan ujian adalah negatif, syukur dan terima kasih JKNPP. 

Saudara dan saudari sekalian, 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’ sejak awal Fasa 3 PKP lagi. Ini bertujuan untuk membuat persiapan bagi negeri Pulau Pinang berdepan dengan normal-normal baru. 

‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’ mempunyai empat misi utama dengan singkatan dalam Bahasa Inggeris C.A.R.E.:

1.   Containing the pandemic (Mengekang pandemik)

2.   Adapting our institution to the next normal (Mengadaptasi institusi kita kepada normal baru)

3.   Rescuing people and the economy (Menyelamatkan rakyat dan ekonomi)

4.   Empowering community (Memperkasakan komuniti)

Setiap Exco, jabatan dan agensi negeri perlu merancang tindakan mereka seterusnya berdasarkan Misi C.A.R.E. dalam Strategi Next Normal Pulau Pinang. 

Di bawah setiap Misi, Kerajaan Negeri telah menetapkan empat objektif penting seperti berikut:

Containing the pandemic (Mengekang pandemik)

1.  Memastikan bekalan peralatan mencukupi di semua hospital dan klinik kerajaan di negeri Pulau Pinang. 

2.  Memastikan kemudahan kuarantin mencukupi.

3.  Meningkatkan keupayaan melaksanakan ujian saringan COVID-19 dalam negeri.

4.  Melaksanakan sistem pengesanan menggunakan teknologi aplikasi Penang Contact Tracer ataupun PgCare. 

Adapting our institution to the next normal (Mengadaptasi institusi kita kepada normal baru)

1.  Semua jabatan kerajaan perlu mematuhi SOP dengan tegas.

2.  Digital Penang akan melaksanakan pendigitalan sektor awam.

3.  Meneliti penubuhan sebuah Unit Pengurusan Bencana Negeri. 

4.  Mencadangkan penubuhan sebuah Pejabat Pulau Pinang (Penang Office) di ibu kota untuk menguruskan hal-ehwal hubungan persekutuan-negeri, perdagangan dan pelaburan serta promosi pelancongan. 

Rescuing people and the economy (Menyelamatkan rakyat dan ekonomi)

1. Pelaksanaan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang berjumlah RM151 juta, termasuk RM40 juta Skim Peka PKS. 

2. Kewujudan peluang pekerjaan dalam sektor swasta dan awam. 

3.  Mengembangkan ekonomi digital Pulau Pinang.

4.  Melaksanakan projek infrastruktur awam yang meningkatkan mutu kehidupan rakyat. 

Empowering community (Memperkasakan komuniti)

1. Pendekatan dwi-partisan dalam pengurusan krisis wabak COVID-19.

2.  Melaksanakan kempen kesihatan awam.

3.  Memperkukuhkan perkhidmatan kaunseling.

4.  Kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO). 

Sebelum saya mengakhiri siaran hari ini, perlu diingatkan bahawa PKPB masih berkuat kuasa sehingga 9 Jun 2020. Justeru, kurangkan pergerakan keluar jika boleh. Jadikan suatu rutin untuk memakai pelitup muka ataupun facemask jika anda keluar dari rumah demi keselamatan diri, orang tersayang dan juga komuniti kita. Malah, kebersihan diri juga perlu dijaga, selalu gunakan pensanitasi tangan dan kerap kali basuh tangan. 

Berlandaskan pendekatan yang dihuraikan, saya yakin dengan ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’, negeri kita akan mampu bangkit semula pada kadar segera daripada kesan wabak COVID-19 ini. Strategi pemulihan kita hanya akan berkesan sekiranya kita sama-sama bekerjasama dan bersatu-padu. Let us CARE for one another and rebuild our state again. 

Pada kesempatan ini juga, saya tegaskan bahawa jangan sesekali kita rileks kerana ancaman COVID-19 masih lagi wujud. Kita bukan hanya perlu sesuaikan dengan normal-normal baharu, malah pada masa sama, kita juga perlu mendepani dunia pasca COVID-19 meliputi aspek ekonomi, sosial, pendidikan, kesihatan serta keselamatan secara menyeluruh. 

Ayuh, kita bersama-sama tempuhi perjalanan ini. Orang Pulau Pinang pasti boleh… Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top