Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

May 06, 2020 5:13:00 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Salam sejahtera. 

Hari ini merupakan hari ke-50 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Syukur setakat ini Pulau Pinang sudah tiada kes COVID-19 yang aktif. 

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pekerja barisan hadapan yang bekerja keras melindungi kita sepanjang tempoh PKP ini. 

Walaupun kita sudah “clear”, jangan terlalu ‘rileks’ pula. Ramai pakar penyakit wabak telah memberi amaran bahawa gelombang ketiga akan datang sekiranya kita tidak berhati-hati menjaga amalan kesihatan awam seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan sebagainya. 

Kerajaan negeri telah mengumumkan ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ sebagai langkah membuka semula ekonomi negeri secara cermat. 

Strategi ini dibahagikan kepada tiga fasa agar persiapan secukupnya boleh dilaksanakan untuk mematuhi tatacara operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Besok merupakan hari terakhir fasa pertama iaitu ‘Fasa Persiapan’. Saya berharap kita semua akan bersiap-sedia untuk memasuki ‘Fasa Kedua’ pada 8 Mei nanti.

Pada 8 Mei, Pulau Pinang akan memasuki ‘Fasa Pembiasaan’ yang mana PKP Bersyarat akan dilaksanakan di negeri kita, tertakluk kepada beberapa penyesuaian tambahan peringkat negeri. Jadual ‘Strategi Pemulihan Berperingkat’ yang akan merangkumi aktiviti-aktiviti dibenarkan serta penyesuaian tambahan peringkat negeri akan dikeluarkan untuk rujukan semua. 

Pada pagi ini, Mesyuarat Exco telah meluluskan pembukaan pejabat untuk urusan pentadbiran dan penyelenggaraan sahaja bermula Jumaat iaitu 8 Mei 2020 membabitkan:-

i. Pertubuhan agama dan tempat beribadat

ii. Sekolah-sekolah 

Sebagai tambahan, pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan membuat pengumuman berhubung waktu-waktu operasi jenis-jenis perniagaan yang dibenarkan beroperasi pada 8 Mei 2020. 

Justeru, saya berharap kita akan menggunakan tempoh ‘Fasa Pembiasaan’ ini untuk membiasakan diri dan membudayakan norma-norma baru seperti penjarakan sosial, mengambil perhatian terhadap gejala dalam diri kita dan juga orang-orang di sekeliling kita, serta pematuhan SOP yang dikeluarkan. 

Tujuan kerajaan melaksanakan ‘Fasa Pembiasaan’ dengan larangan lanjut kepada aktiviti seperti semua bentuk sukan dan rekreasi di luar rumah, pusat-pusat latihan, pendidikan, penjagaan kanak-kanak, dan pengangkutan awam serta penyesuaian tambahan seperti larangan menghidang makanan di premis serta gerai makanan ataupun no dine-in policy, adalah agar kita semua masih lagi menggelakkan kesesakan khususnya perhumpuan orang secara beramai-ramai dalam tempoh pembiasaan ini. We need to still prevent crowding in this familiarisation period. 

‘Strategi Pemulihan Berperingkat’ direka berasaskan analisa berasaskan risiko (risk based analysis) dengan melihat kepada kepadatan kependudukan negeri yang tinggi dan pembudayaan amalan SOP serta norma-norma baru. Jika kita tidak cermat dalam menggelakkan perkumpulan orang ramai, risiko perebakan wabak amat tinggi sekali. 

Lantaran itu, saya merayu kepada anda semua untuk bersabar. Pulau Pinang telah berjaya mengekang wabak COVID-19 setakat ini melalui pematuhan PKP, kini kita perlu melawan Covid-19 melalui pematuhan SOP.

Saudara-saudari sekalian,

Kerajaan Negeri sedar bahawa pembukaan semula ekonomi tidak bermaksud ekonomi akan pulih seperti sedia-kala. 

Ahli ekonomi telah mensasarkan kerugian tempoh PKP boleh mencecah 25 peratus daripada KDNK negara kita. Badan pemikir ekonomi, Malaysian Institute of Economic Research (MIER) menjangkakan seramai 2.4 juta orang akan kehilangan kerja. Justeru, pendapatan rumah tangga diramalkan merosot kira-kira pada kadar 12 peratus dan perbelanjaan pengguna dijangka menurun lebih kurang 11 peratus.

Di Pulau Pinang, kita telah dikhabarkan berita penghentian operasi dua buah syarikat tekstil iaitu Esquel Malaysia Sdn. Bhd. Pen Apparel Sdn. Bhd., melibatkan 2,000 pekerja walaupun sebahagian besarnya merupakan pekerja migran. Sebaik sahaja kita menerima berita tersebut, Penang Career Assistance and Talent Centre, ataupun CAT Centre, telahpun menghubungi syarikat-syarikat tersebut untuk membantu pekerja Malaysia mereka dipadankan kepada pekerjaan baharu. 

Mengikut laporan penilaian krisis yang disediakan oleh badan pemikir kerajaan negeri, Penang Institute, 17 daripada 46 jenis perusahaan perlu diberi perhatian disebabkan mencatat sifar pendapatan.

Namun, saya bersyukur kerana berkat usaha kita bersama, ekonomi Pulau Pinang masih berdaya saing. Berdasarkan laporan MITI bertarikh 20 April 2020, bagi tahun 2019, Pulau Pinang merekodkan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan yang paling tinggi di seluruh Malaysia, malah jumlah pelaburan yang diterima sebanyak RM16.9 bilion merupakan yang paling tinggi dalam sejarah negeri kita. Menerusi perangkaan ini, MIDA menjangkakan bahawa ia bakal menjana 18,886 peluang pekerjaan baru di negeri ini bagi tempoh 2020 dan 2021. 

Umumnya, Kerajaan Negeri sedar bahawa pola pemulihan ekonomi kita tidak akan berbentuk “V”, iaitu penurunan dan pemulihan secara mendadak. Ekonomi kita akan menghadapi kejutan dari segi permintaan, bekalan dan kewangan.

Kita menghadapi satu situasi yang mana, pengguna tidak berbelanja, pasaran menjadi muram, pekerjaan serta pendapatan terjejas, para pelabur mengambil pendekatan cermat, malah jika ada permintaan sekalipun, gangguan rantaian bekalan sedunia semasa COVID-19 ini menyebabkan produk dan perkhidmatan yang diperlukan tidak dapat dihasilkan dengan segera. 

Kerajaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia telah mengumumkan pakej-pakej rangsangan ekonomi untuk membantu pasaran masing-masing mengharungi krisis ini. 

Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah awal dalam pengurusan impak COVID-19 berasaskan strategi 3P, iaitu pengawalan wabak, penerangan awam dan pengurusan impak. Kita merupakan negeri yang pertama mengumumkan pakej bantuan insentif pada 17 Mac 2020 iaitu sebelum PKP bermula, dan kita juga merupakan negeri yang pertama mengagihkan pakej bantuan insentif, iaitu pada 1 April 2020. Pakej bantuan insentif yang diberi nama ‘Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang’ berjumlah RM75 juta dan telah diagihkan kepada 400,000 penduduk Pulau Pinang dalam 15 kumpulan sasar. 

Pada pagi ini juga, Mesyuarat Exco telah meluluskan ‘Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0’, iaitu pakej rangsangan ekonomi negeri yang kedua bagi meneruskan usaha memperkukuhkan ekonomi negeri Pulau Pinang berpandukan matlamat berikut:

PERTAMA, memberikan bantuan segera kepada golongan yang paling terkesan (the most vulnerable group).

KEDUA, mengupayakan golongan pekerja untuk berdiri semula dan meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti. 

KETIGA, membolehkan kelangsungan perniagaan atau ‘business continuity’ di negeri Pulau Pinang bagi memastikan ekonomi negeri akan terus dibangunkan pasca-PKP.

Dalam kata mudah, ‘Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0’ ini bertujuan untuk meletakkan wang ringgit ke tangan golongan terkesan, ke pasaran dan ke industri tersasar. We aim to put money in the hands of the affected groups, into the market and to targeted industries.

Dengan ‘Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0’ berjumlah RM76 juta, ini menjadikan jumlah keseluruhan pakej bantuan insentif Kerajaan Negeri Pulau Pinang setakat ini adalah sebanyak RM151 JUTA yang telah dan bakal memanfaatkan penduduk Pulau Pinang secara langsung termasuk ahli keluarga serta pekerja mereka. 

Rebat cukai taksiran tahun 2020

Bagi meringankan beban penduduk negeri Pulau Pinang dan menambahkan pendapatan boleh guna ataupun disposable income dalam kalangan rakyat Pulau Pinang, kedua-dua pihak berkuasa tempatan, yakni Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang akan memberikan rebat kepada semua hartanah berdaftar dengan PBT di negeri ini. 

Rebat ini dijangka akan melibatkan hampir 600,000 unit hartanah dan memberi penjimatan lebih RM47.3 juta kepada pembayar cukai negeri Pulau Pinang.

Bantuan tunai kepada penjaja dalam premis dan penjaja bergerak (tagging PBT)

Dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0, Kerajaan Negeri telah memberikan bantuan tunai RM500 kepada lebih 14,000 penjaja berlesen di seluruh Pulau Pinang. Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak boleh meringankan beban kewangan 14,000 penjaja ini. 

Namun, Kerajaan Negeri mendengar keluhan para penjaja di premis makanan, pusat penjaja, dan kopitiam serta para penjaja bergerak yang tidak menerima bantuan penjaja tersebut kerana sistem pendaftaran permit penjaja yang berlainan bagi mereka. 

Justeru, sukacita saya mengumumkan bantuan tunai RM500 kepada penjaja kumpulan ini yang dianggar berjumlah 8,769 orang. 

Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri ialah RM4.38 juta. 

Zakat Pulau Pinang

Di bawah Pakej Bantuan Pulau Pinang 2.0, Zakat Pulau Pinang atau ZPP bakal memperuntukkan RM5 juta antaranya bantuan khas kepada guru-guru agama dan guru-guru Tahfiz; individu-individu perlu; golongan asnaf; anak-anak kariah dan lain-lain. 

Bantuan kepada nelayan dan penternak tradisional

Walaupun para nelayan dan penternak tradisional masih dibenarkan untuk meneruskan perusahaan mereka, namun keadaan wabak, dan kemerosotan pasaran telah menyebabkan kehidupan mereka terjejas yang sememangnya sudahpun amat mencabar sebelum ini.  

Justeru, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan tunai RM400 kepada 5,841 nelayan pesisir pantai (Zon A), dan bantuan kotak insulasi bernilai RM180 setiap satu kepada 250 nelayan darat dan sungai. 

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM200,147 untuk memberi pelbagai bantuan kepada seramai 988 penternak tradisional komoditi unggas, ruminan dan khinzir.

Jumlah keseluruhan kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri dalam bantuan kepada nelayan dan penternak tradisional ialah RM2.57 juta.

Bantuan kepada taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar

Taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak merupakan tumpuan dasar mesra keluarga Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Dalam tempoh krisis wabak COVID-19, banyak pengusaha pusat-pusat ini terjejas kerana terpaksa menutup operasi. Ada dalam kalangan yang telah berkongsi bebanan kos dengan pelanggan mereka sama ada dengan mengurangkan yuran ataupun terus mengecualikan yuran mereka. 

Melihat sektor ini sebagai sektor sokongan penting untuk masyarakat Pulau Pinang, serta usaha pemberdayaan wanita, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan tunai sebanyak RM500 kepada penguasaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakatj serta tadika yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang. 

Bantuan ini akan melibatkan 118 pusat jagaan kanak-kanak, 62 taska dan 465 tadika.

Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri ialah RM322,500.

Peruntukan khas kepada usaha menangani masalah keganasan rumah tangga

Menurut laporan NGO wanita, tempoh PKP telah melihat kepada peningkatan kes keganasan rumah tangga. Justeru, kerajaan negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM100,000 kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang membantu masyarakat Pulau Pinang menangani isu keganasan rumah tangga.

Sektor pelancongan Pulau Pinang

Sektor pelancongan merupakan antara penyumbang penting ekonomi Pulau Pinang. Negeri kita berasa bangga kerana menjadi destinasi pelancong yang terkemuka bukan setakat di Malaysia malah di dunia. Kita menawarkan pelbagai produk pelancongan seperti makanan jalanan kita yang begitu popular, warisan sejarah, eko-pelancongan melalui keindahan khazanah alam kita, pelancongan perubatan yang begitu diyakini di rantau ini, seni budaya dan sebagainya. 

Sektor ini memberi pekerjaan kepada 150,000 orang di Pulau Pinang melalui 35,700 perniagaan memberikan nilai tambah sebanyak RM9 bilion. 

Dalam laporan penilaian krisis Penang Institute, sektor pelancongan ini merupakan antara sektor yang paling terkesan dengan wabak COVID-19.

Justeru, Kerajaan Negeri telahpun menubuhkan ‘Pasukan Kerja Next Normal Industri Pelancongan’, bagi melihat kepada bagaimana kita boleh membangunkan semula sektor ini.

Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk menambahkan dana RM10 juta kepada Skim PEKA di bawah PDC khusus untuk sektor pelancongan. 

Selain itu, satu peruntukan RM200,000 turut disediakan untuk pelaksanaan Show Penang, satu projek untuk membangunkan kandungan digital (digital content) seni, budaya dan warisan yang pertama dalam negara. 

Sebagai tambahan kepada bantuan tunai kepada pemandu pelancong dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan tunai RM500 kepada 321 pemandu bas/van persiaran, kereta sewa/limosin pelancongan serta RM300 kepada 23 pengusaha lancang air (watercraft operator) dan aktiviti pantai di Batu Feringghi di Pulau Pinang.

Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM10.37 juta terhadap usaha pemberdayaan sektor pelancongan negeri Pulau Pinang di dalam pakej ini. 

Menghargai barisan hadapan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri

Di bawah ‘Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0’, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM300 secara one-off akan disalurkan kepada kakitangan barisan hadapan (senarai tambahan) membabitkan agensi-agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tenteta Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Veteran Askar Wataniah, Jabatan Bomba dan Penyelamat membabitkan 6,099 keanggotaan. Sebagai tambahan, bantuan sama akan diberikan kepada ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) (yang layak) seramai 6,050 ahli.

Ini bakal membabitkan peruntukan berjumlah RM3,644,700. 

Pengecualian kadar sewaan dan pajakan projek CMI dan SSI

Pengecualian kadar sewaan dan pajakan bagi projek-projek CMI dan SSI yang berkaitan bagi bulan April dan Mei melibatkan 333 pengusaha/syarikat membabitkan jumlah peruntukan berjumlah RM271,926. 

Syarikat/peniaga/penghuni di bawah pengurusan/kawasan PDC

Diskaun dan pengecualian sewa bagi syarikat/peniaga/penghuni di bawah pengurusan/kawasan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebanyak 387 syarikat/premis/penghuni dengan jumlah peruntukan RM1,030,000.

Perbadanan Bukit Bendera

Konsesi sewa kepada 24 lot-lot komersial di bawah Perbadanan Bukit Bendera untuk setengah bulan pada bulan Januari dan Februari dan sepenuhnya untuk bulan Mac, April dan Mei 2020 dan bayaran bantuan one-off sebanyak RM500 seorang kepada 13 orang pengendali servis jip Bukit Bendera membabitkan jumlah peruntukan bernilai RM448,253.

Perumahan

Pengecualian bayaran sewa bagi rumah sewa dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Kerajaan Negeri bagi tempoh tambahan dua (2) bulan lagi membabitkan jumlah peruntukan berjumlah RM516,000. 

Pengecualian bayaran sewa bagi unit kedai di bawah pengurusan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Negeri bagi tempoh tambahan tiga (3) bulan lagi membabitkan nilai sebanyak RM76,741. 

Bagi status Skim PEKA PKS di bawah Perbadanan Pembangunan Pulua Pinang (PDC), setakat 6 Mei 2020, sebanyak 2,571 permohonan telah diterima dan jumlah kelulusan adalah sebanyak 480 kes dengan nilai pinjaman sebanyak RM7,845,000. 

Sebelum kita mengakhiri siaran mesej pada hari ini, saya mengalu-alukan sumbangan daripada syarikat Titijaya Land Berhad berupa 8,000 helai pelitup muka bernilai RM12,000 kepada penjawat awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Penyampaian sumbangan adalah diwakilil oleh pengarah syarikat Encik Goh Chin Heng dan pengarah urusan syarikat, Encik Ling Hock Sing. 

Bersama-sama kita bangunan semula Pulau Pinang yang kita cintai. Kita mampu menang bersama dalam pertempuran ini. 

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top