Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

May 05, 2020 2:31:39 pm

SAYA SEDIA HADAPI TINDAKAN SAMAN KERANA MELINDUNGI NYAWA 1.8 JUTA RAKYAT 

PULAU PINANG

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Salam sejahtera. 

Hari ini merupakan hari ke-49 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula semalam, 4 Mei 2020, dan pada semalam juga, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Seri Azmin Ali memperingatkan mana-mana Kerajaan Negeri yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) boleh dikenakan tindakan saman daripada pihak industri yang terjejas.

Di sini, saya ingin memaklumkan kepada Menteri Kanan berkenaan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Ketua Menteri sedia menghadapi tindakan saman kerana melindungi nyawa 1.8 juta rakyat Negeri Pulau Pinang. 

Menteri Kanan tersebut mestilah mengemukakan bukti yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menghiraukan PKPB sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang. 

Malah, Azmin Ali juga perlu memperbetulkan fakta beliau yang menyatakan bahawa mesyuarat Mesyuarat Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 28 April lalu telah mendapat persetujuan pelbagai negeri untuk melaksanakan pembukaan semula ekonomi pada 4 Mei 2020.

Pada mesyuarat bertarikh 28 April tersebut, semua Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri (kumpulan MBKM) telah diberikan taklimat berhubung sebab mengapa ekonomi perlu dibuka semula kerana negara bakal kehilangan pendapatan yang besar sekiranya gagal berbuat demikian.

Perdana Menteri begitu bersemangat untuk memulakan semula ekonomi tetapi tatacara operasi standard (SOP) berkaitan untuk kebanyakan kementerian masih belum dimuktamadkan lagi.

Pada ketika itu, kumpulan MBKM meminta supaya diberikan sekurang-kurangnya satu minggu bagi membolehkan kajian terhadap SOP selesai dan diberi input serta membuat persiapan untuk melaksanakan PKPB. 

Keputusan telah dicapai bahawa SOP akan dimuktamadkan pada hari Selasa, 30 April dan semua Kerajaan Negeri mempunyai peluang untuk memberikan input masing-masing.

Namun begitu, perkara ini tidak berlaku apabila Perdana Menteri pada 1 Mei telah mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bakal melaksanakan PKPB mulai 4 Mei.

Saya ingin menegaskan bahawa tidak ada Kerajaan Negeri (termasuk Pulau Pinang) yang membantah pelaksanaan PKPB pada mesyuarat tersebut, tetapi kami hanya minta supaya diberikan masa untuk menyusun strategi bagi melaksanakannya. 

Justeru, tidak pernah berlaku sebelum ini yang mana banyak negeri, sama ada dari Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan mengambil pendekatan berbeza daripada apa yang diharapkan oleh Azmin Ali.

Saya ingin bertanya kepada Menteri Kanan berkenaan, apa yang beliau harapkan apabila sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab, begitu sukar untuk beliau melibatkan semua Kerajaan Negeri bagi mencapai kata sepakat mengenai pelaksanaan PKPB ini.

Bagi negeri Pulau Pinang, saya ingin mengulangi pendirian bahawa kami tidak pernah membantah inisiatif untuk membuka semula ekonomi di bawah PKPB. Hakikatnya, selepas bermesyuarat pada 28 April di Putrajaya, saya telah mengadakan mesyuarat tergempar di peringkat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) pada hari Khamis, 30 April untuk meneliti dan melaporkan perkembangan terkini kepada ahli-ahli jawatankuasa. 

Apabila Perdana Menteri membuat pengumuman pada 1 Mei lalu, saya segera memberi respons melalui kenyataan media yang menyambut baik keputusan tersebut dan berjanji bahawa Pulau Pinang akan memberikan kerjasama agar usaha untuk memulakan semula ekonomi berjaya dilaksanakan.

Sekali lagi, saya mengarahkan Pengarah Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) untuk segera mengadakan mesyuarat tergempar pada keesokan harinya iaitu pada hari Sabtu (2 Mei 2020) untuk membincangkan pengumuman YAB Perdana Menteri. 

Namun begitu, pihak kami dimaklumkan bahawa SOP masih belum siap, oleh itu, kami akhirnya hanya dapat bermesyuarat pada hari Ahad pagi, 3 Mei 2020 setelah kami menerima sebahagian besar SOP, walaupun bukan semuanya.

Sebagaimana semua maklum, sejak dari hari pertama PKP, Kerajaan Negeri telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan bagi menjayakan usaha melawan wabak COVID-19. 

Pulau Pinang tidak mempunyai alasan untuk membantah pembangunan semula ekonomi kita kerana ia adalah selaras dengan pendekatan polisi negeri dalam mengimbangi antara nyawa rakyat dan punca pencarian ekonomi. Tambahan pula, Pulau Pinang sangat bergantung terhadap industri pembuatan serta perkhidmatan dan sebarang kelewatan akan memberi impak yang lebih besar kepada negeri dan rakyatnya. 

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) pada 2 Mei, mengambil masa selama empat jam mengadakan perbincangan dan akhirnya, Jawatankuasa (dengan kehadiran wakil Kerajaan Persekutuan, Timbalan Menteri, Dato’ Dr. Mansor Othman dan Ketua Pembangkang Negeri, Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor) telah sebulat suara menyokong cadangan saya untuk melaksanakan ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’. 

Serentak itu, mesyuarat tersebut juga mengambil maklum nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Dato' Dr. Noor Hisham Abdullah pada 2 Mei yang mana "minggu pertama PKPB yang bermula pada hari Isnin mesti digunakan oleh majikan dan pekerja untuk merancang strategi mereka serta membuat persiapan yang diperlukan dan tidak perlu tergesa-gesa membenarkan perniagaan beroperasi semula". 

Pada dasarnya, Amalan Baik Peraturan (Good Regulatory Practice, GRP) Pulau Pinang sepenuhnya mematuhi PKPB secara berperingkat melalui tiga tahap:

1.   Fasa 1, 4 - 7 Mei: Fasa persiapan bagi membolehkan sektor menyediakan pelaksanaan SOP. 

2.   Fasa 2, 8 - 12 Mei: Fasa pembukaan kepada kebanyakan aktiviti ekonomi yang dibenarkan bagi membolehkan sektor-sektor yang dibenarkan di bawah PKPB dan masyarakat amnya secara perlahan-lahan dapat menyesuaikan diri dengan SOP dan norma baru. 

3.   Fasa 3, 13 Mei dan seterusnya: Fasa pembukaan menyeluruh bagi semua sektor dibenarkan beroperasi tertakluk kepada PKPB. 

Yang mana, ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ ini dirangka berdasarkan analisa risiko situasi negeri ini, dengan mengambil kira dua faktor utama berikut:

(i) Pulau Pinang merupakan negeri berkependudukan paling padat mengikut bancian kebangsaan, justeru merupakan lokasi berisiko tinggi perebakan wabak COVID-19. Sebarang pelonggaran PKP perlu dilakukan secara beransur-ansur bagi mengelakkan perebakan wabak akibat kesesakan orang ramai. 

(ii) Semua sektor memerlukan masa untuk membuat persiapan mematuhi SOP yang dikeluarkan. Malah ada SOP yang masih lagi diubah selepas dikeluarkan pada 1 Mei, contohnya pengumuman terbaru kerajaan pada 4 Mei bahawa pekerja asing dalam sektor pembinaan wajib menjalani ujian saringan COVID-19. 

Pulau Pinang sebagai negeri kedua terkecil daripada segi saiz geografi dan sebagai salah sebuah negeri berkepadatan tinggi, kami memilih pendekatan strategi pemulihan secara berperingkat dan bukannya 'secara tiba-tiba'. 

Langkah ini adalah bagi melindungi nyawa rakyat tanpa menjejaskan kelangsungan ekonomi mereka. 

Sekali lagi, saya mahu mengakhiri mesej ini dengan menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Ketua Menteri Pulau Pinang sedia menghadapi tindakan saman kerana mahu melindungi nyawa rakyatnya. Kami juga sedia untuk melaksanakan sepenuhnya pembukaan semula ekonomi di bawah PKPB. 

Saya berharap Menteri Kanan berkenaan tidak akan ‘menakut-nakutkan’ semua kerajaan negeri sebaliknya menghormati kami sebagai rakan strategik bagi meletakkan negara di landasan pemulihan ekonomi. 

Kami mahu bekerja untuk memulihkan ekonomi, Azmin Ali buatlah keputusan sama ada anda mahu bersama-sama kami! 

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top