Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

May 03, 2020 4:29:00 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Salam sejahtera. 

Hari ini merupakan hari ke-47 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Umumnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum pengumuman YAB Perdana Menteri pada 1 Mei 2020 tentang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei 2020. 

Mengikut maklumat Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang(JKNPP), semua daerah di Pulau Pinang kekal zon hijau selama 14 hari dari 19 April 2020 sehingga 2 Mei 2020, kecuali daerah Seberang Perai Utara (SPU) yang mempunyai DUA (2) kes dinotifikasi dalam tempoh 14 hari ini. 

Sejak 5 Mac (2020) lagi, Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan awal berpandukan strategi yang tersusun dalam usaha menangani wabak COVID-19 di Pulau Pinang. 

Strategi 3P iaitu Pengawalan Wabak; Penerangan Awam; dan Pengurusan Impak melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan menampakkan hasil yang mana Pulau Pinang secara konsisten mencatat jumlah kes COVID-19 per kapita kedua paling rendah di seluruh negara. 

Tindakan awal Kerajaan Negeri menguruskan hal ehwal pekerja asing dan persuaka di Pulau Pinang telah memastikan bahawa tiada sebarang kes COVID-19 melibatkan komuniti tersebut setakat ini. 

Sejak awal Fasa 3 PKP, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’ bagi membolehkan negeri kita bersiap-siaga berdepan norma-norma baru akibat wabak COVID-19. Tiga misi utama ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’ ialah: mengukuhkan ekosistem di Pulau Pinang; menyelaraskan ekosistem tersebut kepada perubahan abad ke-21; dan membina ketahanan negeri Pulau Pinang bagi menghadapi sebarang kemungkinan krisis pada masa hadapan.  

Badan pemikir Kerajaan Negeri, Penang Institute juga telah menerbitkan pelbagai laporan penilaian krisis sebagai panduan kepada pembuat dasar, pemegang taruh dan orang awam secara amnya. 

Sebulan yang lalu, Kerajaan Negeri telah meminta Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan tiga perkara di peringkat negeri Pulau Pinang iaitu, 1) meningkatkan kadar ujian saringan COVID-19; 2) melaksanakan kawalan pergerakan di sempadan negeri; dan 3) melaksanakan protokol EHS COVID-19. 

Dengan pengenalan tatacara operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan kawalan sempadan negeri, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang memohon Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar dapat meningkatkan lagi kadar ujian saringan COVID-19 di negeri ini. 

Pemulihan negeri Pulau Pinang mesti mengutamakan kesihatan dan keselamatan rakyat

Sebagai sebuah negeri perindustrian dengan lebih 67,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pelbagai sektor, Kerajaan Negeri sedar bahawa Pulau Pinang perlu mengambil langkah memulihkan semula ekonomi negeri.

Namun, pelonggaran PKP tidak boleh dilakukan secara mendadak dan tanpa dirancang. Kesihatan serta keselamatan rakyat Pulau Pinang tetap menjadi keutamaan Kerajaan Negeri. 

Mengikut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr. Noor Hisham Abdullah pada 2 Mei lalu, minggu pertama, bermula 4 Mei 2020, sepatutnya digunakan untuk merangka strategi, merancang serta melaksanakan SOP baharu yang dikeluarkan oleh MKN, dan tidak semestinya untuk setiap sektor memulakan operasi penuh. 

Pada mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri bertarikh 28 April lalu iaitu pada hari Selasa, ahli-ahli mesyuarat dimaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan mendapatkan maklum balas daripada setiap negeri berdasarkan SOP yang bakal diedarkan dalam tempoh terdekat, namun ini tidak berlaku dan cabarannya adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah pada esok, 4 Mei 2020. 

Justeru, berpandukan arahan MKN dan panduan KKM, serta keputusan yang dipersetujui ahli-ahli mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang bersidang pada pagi ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk melaksanakan ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ berlandaskan penyesuaian serta pengubahsuaian perlu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat Pulau Pinang serta kelangsungan sektor ekonomi negeri terjamin. 

Ini bermakna, esok iaitu pada 4 Mei 2020, PKP sedia ada masih berkuat kuasa di Pulau Pinang. Dalam kata lain, hanya mereka/pihak/syarikat yang dibenarkan beroperasi dan berkerja pada Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 PKP sahaja dibenarkan untuk meneruskan pergerakan masing-masing seperti dalam fasa-fasa PKP sebelumnya tanpa sebarang perubahan termasuk syarikat pengangkutan awam. 

Kepada yang tidak tersenarai dalam PKP Fasa 1, 2 dan 3, penguatkuasaan serta pengoperasian berasaskan ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ adalah bermula pada 8 Mei 2020, hari Jumaat. Kerajaan Negeri akan membuat pengumuman lanjut berhubung perkara ini.

Kenapa 8 Mei 2020? Ini bukan sahaja bagi membolehkan Kerajaan Negeri menyediakan garis panduan menyeluruh yang lebih tersusun khususnya pada aspek penguatkuasaan, malah tempoh empat (4) hari ini juga adalah bagi membolehkan pihak syarikat/majikan/pekerja/ibu bapa dan lain-lain merancang pengoperasian serta pergerakan masing-masing. Ini termasuk penyediaan kelengkapan seperti pensanitasi tangan, penjarakan sosial, peraturan pemakaian pelitup muka dan sebagainya demi keselamatan bersama di premis-premis seliaan. 

Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang

Strategi ini akan dibahagikan kepada tiga fasa iaitu:

Tiga matlamat Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang ialah:

1. Pencegahan kesesakan (berkumpul) orang ramai (crowding).

2. Pembiasaan pematuhan SOP yang diperkenalkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

3. Pembukaan dan pemulihan sektor ekonomi secara berfasa.

Peraturan-peraturan Am Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang

Peraturan-peraturan Am di bawah perlu dipatuhi oleh semua penduduk Pulau Pinang termasuk komuniti perniagaan yang beroperasi di negeri ini.  

1. SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dipatuhi dengan tegas.

2.  Senarai aktiviti terlarang yang dikeluarkan oleh MKN perlu dipatuhi dengan tegas.

3. Waktu operasi di Pulau Pinang bagi semua sektor pada esok, 4 Mei 2020 masih sama. Tempoh masa operasi 8 Mei 2020 akan diumumkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk jenis kategori dan langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi. 

4. Majikan disaran untuk meneruskan kaedah Kerja Dari Rumah dan waktu kerja anjal sepanjang tempoh ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’.

5. Rakyat Pulau Pinang diingatkan bahawa PKP masih belum tamat sehingga 12 Mei 2020. Justeru, semua aktiviti luar rumah selain pekerjaan yang dibenarkan, adalah dilarang. 

6. Kecuali dinyatakan dengan jelas dalam jadual ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ yang bakal diumumkan, semua sektor hanya dibenarkan untuk melakukan kerja-kerja persiapan mematuhi SOP dalam Fasa 1, dan operasi penuh berpandukan SOP MKN hanya boleh dilaksanakan dalam Fasa 2 iaitu 8 Mei 2020. 

7. Semua sektor dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya dalam Fasa 3 (mulai 13 Mei 2020), TETAPI masih perlu mematuhi SOP dengan tegas.

8. Penambahbaikan ke atas ‘Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang’ akan diumumkan dari masa ke masa. 

Dalam pada itu, senarai sektor yang dibenarkan beroperasi bermula 8 Mei 2020 berdasarkan keputusan mesyuarat JKKN adalah sebagaimana di bawah:-

  • Pengangkutan (udara, darat)
  • Makanan (untuk pembungkusan makanan sahaja)
  • Perkhidmatan ikhtisas dan profesional 
  • Pembuatan
  • Kewangan 
  • Gas 
  • Lombong dan kuari 
  • Elektrik 
  • Pertanian (padi dan beras)
  • Perikanan 
  • Penternakan 
  • Komunikasi 
  • Teknologi maklumat 
  • e-dagang 
  • Alam sekitar 
  • Bekalan air dan pembentungan IWK 
  • Pembinaan 
  • Guaman 
  • Kawalan Keselamatan 
  • Pembersihan 
  • Pengurusan strata
  • Kewangan (kredit komuniti dan pajak gadai)
  • Perhotelan 
  • Peruncitan 
  • Agensi-agensi Kerajaan Negeri/PBT/Badan-badan Berkanun/GLC Kerajaan Negeri 

Senarai sektor yang dibenarkan beroperasi bermula 13 Mei 2020 adalah seperti berikut:-

  • Sukan 
  • Perpaduan 
  • Rukun Tetangga
  • Koperasi 
  • Agrikomoditi
  • Penyelidikan hutan 
  • Pengurusan hutang
  • Industri kreatif
  • Kebudayaan dan kesenian 

Dua sektor yang masih dalam pertimbangan dan tidak dibenarkan adalah:-

  • Pendidikan 
  • Sektor penjagaan sosial (taska)

dan keputusan lanjut akan diumukan kelak. 

Semua maklumat-maklumat yang saya umumkan sebentar tadi akan dimuat naik di dalam laman web Penang Lawan COVID-19. 

Berlandaskan keputusan ini, saya berharap seluruh rakyat Pulau Pinang akan terus mematuhi segala arahan yang ditetapkan bagi bersama-sama kita putuskan rantaian perebakan wabak COVID-19 secara menyeluruh. 

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top