Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 29, 2020 3:09:28 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Salam sejahtera. 

Hari ini merupakan hari ke-43 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga merupakan hari pertama kita memasuki fasa 4 PKP. 

Semalam, saya telah menghadiri Mesyuarat Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri di Putrajaya, di sini izinkan saya berkongsi beberapa intipati yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyuarat berkenaan. 

Zon Hijau di seluruh negara umumnya telah meningkat hampir 80 peratus daerah dengan beberapa negeri sudah disytiharkan hijau sepenuhnya atau hanya berbaki beberapa kes saja lagi dalam rawatan, justeru, berasaskan enam garis panduan atau ‘key areas’ oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), adakah kita bersedia untuk ‘meninggalkan’ PKP? Persoalan utama yang diutarakan. 

Menurut analisis KKM, jawapannya ialah Ya. Bagaimanapun, negara memerlukan ‘Program Pengurangan Risiko Daerah COVID-19’ atau ‘District Risk Reduction Program’ (DRRP) Covid-19 yang mana kita terus melindungi zon Hijau dan ‘lawan’ zon Kuning dan Merah!

Strategi yang digariskan meliputi empat (4) prinsip utama iaitu:-

Pertama, kawalan sempadan; 

Keduanya, kawalan pergerakan; 

Ketiga, penjarakan sosial; dan

Keempat adalah, peralatan perlindungan peribadi (PPE). 

Empat prinsip strategi ini akan disokong oleh tiga (3) tulang belakang utama iaitu:- 

Pertama, melindungi keluarga; 

Keduanya, melindungi komuniti; dan 

Ketiga adalah, melindungi daerah iaitu kebertanggungjawaban perlindungan pihak berkuasa tempatan

Sebagai huraiannya, ‘Melindungi keluarga’ adalah sebagaimana yang kita laksanakan kini iaitu menjaga kebersihan diri dengan sentiasa membasuh tangan dengan air dan sabun; patuhi PKP; pantau status kesihatan diri serta keluarga dan dapatkan rawatan segera sekiranya bergejala; hadkan pelawat; sentiasa lakukan disinfeksi di rumah dan amalkan pembelian serta pembayaran dalam talian. 

Melindungi komuniti’ untuk kekal Hijau adalah:-

(i) menggerakkkan jawatankuasa penduduk sedia ada sebagai penyelaras aktiviti pencegahan di komuniti; 

(ii) Laporkan kepada ketua komuniti atau polis sekiranya ada aktiviti berkumpulan; 

(iii) Had dan rekod pergerakan keluar masuk pelawat dan penduduk setempat; 

(iv) Pastikan jarak sosial dan amalkan kebersihan tangan; 

(v) Hebahan pendidikan kesihatan tentang langkah-langkah pencegahan COVID-19; 

(vi) Hebahan kepatuhan PKP; 

(vii) Motivasi kepada komuniti supaya kekal hijau (tiada kes) 

(viii) Lapor sebarang kes disyaki COVID-19 kepada pihak berkuasa. 

Lindungi Daerah’ untuk kekal Hijau adalah:-

(i) Diterajui oleh Majlis Tindakan Daerah/Pihak Berkuasa Tempatan; 

(ii) Fokus kepada kumpulan rentan (vulnerable group – orang asli, warga emas), kumpulan berisiko menularkan jangkitan (potential spreaders); 

(iii) Bekerjasama rapat dengan agensi komuniti seperti JKKK, MPKK, Rukun Tetangga, COMBI, KOSPEN dan agensi bukan kerajaan (NGO);

(iv) Penguatkuasaan kawalan sempadan daerah dan pantau kemasukan pelawat; 

(v) Jabatan Penerangan Daerah membantu dalam hebahan maklumat pendidikan kesihatan dan galakan kekal hijau; dan yang terakhir; 

(vi) Motivasi dan insentif kepada komuniti yang komited mengekalkan lokailiti tetap hijau.  

Di Pulau Pinang, selain usaha oleh Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri yang menyelaraskan kerja-kerja melawan COVID-19 di negeri ini dan juga kempen Penang Lawan COVID-19, barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut memainkan peranan utama dalam porftolio masing-masing. Seperti yang saya sering tekankan, dalam berdepan dengan krisis ini, kita memerlukan pendekatan keseluruhan Kerajaan ataupun Whole-Of-Government Approach. 

Barisan Exco Kerajaan Negeri bersedia melakukan anjakan pemikiran bagi melaksanakan perubahan dasar mahupun program untuk berdepan situasi baru akibat wabak pandemik ini. 

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman bukan sahaja memastikan hal ehwal agama Islam seperti zakat diagihkan kepada golongan yang perlu, malah turut bekerjasama dengan Jabatan Mufti Pulau Pinang dalam menjayakan penerbitan video-video panduan beribadat kepada umat Islam di bulan Ramadan ini. Video-video ini boleh dicapai di laman web www.PenangLawanCovid19.com. 

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, Yang Berhormat Dr. P. Ramasamy telah menggerakkan sumber Lembaga Wakaf Hindu bagi membantu komuniti India kurang mampu di Pulau Pinang yang secara langsung terkesan akibat PKP dan penularan wabak COVID-19.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Yang Berhormat Chong Eng telah mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang membantu masyarakat Pulau Pinang menangani masalah keganasan rumah tangga berdasarkan laporan yang menunjukkan peningkatan kes-kes berkaitan. Selain itu, pejabat beliau juga telah memulakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin agama bukan Islam untuk mengadaptasi amalan serta budaya masing-masing bagi berdepan situasi next normal yang bakal kita hadapi kelak.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Yang Berhormat Jagdeep Singh telah memimpin kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mantapnya terutamanya dalam memastikan pematuhan PKP oleh premis-premis perniagaan dan kilang-kilang di negeri ini. Melalui usaha Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kita juga rancak mendaftarkan penjaja serta peniaga kecil untuk menyertai ekonomi digital bagi membolehkan mereka terus menjalankan perniagaan sepanjang tempoh PKP.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Yang Berhormat Phee Boon Poh telah mengendalikan sistem pengagihan bekalan makanan berpusat dengan baik. Setakat ini kira-kira 20,000 kotak makanan Penang Lawan COVID-19 telahpun diagihkan menerusi wakil-wakil rakyat seluruh negeri Pulau Pinang. Pada masa sama, YB Phee juga bekerjasama dengan Persatuan Tzu Chi bagi menempatkan semula para gelandangan di lokasi yang lebih selamat sepanjang tempoh PKP ini. 

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Yang Berhormat Zairil Khir Johari telah memastikan sektor penting seperti pembekalan air dan kerja-kerja mitigasi seperti pembaikan jalan, pengukuhan lereng bukit, kerja-kerja utiliti serta kemudahan awam yang penting masih diteruskan supaya kehidupan rakyat Pulau Pinang tidak terganggu walaupun dengan pelaksanaan PKP. 

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Yang Berhormat Dato’ Abdul Halim Hussain telah bekerjasama dengan  Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang ataupun PDC untuk memastikan skim pinjaman usahawan tanpa faedah yang berjumlah RM30 juta, iaitu Skim Peka PKS diuruskan dengan lancar. Setakat 21 April 2020 iaitu tarikh tutup permohonan, sebanyak 2,571 syarikat telah membuat permohonan dan kelulusan sebahagian permohonan yang telah diproses akan dibuat sebelum 30 April nanti. Permohonan yang berjaya akan dimaklumkan dalam tempoh seminggu daripada tarikh ini. Selain itu, melalui kerjasama Penang Halal International anak syarikat PDC serta FoodPanda, pejabat Exco juga telah melancarkan platform eBazaar Ramadan secara online sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan peniaga-peniaga berkenaan boleh terus menjana pendapatan masing-masing dalam tempoh ini. Pendekatan ini adalah inisiatif selain daripada pelancaran platform kedua-dua PBT iaitu Jom Beli Online MBPP dan ‘virtual market’ e-Bazaar Ramadan MBSP.

Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yang Berhormat Yeoh Soon Hin telah mengumumkan RM200,000 untuk pelaksanaan Show Penang, sebuah projek bagi membangunkan kandungan digital (digital content) sektor seni, budaya dan warisan yang pertama dalam negara. Selain itu, satu sidang meja bulat maya juga telah dianjurkan pada 25 April 2020 dengan mengumpulkan pemegang taruh industri pelancongan negeri bagi mendapatkan maklum balas berkaitan isu-isu yang dihadapi mereka. 

Exco Belia dan Sukan, Yang Berhormat Soon Lip Chee telah menggalakkan orang ramai untuk terus mengamalkan gaya hidup bersukan di rumah sepanjang tempoh PKP ini. Beliau juga telah menganjurkan pertandingan e-Sports iaitu Liga Duduk Rumah yang telah berjaya menarik penglibatan 640 peserta bagi membolehkan penggemar sukan berkaitan mengasah bakat masing-masing. Serentak itu, Perbadanan Pembangunan Belia Negeri Pulau Pinang dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang turut menganjurkan siaran video wawancara serta sesi perkongsian oleh pemimpin belia dan barisan atlet negeri kita dari masa ke masa.  

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, walaupun masih baru dalam penjawatan, Yang Berhormat Dr. Norlela Ariffin tidak pernah leka untuk mengambil maklum tentang keperluan kelengkapan barisan kesihatan kita dalam melawan wabak ini. Badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti kampung berganding bahu dalam penghasilan jubah-jubah yang diperlukan untuk kegunaan pihak hospital serta klinik-klinik. Malah, beliau turut mengumpulkan hasil tani para petani di negeri ini untuk disumbangkan kepada kakitangan barisan hadapan pihak berkuasa tempatan (PBT).  

Kesimpulannya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berfungsi sepanjang tempoh PKP dan telah bersiap-siaga untuk menghadapi situasi baharu ‘Next Normal’. I want to assure the people of Penang that Your State Government Never Sleeps. We will continue to serve you and ensure the health and safety of the people of Penang as well as the resilience of our economy. 

Dalam kita memasuki Fasa 4, saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Negeri Pulau Pinang bahawa kadar kepatuhan PKP sehingga tamatnya fasa 3 iaitu 28 April 2020 adalah sebanyak 97.88 peratus dengan 1,691 tangkapan membabitkan tiga fasa secara keseluruhan. 

Dalam pada itu, syukur dengan makluman yang diberikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bahawa sehingga kini, tiada lagi kluster baru di negeri ini dan semua petugas barisan hadapan adalah berada dalam keadaan sihat. 

Dengan ini, saya terus memohon kepada rakyat Pulau Pinang agar terus bersabar serta terus berusaha untuk bersama-sama Kerajaan Negeri melawan wabak COVID-19 demi kebaikan kita semua. 

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top