Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 23, 2020 3:42:53 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Salam sejahtera. 

Hari ini merupakan hari ke-37 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Esok, umat Islam di seluruh negara dijangka menyambut ketibaan bulan Ramadan al-Mubarak dan memulakan ibadah puasa pada tahun ini.

Meskipun suasana Ramadan tahun ini berbeza disebabkan PKP, namun ibadah puasa tetap disempurnakan dengan sepenuh jiwa dan penghayatan. 

Malah, walaupun kita menghadapi situasi wabak COVID-19, Kerajaan Negeri akan memastikan agar umat Islam di Pulau Pinang dapat memenuhi tuntutan agama dalam keadaan sebaik mungkin. Ini janji Kerajaan Negeri. 

Dan, walaupun perkara-perkara lazim seperti solat tarawih berjemaah dan penganjuran bazar Ramadan tidak lagi dapat diteruskan seperti biasa, saya berharap kita akan beradaptasi untuk terus menjalankan tanggungjawab kita demi agama dengan disesuaikan arahan PKP. 

Bagi membantu penjaja dan peniaga kecil bazar Ramadan yang tidak dapat berniaga seperti tahun-tahun lalu, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melaksanakan Jom Beli Online serta e-Bazar Ramadan. Semoga platform yang tersedia mampu untuk memberikan nafas baru kepada para penjaja kita dan sekaligus memenuhi keperluan umat Islam yang berpuasa.  

Sama ada tempoh PKP ini akan diteruskan atau tidak dan mengambil kira faktor keselamatan bersama, saya telah dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Exco Hal Ehwal Agama Islam dan juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bahawa tiada sebarang majlis berbuka puasa akan diadakan di masjid serta surau di seluruh Pulau Pinang, malah umat Islam juga diminta menjalankan solat tarawih di rumah masing-masing. Walau bagaimanapun, sumbangan dan agihan zakat kepada golongan asnaf dan golongan yang memerlukan akan tetap diteruskan.

Saudara dan saudari sekalian, 

Pagi ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang dan mesyuarat telah memutuskan bahawa sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi mengikut syarat yang diperketatkan oleh Kerajaan Pusat adalah seperti berikut:-

*Kedai barangan elektrik dan elektronik serta kedai dobi yang telah membuat permohonan dan diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) adalah dibenarkan beroperasi pada setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam berkuat kuasa esok, 24 April 2020 (hari Jumaat). 

Sekali lagi, saya tegaskan bahawa terus patuhi arahan PKP dan amalkan jarak sosial, sama-sama kita menuju ke arah sifar COVID-19. 

Kepada rakyat Pulau Pinang yang beragama Islam, gunakan kesempatan ini sebagai satu cara untuk memperbanyakkan amal ibadah terutama bersama-sama keluarga tersayang di bulan yang mulia ini. Kerajaan Negeri sentiasa bersamamu. 

Kepada rakyat Pulau Pinang yang bukan Islam, ayuh kita menyantuni jiran-jiran Muslim kita, dan wujudkan suasana yang lebih baik untuk mereka menjalani ibadah berpuasa. 

Kepada seluruh rakyat Pulau Pinang, kita teruskan usaha untuk membina sebuah masyarakat Pulau Pinang yang bersih, harmoni, progresif.

Dalam pada itu, sebelum saya mengakhiri siaran mesej hari ini, Kerajaan Negeri ingin mengalu-alukan sumbangan daripada pihak Best Group (mm2h) Sdn. Bhd. berjumlah RM150,000.00 kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang yang diwakili oleh presidennya, Dato’ M.K. Kung. 

Marilah kita berdoa agar wabak pandemik ini dapat dihapuskan sepenuhnya. Kita mesti menang!

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top