Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 22, 2020 3:05:21 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Salam sejahtera. 

Hari ini merupakan hari ke-36 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya dimaklumkan oleh Ketua Polis Negeri Pulau Pinang bahawa bagi tempoh seminggu PKP Fasa 3 iaitu dari 15 April hingga semalam, 21 April 2020, kadar pematuhan adalah pada 97.92 peratus manakala jumlah tangkapan ingkar PKP ialah 566 orang. 

Pada aspek jangkitan, syukur kerana sudah lebih seminggu Pulau Pinang mencatatkan sifar kes COVID-19. Ini bukan pencapaian yang mudah. 

Di sebalik angka-angka ini, pekerja barisan hadapan kita berperas keringat memastikan pesakit dikesan, disaring, dirawat, dijaga dengan bersungguh-sungguh. Di sebalik angka-angka ini juga, anggota polis, tentera, pertahanan awam, RELA, Imigresen, pegawai PBT bermandi peluh di bawah matahari dan hujan bagi memastikan kita semua mematuhi PKP. 

Malah, di sebalik angka-angka ini, pekerja pembersihan memastikan persekitaran kita bersih serta selamat, dan kita tidak perlu bimbang tentang perebakan wabak disebabkan oleh persekitaran yang kotor. Di sebalik angka-angka ini, wakil rakyat kita, pemimpin Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertungkus-lumus memastikan penjarakan sosial di pasar-pasar awam diadaptasikan, memastikan orang miskin dan kurang mampu, pekerja warga asing serta golongan pelarian memperoleh bantuan sewajarnya.

Paling utama, di sebalik angka-angka ini, kita semua telah melakukan pengorbanan untuk duduk di rumah. 

Terima kasih kepada semua. 

Walaupun statistik COVID-19 negeri dan negara kita semakin baik, kita perlu ada kekuatan fizikal dan mental untuk berdepan dengan suatu keadaan yang mana kitaran PKP-normal-PKP-normal akan berlanjutan sehingga vaksin berjaya dihasilkan ataupun masyarakat kita mempunyai imuniti kelompok. 

Pada hari Isnin lalu, Kerajaan Negeri melalui Digital Penang telah menganjurkan PLC19: eCrowdSource: Hacking the Next Normal, iaitu sidang meja bulat maya yang mengumpulkan para penggiat teknologi untuk berbincang tentang penyelesaian teknologi bagi membantu Pulau Pinang berdepan cabaran ‘Next Normal’. 

Pemegang taruh dalam bidang teknologi maklumat, perubatan, pendidikan, SME, malah agensi pemberdayaan wanita negeri Pulau Pinang saling bertukar pandangan tentang situasi ‘Next Normal’ dan juga penyelesaian teknologi yang boleh dilaksanakan di negeri kita.

Hasil daripada sidang meja bulat maya tersebut, Digital Penang akan mengumpulkan cadangan-cadangan yang dikemukakan untuk pertimbangan bagi pelaksanaannya di Pulau Pinang. 

Saudara dan saudari sekalian,

Dua hari lepas, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengeluarkan laporan pelaburan diluluskan bagi tahun 2019. 

Berdasarkan laporan tersebut, sukacita saya ingin memaklumkan bahawa Pulau Pinang berjaya mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) paling tinggi di seluruh negara dalam sektor pembuatan iaitu sebanyak RM15 bilion dengan membabitkan 166 projek. Jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan (domestik dan asing) dalam sektor pembuatan bagi Pulau Pinang ialah RM16.9 bilion. 

Kedua-dua angka ini merupakan PENCAPAIAN TERTINGGI di dalam sejarah negeri kita setakat ini. Ini membuktikan bahawa pelabur-pelabur asing masih mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap ekosistem pelaburan ditawar oleh negeri Pulau Pinang. Malah, sebagaimana saya tekankan, Pulau Pinang tidak memiliki sumber asli, tetapi kita mempunyai sumber kemahiran serta bakat yang sering dicemburui ramai serta menjadi daya penarik para pelabur. Tahniah dan terima kasih kepada semua!

Umumnya, Kerajaan Negeri akan terus memastikan ekonomi Pulau Pinang terus berdaya tahan walaupun berdepan situasi baru akibat wabak pandemik ini. We will work hard to ensure our state economy is resilient in face of the new normal due to this pandemic. 

Dalam kita meraikan kejayaan bersama ini, saya ingin mengalihkan fokus kita kepada sektor perkhidmatan di negeri Pulau Pinang. Sektor ini merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang, iaitu kira-kira 49 peratus dan diikuti dengan sektor pembuatan, 46 peratus. 

Sebahagian perbelanjaan dalam sektor ini adalah daripada industri pelancongan. Ini termasuk perbelanjaan untuk ‘makanan jalanan’ ataupun street food negeri kita yang terkenal di seluruh dunia; rekreasi; seni dan kebudayaan; pelancongan perubatan (medical tourism); MICE ataupun Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran; perhotelan, inap desa atau homestay serta sebagainya. 

Sektor perkhidmatan di Pulau Pinang menyediakan pekerjaan kepada kira-kira 300,000 pekerja. Hampir separuh daripada jumlah ini adalah terlibat di dalam sektor pelancongan. 

Mengikut laporan penilaian krisis badan pemikir Kerajaan Negeri, Penang Institute, sebanyak 99 peratus perniagaan dalam sektor perkhidmatan di Pulau Pinang berada dalam kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ataupun SME. Laporan sama turut membuat analisa terhadap 46 jenis perniagaan kategori SME membabitkan empat sektor utama iaitu Pertanian, Pembinaan, Pembuatan serta Perkhidmatan, dan didapati bahawa sektor Perkhidmatan merupakan kumpulan yang paling terkesan akibat krisis COVID-19. Berasaskan analisis itu juga, dilaporkan bahawa 74.9 peratus SME di dalam subsektor seni, hiburan serta rekreasi merupakan perusahaan mikro, dan risiko ekonomi terhadap golongan ini adalah amat tinggi sekali.

Berasaskan peri pentingnya sektor ini, dan juga kesan krisis wabak COVID-19 terhadap perniagaan-perniagaan dalam sektor berkaitan, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk menubuhkan ‘Pasukan Kerja Next Normal Pelancongan Pulau Pinang’ ataupun ‘Tourism Penang Next Normal Taskforce’.

Pasukan kerja ini berperanan mengumpul pandangan pemegang taruh sektor berkaitan pelancongan di Pulau Pinang, dan merangka strategi untuk memastikan kelangsungan sektor ini dalam situasi ‘Next Normal’ yang kita hadapi. 

Ketua Menteri iaitu saya sendiri akan mempengerusikan pasukan kerja ini, manakala Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yang Berhormat Yeoh Soon Hin dilantik sebagai timbalan pengerusi. Sekretariat pasukan kerja ialah Penang Global Tourism (PGT). 

Pada 25 April 2020, iaitu Sabtu ini, ‘Pasukan Kerja Next Normal Pelancongan Pulau Pinang’ akan mengadakan sidang meja bulat maya dengan pemegang taruh industri untuk perbincangan awal berhubung impak sektorial yang mereka hadapi. 

Umumnya, Kerajaan Negeri bukan sahaja memandang serius kesan COVID-19 terhadap sosioekonomi negeri kita, malah kami juga berhasrat untuk mengambil tindakan awal bagi memastikan survival rakyat dan negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya.

Sebelum mengakhiri siaran mesej hari ini, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengalu-alukan sumbangan berupa peralatan perubatan daripada Persatuan Kebajikan Amal Ckone bernilai RM110,000 diwakili oleh presiden persatuan, Encik Lim Cheng Seang dan setiausaha, Encik Lim Kok Beng kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) yang diwakili oleh Ketua Penolong Pengarah Unit Mediko Legal, Bahagian Perubatan JKNPP, Encik Dr. R.A. Lingeshwaran. 

Terima kasih juga kepada Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Pulau Pinang yang menyampaikan sumbangan hamper sebanyak 110 kotak bernilai RM15,000 kepada Kerajaan Negeri. Penyampaian sumbangan diwakili oleh Yang Dipertuanya, Dato' Izham Omar Merican dan timbalan Yang Dipertua, Encik Abdul Jalil Mohd. Hassan.

Susah senang kita harungi bersama. Akan kita tempuhi perjalanan serta cabaran mendatang. Orang Pulau Pinang pasti boleh!

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top