SME dalam Strategi Next Normal Pulau Pinang

Apr 21, 2020 3:41:54 pm

Pada aspek pengukuhan sektor SME, Pulau Pinang mensasarkan suatu kerangka pemikiran baru yang sebenarnya sudahpun mula dilaksanakan beberapa tahun kebelakangan ini. 

Pertama ialah pendigitalan ekonomi negeri Pulau Pinang. Pada tahun lepas, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Digital Penang untuk memangkin peralihan tersebut. Krisis yang berlaku kini telah mempercepatkan lagi proses pendigitalan ini. Serentak itu, Kerajaan Negeri turut mensasarkan penubuhan Digital Free Trade Zone yang pertama di negeri Pulau Pinang menjelang tahun hadapan. 

Pada 20 April 2020 ini, Digital Penang telah menganjurkan sidang meja bulat maya (virtual round table) bagi mengumpulkan penggiat teknologi untuk membincangkan tentang penyelesaian teknologi kepada situasi baru ‘Next Normal’ yang kita hadapi. 

Kedua, memperkukuhkan kedudukan Pulau Pinang dalam sektor peralatan perubatan. Dalam 10 tahun ini, Kerajaan Negeri telah giat memperluaskan sektor tersebut, dan kini beberapa pemain utama peralatan perubatan global telah bertapak di Pulau Pinang. Kita boleh berasa bangga bahawa industri peralatan perubatan di Pulau Pinang turut terlibat dalam penghasilan peralatan penting bagi menanangi wabak COVID-19 di seluruh dunia. 

Ketiga, memfokuskan semula sektor elektrikal dan elektronik (E&E) untuk mempelbagaikan produk mereka daripada produk elektronik konsumer kepada produk aplikasi industri seperti sistem telekomunikasi, peralatan Industri 4.0, peralatan perubatan dan lain-lain. 

Keempat, mengembangkan sektor perkongsian perkhidmatan global (global shared services). Pada masa kini, Pulau Pinang mempunyai lebih 60 syarikat yang terlibat di dalam sektor ini dengan penyediaan pekerjaan bernilai tinggi kepada 12,000 pekerja. Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah termasuk di dalam bidang kewangan, pengurusan rantaian bekalan, perdagangan, analitik, penyelidikan serta pembangunan, logistik dan sebagainya. Kemudahan-kemudahan ini, ditambah dengan ketersediaan rantaian bekalan matang telah mewujudkan suatu ekosistem yang mempunyai kecekapan tinggi dan berkos rendah bagi menarik syarikat-syarikat multi-nasional untuk datang ke negeri serta negara kita. 

Kelima, memposisikan semula kedudukan negeri kita dalam anjakan rantaian bekalan sedunia akibat krisis-krisis semasa seperti Perang Perdagangan Amerika Syarikat-China dan wabak COVID-19. Kerajaan Negeri telah mengarahkan InvestPenang (iP) untuk menubuhkan suatu ‘taskforce Ekonomi Next Normal Pulau Pinang’ bagi mengenal pasti hala tuju perkembangan ekonomi negeri, negara, serantau dan dunia serta mengorak strategi bagi menarik pelaburan-pelaburan baru ke negeri dan negara kita. Kerajaan Negeri bercadang untuk bertindak lebih awal bagi memastikan manfaat anjakan ekonomi sedunia ini akan menguntungkan Pulau Pinang dan Malaysia. 

Strategi ekonomi merupakan salah satu daripada tiga cabang pembaharuan dalam ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’, iaitu pembaharuan institusi, ekonomi dan sosial negeri Pulau Pinang. Saya berharap pemetaan strategi ekonomi ini akan memberikan keyakinan kepada rakyat Pulau Pinang, dan pasaran secara amnya bahawa Kerajaan Negeri sentiasa membuat perancangan awal bagi memastikan kepentingan rakyat serta negeri Pulau Pinang terpelihara. 

CHOW KON YEOW 

Back to top