Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 18, 2020 4:02:24 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Salam sejahtrera. 

Hari ini merupakan hari ke-32 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Syukur, sudah empat (4) hari Pulau Pinang mencatatkan sifar kes COVID-19. Ini adalah hasil usaha semua pihak. 

Walaupun negara kita secara amnya masih mempunyai kes-kes baru setiap hari, namun kenaikan sudah berada di bawah paras 100 kes setiap hari berbanding satu bulan lalu. 

Saya dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) pagi ini bahawa berdasarkan pemantauan pelaporan kes COVID-19 untuk tempoh 14 hari bagi Negeri Pulau Pinang, sekiranya tiada pertambahan kes, semua daerah di Pulau Pinang akan menjadi zon hijau pada 27 April 2020. Bagi peringkat daerah, jika tiada pertambahan kes, Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) akan menjadi daerah pertama zon hijau pada 21 April 2020. 

Semua ini merupakan berita baik buat rakyat Pulau Pinang dan Malaysia amnya. Namun, sebagaimana yang saya tegaskan, kita jangan ‘rileks’ dulu. Teruskan usaha untuk mematuhi PKP sehingga kita betul-betul sudah selamat. Duduk di rumah, kurangkan pergerakan luar. 

Di kala kita masih bergelut dengan virus COVID-19, Kerajaan Negeri juga sedang membuat persiapan berdepan dengan situasi baharu yang kita bakal hadapi. 

Negara-negara dunia menyelaras semula kadar pembangunan ekonomi mereka. Pengangguran meningkat dengan mendadak di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan lain-lain. Malah, di sesetengah negara, peralatan perubatan adalah tidak mencukupi. Di Malaysia, baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan kita, Dato’ Dr. Noor Hisham sendiri telah berkata bahawa kita memerlukan bekalan tambahan peralatan perubatan seperti pakaian perlindungan peribadi atau PPE. 

Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah memastikan rakyat dan negeri kita terlindung daripada impak wabak COVID-19 sebaik mungkin. Kita komited dan ‘walk the talk’. Semalam, saya mengadakan lawatan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan telah bersiaran secara langsung menerusi telesidang dengan unit-unit utama yang mengendalikan kes-kes wabak pandemik ini. Pada lawatan tersebut, saya juga menekankan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa bersama barisan hadapan di dalam pertempuran ini, dan kita akan bersama-sama menempuh cabaran yang mendatang. 

Saya masih ingat lagi, ada pihak yang mengkritik tindakan kerajaan ekoran tidak mengedarkan pelitup muka semasa fasa pertama PKP. Ketika itu, saya telah menyatakan bahawa strategi Kerajaan Negeri ialah terlebih dahulu memastikan anggota barisan hadapan dilindungi dengan secukupnya. Strategi Kerajaan Negeri terbukti tepat. Setakat ini, Kerajaan Negeri dan penderma-penderma melalui pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyumbangkan 309,700 sarung tangan dan sarung kasut; 30,510 set PPE dan kira-kira satu juta pelitup muka kepada pekerja barisan hadapan di Pulau Pinang. 

Selain itu, ada juga pihak yang tidak bersetuju dengan pendekatan berhemah Kerajaan Negeri untuk memastikan pematuhan PKP. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan pengalaman baru untuk ramai orang. Justeru, sekadar menggunakan ketegasan penguatkuasaan undang-undang adalah sama sekali tidak akan berkesan. Sebaliknya, kita perlu mendidik dan memberi pencerahan tentang wabak COVID-19 supaya rakyat boleh bertindak berasaskan ilmu pengetahuan serta kesedaran dan bukan hanya semata-mata kerana takut kepada undang-undang. 

Berlandaskan itu, Kerajaan Negeri dengan agresifnya telah mengetengahkan kempen kesedaran secara besar-besaran. Kita menggunakan segala saluran yang ada, poster, billboard, internet, media sosial, media tradisional dan sebagainya. Wakil-wakil rakyat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dikerahkan untuk mendidik serta melaksanakan sistem penjarakan sosial di pasar-pasar awam. Syukur, segala pendekatan yang juga disusuli juga dengan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukeralawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan sebagainya telah memperlihatkan tindakan kolektif berkesan bagi memutuskan rantaian perebakan COVID-19 di negeri Pulau Pinang. 

Ada juga pada peringkat awalnya mengkritik Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang kerana tidak dapat merangkumi semua golongan yang memerlukan bantuan. Jika kita imbas kembali, Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang mengumumkan pakej rangsangan ekonomi, iaitu sehari sebelum PKP dilaksanakan. Objektifnya adalah Kerajaan Negeri ingin memberikan keyakinan dan harapan kepada rakyat untuk terus cekal walaupun dalam keadaan krisis. 

Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang yang bernilai RM75 juta merangkumi 15 kumpulan sasar dengan anggaran penerima manfaat secara langsung seramai 400 ribu penduduk negeri Pulau Pinang. Kita juga merupakan negeri pertama yang mengagihkan wang bantuan pada kadar segera iaitu pada 1 April 2020, dan kini hampir kesemua kumpulan sasar termasuk senarai daripada jabatan persekutuan sudah menerima bantuan mereka, kecuali sebilangan kecil yang mungkin masih tidak dapat menghantar maklumat lengkap. 

Umumnya, Pulau Pinang telah menempuh ketiga-tiga fasa PKP, dan kini kita melihat sedikit-sebanyak hasil usaha kita bersama. Namun, adalah tidak dapat dinafikan bahawa kita bakal berdepan dengan cabaran masa depan yang mungkin lebih besar daripada apa yang kita hadapi sekarang, bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak akan sesekali berehat daripada usaha yang telah bermula sebelum ini. 

Tidak dinafikan, impak utama COVID-19 adalah terhadap kesihatan kita, impak kedua adalah terhadap ekonomi kita. Walaupun impak pertama mempunyai kesan secara langsung terhadap nyawa manusia, namun, sekiranya impak kedua tidak dikawal dengan baik, ia turut sama akan mempunyai kesan kepada nyawa serta kehidupan kita semua. 

Terdahulu, saya telah mengumumkan ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’. Kerajaan Negeri telah mula beralih kepada pendekatan dalam memastikan negeri kita bersiap-siaga menghadapi situasi baharu akibat wabak COVID-19, terutamanya berkait dengan aspek ekonomi negeri kita. 

Penutupan kilang Esquel di Pulau Pinang dan Kelantan sudah tentu memberi kesan kepada rakyat Malaysia dan rakyat Pulau Pinang secara khususnya. Di Pulau Pinang, syarikat tersebut mempunyai kira-kira 500 pekerja tempatan. Sebagai inisiatif tambahan, Penang Career Assistance and Talent Centre, ataupun CAT Centre telah mengambil langkah untuk menghubungi Bahagian Sumber Manusia Esquel bagi menguruskan pemadanan serta penempatan semula pekerjaan kepada kakitangan mereka di Pulau Pinang. Malah, terbaru adalah kilang Pan Apparel di Pulau Pinang dan Ipoh, Perak yang membabitkan 2,600 pekerja dengan 30 peratus daripadanya adalah warga tempatan. Kerajaan Negeri turut akan meneliti keperluan pihak berkaitan pada kadar segera. 

Umumnya, ekonomi Pulau Pinang masih lagi mampu untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini. Pada Januari hingga September 2019, Pulau Pinang telah merekodkan pelaburan pembuatan diluluskan sebanyak RM13.3 bilion. Ini mewakili kira-kira 23 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan sektor pembuatan Malaysia. 

Pelaksanaan pelaburan ini sudahpun bermula, dan InvestPenang (iP) menjangkakan bahawa kita akan mewujudkan kira-kira 13 ribu peluang pekerjaan baru hasil daripada pelaksanaan pelaburan ini.

Dalam sektor ekonomi, kita sedar bahawa Pulau Pinang dan Malaysia mungkin tidak mempunyai dinamik seperti China yang mana penyusutan perbelanjaan pasaran dunia telah diseimbangkan dengan pengembangan pasaran domestik mereka. 

Justeru, dalam aspek ekonomi, fokus serampang dua mata ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’ adalah untuk memastikan pemacuan ekonomi Pulau Pinang melalui pelaksanaan projek-projek awam dan juga pengukuhan sektor SME kita. 

Saya akan membuat pengumuman-pengumuman lanjut tentang projek awam Kerajaan Negeri dalam tempoh masa terdekat. 

Pada aspek pengukuhan sektor SME, Pulau Pinang mensasarkan suatu kerangka pemikiran baru yang sebenarnya sudahpun mula dilaksanakan beberapa tahun kebelakangan ini. 

Pertama ialah pendigitalan ekonomi negeri Pulau Pinang. Pada tahun lepas, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Digital Penang untuk memangkin peralihan ini. Krisis yang berlaku kini telah mempercepatkan lagi proses pendigitalan ini. Serentak itu, Kerajaan Negeri turut mensasarkan penubuhan Digital Free Trade Zone yang pertama di negeri Pulau Pinang menjelang tahun hadapan. Pada 20 April 2020 ini, Digital Penang akan menganjurkan sidang meja bulat maya (virtual round table) bagi mengumpulkan penggiat teknologi untuk membincangkan tentang penyelesaian teknologi kepada situasi baru ‘Next Normal’ yang kita hadapi. 

Kedua, memperkukuhkan kedudukan Pulau Pinang dalam sektor peralatan perubatan. Dalam 10 tahun ini, Kerajaan Negeri telah giat memperluaskan sektor ini, dan kini beberapa pemain utama peralatan perubatan global telah bertapak di Pulau Pinang. Kita boleh berasa bangga bahawa industri peralatan perubatan di Pulau Pinang turut terlibat dalam penghasilan peralatan penting bagi menanangi wabak COVID-19 kini. 

Ketiga, memfokuskan semula sektor elektrikal dan elektronik (E&E) untuk mempelbagaikan produk mereka daripada produk elektronik konsumer kepada produk aplikasi industri seperti sistem telekomunikasi, peralatan Industri 4.0, peralatan perubatan dan lain-lain. 

Keempat, mengembangkan sektor perkongsian perkhidmatan global (global shared services). Pada masa kini, Pulau Pinang mempunyai lebih 60 syarikat yang terlibat di dalam sektor ini dengan penyediaan pekerjaan bernilai tinggi kepada 12,000 pekerja. Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah termasuk di dalam bidang kewangan, pengurusan rantaian bekalan, perdagangan, analitik, penyelidikan serta pembangunan, logistik dan sebagainya. Kemudahan-kemudahan ini, ditambah dengan ketersediaan rantaian bekalan matang telah mewujudkan suatu ekosistem yang mempunyai efisiensi tinggi dan berkos rendah bagi menarik syarikat-syarikat multi-nasional untuk datang ke negeri serta negara kita. 

Kelima, memposisikan semula kedudukan negeri kita dalam anjakan rantaian bekalan sedunia akibat krisis-krisis semasa seperti Perang Perdagangan Amerika Syarikat-China dan wabak COVID-19. Kerajaan Negeri telah mengarahkan InvestPenang (iP) untuk menubuhkan suatu ‘taskforce Ekonomi Next Normal Pulau Pinang’ bagi mengenal pasti hala tuju perkembangan ekonomi negeri, negara, serantau dan dunia serta mengorak strategi bagi menarik pelaburan-pelaburan baru ke negeri dan negara kita. Kerajaan Negeri bercadang untuk bertindak lebih awal bagi memastikan manfaat anjakan ekonomi sedunia ini akan menguntungkan negeri kita. 

Strategi ekonomi merupakan salah satu daripada tiga cabang pembaharuan dalam ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’, iaitu pembaharuan institusi, ekonomi dan sosial negeri Pulau Pinang. Saya berharap pemetaan strategi ekonomi ini akan memberikan keyakinan kepada rakyat Pulau Pinang, dan pasaran secara amnya bahawa Kerajaan Negeri sentiasa membuat perancangan awal bagi memastikan kepentingan rakyat serta negeri Pulau Pinang terpelihara. 

Kita teruskan usaha kita untuk melawan wabak COVID-19 dan membangunkan tanah air tercinta ini. 

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top