Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 17, 2020 1:27:00 pm

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri,

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

PENDAHULUAN

1.           Hari ini merupakan hari yang ke-31 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac 2020. Walaupun menghadapi kekangan, namun Kerajaan Negeri perlu menuruti Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, Perkara 19(1) untuk bersidang dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh sidang DUN sebelumnya yang mana tempoh enam (6) bulan ini akan tamat pada 7 Mei 2020. 

2.           Oleh yang demikian, dalam situasi pandemik COVID-19, persidangan kali ini dilaksanakan secara singkat selama setengah hari sahaja dan soalan-soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri akan dijawab secara bertulis. Langkah-langkah pembasmian kuman di lokasi, penjarakan fizikal, pengukuran suhu badan telah dilaksanakan terhadap semua pihak yang menghadiri persidangan pada pagi ini.

SITUASI SEMASA

3.           Pada hari ini, dunia sedang berhadapan dengan krisis yang amat buruk, bukan sahaja dalam aspek kesihatan bahkan dalam aspek sosial dan juga ekonomi ekoran daripada penularan wabak Novel Coronavirus atau lebih dikenali umum sebagai COVID-19. Ia merupakan sejenis virus baru daripada keluarga Coronavirus yang hanya dikesan selepas penularannya di Wuhan, China pada bulan Disember 2019. Apa yang ditakuti, virus ini begitu mudah sekali tersebar menjangkiti manusia dan menurut World Health Organization (WHO), ianya sepuluh (10) kali ganda lebih berisiko menyebabkan kematian berbanding virus H1N1.

4.           COVID-19 telah menyebabkan seluruh dunia berhenti secara serentak buat pertama kalinya sejak Perang Dunia Kedua. Tiada sesiapapun yang bebas melakukan aktiviti harian mereka. Pengulas ekonomi, termasuk International Monetary Fund (IMF) bersetuju bahawa krisis ekonomi yang bakal dihadapi pasca COVID-19 ini adalah yang paling buruk sejak Zaman Kemelesetan ataupun Great Depression pada 1929. Tiada satu negara di dunia ini bersedia untuk menghadapi penularan wabak COVID-19 termasuklah kuasa-kuasa besar seperti China, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. 

5.           Sehingga semalam iaitu 16 April 2020, jumlah kes terkumpul di seluruh dunia adalah sebanyak 2,029,930 kes dengan 136,320 kematian. Ia suatu angka yang begitu menakutkan. Di Malaysia pula, jumlah keseluruhan kes telah mencapai angka  5,182 dengan 84 kes kematian. Manakala, di Pulau Pinang, jumlah kes yang dicatatkan adalah sebanyak 119 dan kadar kematian masih kekal dengan hanya satu (1) kes.

6.           Buat masa ini, Kerajaan Negeri tidak perlu mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (Enhanced Movement Control Order - EMCO) di mana-mana lokaliti di Pulau Pinang. Mengikut Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), situasi terkini kes COVID-19 adalah terkawal dan dipantau secara rapi di peringkat negeri melalui kerjasama erat antara agensi-agensi di bawah Jawatankuasa Task Force COVID-19 dan Jawatankuasa Keselamatan Negeri Pulau Pinang Berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semua agensi kerajaan sedia maklum mengenai tanggungjawab serta peranan masing-masing dalam usaha menangani wabak ini.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

PENGHARGAAN TERIMA KASIH 

7.           Kita bersyukur kepada Tuhan bahawa jumlah kes di negeri boleh dikatakan rendah berbanding negeri-negeri lain. Ianya adalah hasil usaha gigih tanpa berputus asa dari semua petugas barisan hadapan (frontliners) untuk memastikan wabak COVID-19 ini dapat dibendung. Sesungguhnya, rakyat Pulau Pinang amat terhutang budi kepada frontliners ini. Justeru, pada kesempatan ini, dengan penuh keikhlasan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pasukan RELA yang telah bertungkus-lumus melaksanakan tugas mereka.

8.           Tidak lupa juga, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua jentera Kerajaan yang lain, Yang Berhormat ADUN kawasan, Ahli Parlimen, Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya, MPKK, Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak-pihak swasta dan individu perseorangan atas semua sumbangan serta tenaga yang dikerahkan dalam membantu Kerajaan Negeri menghadapi krisis COVID-19 ini. Sejak wabak ini menular, Kerajaan Negeri tidak putus-putus menerima sumbangan, baik dalam bentuk wang ringgit, makanan, mahupun peralatan keperluan untuk frontliners seperti peralatan perlindungan peribadi (PPE), pelitup muka, sarung tangan, sarung kasut, termometer, pensanitasi tangan dan pelindung muka (face shield). Setakat ini, jumlah sumbangan terkumpul bagi Tabung Covid-19 Pulau Pinang adalah sebanyak RM2,408,268.73. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada penyumbang-penyumbang tabung ini.

9.           Di sebalik sesuatu yang berlaku, pasti ada hikmah disebaliknya. Begitu juga dengan krisis COVID-19 ini. Jabatan dan agensi Kerajaan baik dari pentadbiran negeri mahupun persekutuan tidak lagi bekerja secara berasingan ataupun in-silo. Semua jabatan dan agensi memiliki fungsi masing-masing dan saling melengkapi antara satu sama lain. Sesungguhnya kejayaan membendung penularan COVID-19 agar kes tidak meningkat secara drastik adalah hasil dari whole-of-government effort. 

10.        Dalam usaha ini, masyarakat juga memainkan peranan yang amat penting. Tanpa whole-of-society effort, sudah pasti tiada satu kerajaan pun di dunia ini yang mampu menangani krisis COVID-19. Kita dapat melihat bagaimana NGO, syarikat swasta malahan orang perseorangan turut serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan akibat PKP seperti kelompok yang kehilangan sumber pendapatan dan penerima bantuan kerajaan. Malah, kadar pematuhan yang sangat tinggi oleh rakyat terhadap PKP juga merupakan satu usaha sosial dalam mengekang penularan wabak ini. Syabas saya ucapkan. 

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

BANTUAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

11.        Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat komited untuk mencegah penularan wabak COVID-19 dari terus mengancam rakyat. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah melancarkan kempen Penang Lawan COVID-19 melalui pemasangan billboard di seluruh Pulau Pinang, mengadakan siaran Facebook Live bagi menyampaikan mesej-mesej harian serta mewujudkan laman web kempen yang boleh diakses melalui penanglawancovid19.com. 

12.        Selain itu, pada 25 Mac 2020, Kerajaan Negeri telah mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang yang berjumlah RM75 juta untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan pandemik ini. Objektif utama Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang adalah:

i)             Memberikan bantuan segera kepada golongan yang paling terkesan (most vulnerable group) iaitu penjaja, peniaga kecil, pemandu teksi, penarik beca, pemandu e-hailing, OKU dan kumpulan B40;

ii)            Mengupayakan golongan pekerja untuk berdiri semula dan meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti; dan

iii)        Membolehkan kelangsungan perniagaan atau ‘business continuity’ di negeri Pulau Pinang bagi memastikan ekonomi negeri akan terus dibangunkan pasca 28 April 2020.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

PASCA COVID-19

13.        Ramai pakar kesihatan berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 ini tidak akan berakhir sekurang-kurangnya dalam tempoh 18 bulan lagi. Justeru, banyak perkara yang akan berubah. Cara hidup rakyat, cara mentadbir Kerajaan, begitu juga cara menjalankan perniagaan. Sememangnya, situasi ini merupakan new normal kepada kita yang mana kita terpaksa mengadaptasi rutin harian agar bersesuaian dengan situasi pandemik ini dalam tempoh masa yang berkemungkinan lebih lama. Kita perlu lihat kembali potensi digitalisation dalam pelbagai sektor dan memaksimumkan penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IoT), Big Data dan Artificial Intelligence (AI).

14.        Realitinya, dunia mungkin akan mengalami kelembapan ekonomi. Semua sektor ekonomi akan terjejas dan diikuti dengan pelbagai masalah sosial. Namun, Kerajaan Negeri berikrar akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini. Dari semasa ke semasa, Kerajaan Negeri akan melihat kesan COVID-19 ini secara menyeluruh pada setiap lapisan masyarakat dan juga setiap sektor ekonomi. Kerajaan Negeri juga sedang merangka Strategi Next Normal Pulau Pinang bagi memulihkan keadaan seperti sedia kala. Dalam usaha ini, Kerajaan Negeri akan mengambil pendekatan yang seimbang antara nyawa dan kehidupan. Dalam erti kata lain, dalam kita memfokuskan kepada isu kesihatan awam (public health), kita juga perlu mengambil kira faktor kesejahteraan ekonomi (economy health).

15.        Strategi Next Normal Pulau Pinang ini memiliki tiga misi utama, iaitu:

Pertama, mengukuhkan ekosistem di Pulau Pinang;

Kedua, menyelaraskan ekosistem tersebut kepada perubahan abad ke-21; dan

Ketiga, membina ketahanan (resilience) untuk menghadapi sebarang kemungkinan krisis pada masa hadapan. 

16.        Strategi ini akan melihat kepada pembaharuan daripada aspek institusi, ekonomi serta sosial di Pulau Pinang. Malah, kita sudah boleh melihat contoh anjakan ini dalam operasi serta pendekatan Kerajaan Negeri pada minggu ini. Misalnya, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melancarkan program untuk membantu para penjaja dan peniaga kecil memasuki pasaran e-dagang menerusi kempen seperti Jom Beli Online dan eBazar Ramadan. Pada hujung minggu ini pula, bermula 18 April 2020, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) akan menganjurkan pertandingan e-sukan, Liga Duduk Rumah.

17.        Manakala, pada hari Isnin depan iaitu 20 April 2020, Digital Penang akan menganjurkan sidang meja bulat maya (virtual round table) “PLC19 eCrowdSource: Hacking the Next Normal” yang mana penggiat teknologi, jurutera komputer, coder dan lain-lain pihak berkaitan akan berkumpul secara maya bagi membincangkan penyelesaian teknologi sebagai menempuh cabaran-cabaran baru yang sedang kita hadapi. 

18.        Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan InvestPenang untuk melibatkan industri pembuatan di Pulau Pinang untuk menilai kemungkinan mengubah kapasiti pengeluaran mereka untuk membantu menghadapi krisis COVID-19. Kerajaan Negeri membayangkan bahawa:

i)              Berdasarkan kekuatan semasa Pulau Pinang sebagai hab pembuatan global yang canggih dengan pool of knowledge serta jumlah pekerja mahir yang tinggi, kita dapat dengan cepat menjadikan diri kita sebagai pusat pembuatan utama untuk bekalan perubatan "semasa perang COVID-19" seperti pelitup muka, peralatan pelindung diri (PPE), ventilator, pensanitasi tangan dan barangan lain yang diperlukan. Pulau Pinang mahu membantu barisan frontliners kesihatan di seluruh Malaysia dalam usaha melawan COVID-19. Sementara itu, kita berharap dapat tampil lebih kuat dalam sektor bekalan perubatan sehingga dapat menyediakan pekerjaan dan menjana pendapatan bagi rakyat;

ii)             Berdasarkan kekuatan semasa Pulau Pinang sebagai pusat makanan, hasil pertanian dan perikanan, Pulau Pinang akan bekerja lebih keras lagi untuk memastikan bahawa kita dapat menyediakan lebih banyak makanan dan makanan olahan untuk semua rakyat Malaysia dalam pertarungan jangka masa panjang ini; 

iii)           Berdasarkan kekuatan Pulau Pinang dalam industri elektronik dan elektrikal sekarang ini, kita juga ingin meningkatkan tahap seterusnya untuk mendorong inovasi dan pengeluaran teknologi, alat dan produk yang akan membantu rakyat Pulau Pinang dan Malaysia untuk memasuki next normal selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

19.        Semua ini akan menjadi usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam pasca COVID-19. Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar Kerajaan Persekutuan turut sama berkongsi visi ini dan melihat nilai-nilai yang dimiliki oleh Pulau Pinang untuk membantu negara dalam tiga bidang yang baru saya gariskan. Kerajaan Negeri juga berikrar akan melaksanakan pembaharuan ekonomi melalui galakan penggunaan platform digital dalam sektor ekonomi, meneruskan pelaksanaan projek-projek pembangunan dan mempergiat usaha menarik pelaburan asing serta domestik dalam usaha memperbanyak peluang pekerjaan untuk rakyat jelata. 

20.        Dalam era pasca COVID-19 kelak, aspek kebersihan perlukan diutamakan. Usaha ini semestinya memerlukan whole-of-society effort melalui Cleaner, Healthier and More Caring Penang. Kerajaan Negeri melalui kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) akan melipat gandakan usaha untuk memastikan kebersihan di tempat-tempat awam supaya rakyat dapat menikmati kehidupan yang sihat seperti sediakala. 

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

HARAPAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

21.        Kita tidak dapat mengawal penyebaran COVID-19 tetapi kita dapat melakukan segala yang mungkin untuk mengurangkan jumlah pesakit di hospital kerana penyakit lain. Sekiranya ada individu dalam masyarakat kita yang tidak mampu mempunyai makanan, tempat tinggal dan penjagaan kesihatan asas dan  dijangkiti COVID-19, maka seluruh masyarakat akan menderita. Kita mesti memupuk semangat #kitajagakita untuk membina solidariti dengan kelompok masyarakat yang memerlukan. Semua ini memerlukan usaha seluruh masyarakat dan saya menyeru agar semua pihak bersama-sama menjadikan Pulau Pinang lebih bersih, lebih sihat dan lebih peduli. Saya yakin, melalui usaha kita semua, negeri Pulau Pinang akan mampu untuk keluar daripada krisis ini dan terus berkembang maju serta cemerlang. 

22.        Pada kesempatan ini, saya juga menyeru agar rakyat terus patuh dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mengamalkan kebersihan diri yang optimum sepanjang masa serta mengamalkan penjarakan fizikal atau physical distancing. Semoga kita sama-sama dapat mengharungi waktu sukar ini dengan sebaik yang mungkin. Terima kasih kepada Ketua Pembangkang yang telah memberi beberapa cadangan. Semua cadangan-cadangan ini akan diambil perhatian.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

PENUTUP

23.        Akhir sekali, saya mengulangi pendirian Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk terus komited dalam memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat seluruh negeri ini terus terjamin. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan sedaya upaya membantu sektor ekonomi agar kembali berkembang pesat seperti kelazimannya. Marilah kita terus bersama-sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mencegah serta menangani wabak COVID-19 ini secara menyeluruh demi kepentingan rakyat. 

Penang Lawan COVID-19! 

Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Marilah kita bertakafur selama seminit untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa-mangsa COVID-19, dan kepada mereka yang masih menerima rawatan, semoga cepat sembuh dan kembali di samping keluarga masing-masing.

Back to top