Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 15, 2020 2:31:50 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Saya berharap anda sihat bersama seisi keluarga. 

Hari ini merupakan hari ke-29 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan bermakna hari ini juga bermulanya Fasa 3 pelaksanaan PKP. Saya berharap anda akan terus patuh akan arahan. Duduk di rumah, kurangkan pergerakan luar. 

Berakhirnya dua (2) fasa PKP, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pekerja barisan hadapan kita, di hospital dan klinik, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), RELA, Jabatan Imigresen, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penguat kuasa serta polis bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT), pekerja-pekerja pembersihan kita, semua kakitangan Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang telah bekerja keras memastikan keselamatan serta kesejahteraan negeri Pulau Pinang terjamin dalam tempoh hampir sebulan ini. 

Berakhirnya dua fasa ini, saya dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bahawa tiada kluster baru direkodkan di negeri kita, dan syukur yang semua frontliners kita juga semua berada dalam keadaan sihat. Semoga doa kita terus bersama-sama mereka yang tanpa mengira siang dan malam bertungkus-lumus memastikan keselamatan kita semua. 

Sebagai makluman, Ketua Polis Pulau Pinang melaporkan bahawa kadar kepatuhan sehingga berakhirnya Fasa 2 PKP semalam ialah 97.84 peratus, dengan jumlah tangkapan seramai 861 individu ingkar PKP. 

Pada 13 April lalu, Kerajaan Negeri telah mendengar permintaan Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato’ Dr. Noor Hisham Abdullah tentang kekurangan stok peralatan perlindungan peribadi (PPE). Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri komited memastikan hospital serta klinik kerajaan mempunyai bekalan PPE yang secukupnya. Ini menjadi komitmen kami sejak dari awal PKP lagi iaitu untuk memastikan semua anggota barisan hadapan mendapat kemudahan dan peralatan mencukupi demi keselamatan masing-masing.

Berlandaskan komitmen ini, saya sentiasa mendapatkan pengemaskinian maklumat semasa daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) termasuk pada aspek bekalan peralatan. Saya difahamkan oleh Pengarah JKNPP bahawa situasi bekalan PPE di negeri ini adalah terkawal. Selain keperihatinan Kerajaan Negeri, sumbangan turut diterima daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) Pulau Pinang yang begitu komited. Sebagai tindakan lanjut, JKNPP turut memperoleh sumbangan daripada syarikat-syarikat swasta melalui Kerajaan Negeri untuk pembelian peralatan-peralatan perlu. Berhubung sumbangan ini, JKNPP telah menubuhkan jawatankuasa di peringkat negeri dan senarai peralatan serta consumables telah disenarai pendekkan. Nama model alat dan syarikat pembekal sedang dalam proses penyediaan untuk dimuktamadkan dalam tempoh terdekat. 

Setakat 11 April 2020, Kerajaan Negeri telah mengedarkan 1,311,300 pelitup muka kepada barisan hadapan dan golongan masyarakat perlu yang disalurkan menerusi wakil-wakil rakyat setempat. Bagi PPE, jumlah keseluruhan 30,510 yang diterima pihak Kerajaan Negeri sebelum ini telah 100 peratus disalurkan kepada pihak-pihak perlu; begitu juga 309,700 sarung tangan dan sarung kasut; penyerahan peralatan serta kelengkapan lain seperti termometer, pensanitasi tangan dan face shield diteruskan dari semasa ke semasa oleh Kerajaan Negeri. Ini adalah komitmen kami dalam bersama-sama memenangi pertempuran ini!

Sebagaimana yang saya nyatakan beberapa hari yang lalu, Pulau Pinang tidak boleh berada di dalam keadaan krisis untuk selama-lamanya. Pakar-pakar dalam pelbagai bidang telah meramalkan bahawa jika wabak COVID-19 ini berakhir sekalipun, dunia akan melihat perubahan amat besar yang mana apa yang kita anggap sebagai normal akan berubah kepada situasi baharu. Contohnya, cara kita bergerak, cara kita berinteraksi, cara kita melakukan perniagaan dan sebagainya, semua ini akan berubah.

Justeru, dalam kita melawan dan memutuskan rantaian perebakan virus COVID-19, Kerajaan Negeri turut membuat persediaan untuk berdepan dengan situasi baru tersebut melalui ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’.

‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’ mempunyai tiga misi utama, iaitu:

Pertama, mengukuhkan ekosistem di Pulau Pinang;

Kedua, menyelaraskan ekosistem tersebut kepada perubahan abad ke-21, dan;

Ketiga, membina ketahanan (resilience) untuk menghadapi sebarang kemungkinan krisis pada masa hadapan. 

Strategi ini akan melihat kepada pembaharuan daripada aspek institusi, ekonomi serta sosial negeri Pulau Pinang. Malah, kita sudah boleh melihat contoh anjakan ini dalam operasi serta pendekatan Kerajaan Negeri pada minggu ini.

Misalnya, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melancarkan program untuk membantu para penjaja dan peniaga kecil memasuki pasaran e-dagang menerusi kempen seperti Jom Beli Online dan eBazar Ramadan. 

Pada hujung minggu ini, bermula 18 April 2020, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) akan menganjurkan pertandingan e-sukan, Liga Duduk Rumah.

Pada Isnin depan, 20 April 2020, Digital Penang akan menganjurkan sidang meja bulat maya (virtual round table) “PLC19 eCrowdSource: Hacking the Next Normal” yang mana penggiat teknologi, jurutera komputer, coder dan lain-lain pihak berkaitan akan berkumpul secara maya bagi membincangkan penyelesaian teknologi sebagai menempuh cabaran-cabaran baru yang sedang kita hadapi. 

Saya yakin, melalui usaha kita semua, Pulau Pinang akan mampu untuk keluar daripada krisis ini dan terus berkembang maju serta cemerlang. 

Seperkara lagi yang saya ingin ketengahkan pada hari ini adalah seruan kepada Kerajaan Pusat untuk melaksanakan pembenihan awan di Pulau Pinang dan juga negeri Kedah pada kadar segera sebagai usaha dalam melawan wabak COVID-19 ini. Sebelum ini, saya telah menghantar dua surat masing-masing bertarikh 5 Mac 2020 dan 10 April 2020 kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Kementerian Alam Sekitar dan Air berhubung inisiatif ini. 

Hasil maklum balas jabatan berkaitan pada surat bertarikh 14 April 2020 yang diterima pada hari ini, MET Malaysia menyatakan pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dalam melaksanakan Operasi Pembenihan Awam (OPA) di wilayah utara apabila diperlukan, dan sekiranya keadaan atmosfera adalah bersesuaian. Dalam pelaksanaan OPA bagi kawasan empangan, MET Malaysia biasanya menggunakan kaedah pembenihan kering dan turut dinyatakan adalah kos operasi bagi penyewaan kapal terbang dan hygroscopic flare adalah perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri, dan MET Malaysia akan membantu daripada segi khidmat kepakaran teknikal sahaja. 

Justeru, berlandaskan keperluan 3.95 juta penduduk yang menetap di Pulau Pinang serta Kedah yang memerlukan bekalan air berterusan setiap hari untuk mengamalkan kebersihan diri yang baik, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk melaksanakan pembenihan awan ini walaupun dengan tanggungan kos sendiri. Kita berharap tindakan segera akan diambil pihak-pihak berkaitan demi kepentingan kesihatan dan keselamatan awam rakyat di negeri ini khususnya. 

Sebelum mengakhiri siaran mesej hari ini, saya mengucapkan terima kasih kepada Intel Malaysia yang menyumbang RM250,000.00 kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang. Sumbangan adalah diwakili Pengurus Organization Development, Intel Malaysia, Puan Aileen Kee. 

Susah senang bersama. Tough times will make us stronger. Penang Lawan COVID-19! 

CHOW KON YEOW

Back to top