Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 13, 2020 12:43:00 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. 

Hari ini merupakan hari ke-27 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Saya ingin menyentuh mengenai pertanyaan mengenai status pekerja migran dan juga komuniti pelarian ataupun refugees termasuk golongan Rohingya di Pulau Pinang. 

Kerajaan Negeri sedar bahawa virus COVID-19 tidak mengenal kaum, agama, dan kewarganegaraan. Jika kita tidak memastikan keselamatan serta kesihatan komuniti migran di negeri kita, maka secara tidak langsung, kita tidak akan dapat mematahkan rantaian perebakan virus ini. Dan jika kita tidak dapat mematahkannya, maka akhirnya rakyat Pulau Pinang dan rakyat Malaysia juga yang akan terkesan. 

Berlandaskan ini, Kerajaan Negeri telah menasihati pihak majikan seperti Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) dan Real Estates and Housing Developers Association (REHDA) cawangan Pulau Pinang untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja masing-masing termasuk pekerja migran terjamin. 

Berlandaskan ini, pihak FMM turut memberikan maklum balas bahawa pekerja migran mereka diarahkan untuk mematuhi PKP secara tegas, melaksanakan langkah-langkah kesihatan awam seperti penjarakan sosial dan sekiranya mereka terlibat dengan operasi kilang perkhidmatan penting, maka peralatan seperti pelitup muka serta pensanitasi tangan juga akan disediakan untuk keperluan mereka. 

Sebagai jaminan keselamatan semua di negeri ini, pegawai penguat kuasa dari kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa memantau keadaan tapak-tapak pembinaan untuk memastikan kepatuhan PKP. 

Pada aspek kebajikan, setakat ini, maklum balas yang diterima pihak kerajaan ialah majikan masih membayar gaji pekerja migran mereka. Namun, kami juga menerima keluhan para majikan terutamanya usahawan SME bahawa pelanjutan PKP akan memberikan beban kewangan yang berat kepada mereka.  

Bagi komuniti pelarian, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkhidmat dalam kalangan komuniti ini seperti Persatuan Komuniti Berdikari, Penang Stop Human Trafficking Campaign, ASPIRE Penang, Malaysian Relief Agency, Doctors Without Borders Caremongers Penang, Penang Working Group dan lain-lain.  

Malah, pada minggu lepas, saya telah meluluskan sejumlah peruntukan kepada Persatuan Komuniti Berdikari sebagai dana bantuan kepada komuniti pelarian di negeri ini.

Sebagaimana diumumkan pada 4 April lalu, pengagihan bahan makanan yang telah diluluskan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) berjumlah 20,000 pek telah mula diedarkan di Daerah Barat Daya semalam. Usaha ini akan berterusan secara berperingkat bagi meringkankan beban golongan-golongan disasarkan seperti:-

(i) Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat; 

(ii) Penerima bantuan Program Agenda Ekonomi Saksama (AES);

(iii) Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah kos rendah; atau 

(iv) mana-mana individu/keluarga yang telah dikenal pasti layak menerima bantuan oleh ADUN Kawasan. 

Malah, terdapat lima lokasi pengumpulan dan pengagihan makanan berpusat yang disediakan oleh Kerajaan Negeri iaitu Mutiara Food Bank yang beroperasi di Kompleks Masyarakat Penyayang  bagi Daerah Timur Laut; Dewan Kompleks Pasar Awam Balik Pulau bagi Daerah Barat Daya ; Pejabat Persatuan Bomba dan Sukarela Raja Uda bagi Daerah Seberang Perai Utara ; Dewan JKR Taman Bukit Kecil, Bukit Mertajam bagi Daerah Seberang Perai Tengah; dan Dewan MPKK Bukit Panchor, Nibong Tebal bagi Daerah Seberang Perai Selatan.

Pagi ini, saya telah mengadakan lawatan ke Pasar Awam Air Itam bagi memantau pematuhan PKP di kawasan berkaitan. Di sana, saya telah didatangi seorang bapa yang mengadu bahawa talian internet di pangsapuri diadiaminya dekat Green Garden, Paya Terubong adalah amat lemah sehingga menjejaskan pembelajaran atas talian anaknya yang kini merupakan seorang penuntut universiti. Sebagai penyelesaian, anaknya ingin ke rumah datuknya di Air Itam, namun disekat ekoran PKP. Walaupun remeh bagi sesetengah pihak, saya merasakan bahawa ketercapaian internet adalah amat penting dalam tempoh PKP, dan ia perlu diberikan perhatian khusus. 

Satu lagi maklum balas yang saya peroleh pada pagi ini adalah berhubung laman portal Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang tidak dapat diakses. Adalah menjadi harapan saya agar isu-isu ini dapat diatasi pada kadar segera.

Sebagai Kerajaan Negeri yang berjiwa rakyat, kita komited memastikan semua pihak mematuhi PKP agar Pulau Pinang dan Malaysia akan segera bebas daripada wabak COVID-19.

Penang Lawan COVID-19.

CHOW KON YEOW

Back to top