Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 12, 2020 1:58:12 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Salam sejahtera kepada anda.

Hari ini merupakan hari ke-26 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Easter kepada semua rakan-rakan yang beragama Kristian. Semoga kita semua dirahmati dengan pembaharuan dari segi fizikal, mental dan rohani. 

Saya telah mengadakan sesi mesej harian Ketua Menteri ini sebelum bermulanya pelaksanaan PKP pada 18 Mac 2020. Malah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melancarkan kempen Penang Lawan COVID-19 pada 16 Mac 2020 sebagai persiapan kepada negeri kita dalam menghadapi krisis wabak ini. Kini sudah hampir sebulan, dan kita bakal memasuki Fasa ke-tiga PKP. 

Saya tahu anda semua sudahpun letih. 

Pekerja barisan hadapan sudahpun letih bekerja tanpa henti. Doktor, jururawat, pekerja hospital sudahpun letih - mereka terpaksa berdepan risiko wabak secara langsung. 

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen dan lain-lain berkaitan sudahpun letih, mereka mengawal pusat-pusat kuarantin, menjalankan rondaan, berdiri di bawah panas terik matahari membuat sekatan jalan. 

Para penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) kita sudahpun letih. Mereka memastikan pasar awam serta premis perniagaan mematuhi PKP. Saya menghargai kesabaran dan profesionalisme mereka dalam berhadapan dengan segelintir orang awam yang masih degil. 

Pekerja pembersihan kita sudahpun letih. Kita duduk di rumah, sampah tetap dijana, pasar-pasar awam perlu dibersihkan. Merekalah yang sanggup bekerja dalam sektor 3D - Dirty, Difficult dan Dangerous bagi memastikan persekitaran negeri kita tetap bersih dan selamat.

Wakil-wakil rakyat serta pasukan khidmat mereka juga tiba-tiba berubah menjadi sebuah pasukan penghantar makanan serta barangan keperluan. Bayangkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah menghantar secara purata 200 hingga 300 pek makanan kepada penduduk di kawasan masing-masing setiap hari. 

Ini bermakna, setakat ini, wakil rakyat kita di Pulau Pinang telah menghantar kira-kira 20,000 sehingga 30,000 pek makanan, dan mungkin beberapa tan bekalan lain di seluruh negeri Pulau Pinang. Sudah tentu mereka pun turut sama berasa letih. 

Namun syukur, usaha kita semua tidak sia-sia. Negeri kita mampu mengawal perebakan wabak COVID-19 dalam tempoh PKP setakat ini. Tiada sebarang kluster baru telah direkodkan di Pulau Pinang, dan Pulau Pinang mempunyai kes per 100,000 penduduk yang kedua paling rendah di Malaysia selepas jiran kita negeri Kedah. 

Kita perlu terus bekerja keras! Sukacita saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa Perdana Menteri telahpun mengambil maklum berhubung permintaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 6 April lalu untuk meningkat serta memudahkan lagi proses ujian saringan COVID-19; mengenakan kawalan pergerakan di sempadan negeri dan memperkenal serta melaksanakan protokol EHS COVID-19 bagi industri. Adalah tinggi harapan saya agar Kerajaan Pusat dapat membuat keputusan secepat mungkin berhubung perkara-perkara ini. 

Dalam mengharungi krisis ini, beberapa pihak telah berdebat sama ada untuk mengutamakan kesihatan ataupun ekonomi. Dalam PKP Fasa 1 dan 2, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengutamakan kesihatan serta keselamatan penduduk Pulau Pinang. Perkara ini tiada kompromi! 

Namun kita sedar bahawa kita tidak boleh berada di dalam keadaan krisis untuk selama-lamanya. Pada minggu ini, saya akan mula berkongsi ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’ untuk menilai keadaan serta membuat persiapan bagi memulihkan urusan seharian di negeri kita. 

Di sini, saya kongsikan laporan daripada badan pemikir Kerajaan Negeri, Penang Institute yang telah membuat penilaian tentang keadaan Perusahaan Kecil dan Sederhana  (PKS) ataupun SME di negeri Pulau Pinang dalam berdepan wabak COVID-19. Laporan ini akan dimuat naik selepas siaran ini di Facebook dan laman web rasmi Penang Lawan COVID-19. 

SME memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi Pulau Pinang. Malah, kira-kira 99 peratus perniagaan di negeri kita adalah di dalam kategori SME dengan nilai tambah ekonomi sebanyak RM30 billion. Serentak itu, SME juga menyediakan pekerjaan kepada lebih 400 ribu pekerja di Pulau Pinang. 

Justeru, Kerajaan Negeri bakal memberi tumpuan bagi memastikan para usahawan kita mampu untuk bangkit dan meneruskan perusahaan masing-masing. 

Daripada analisa 46 jenis perniagaan kategori SME membabitkan empat (4) sektor utama iaitu, Pertanian, Pembinaan, Pembuatan dan Perkhidmatan, kajian Penang Institute mendapati bahawa SME sektor Perkhidmatan merupakan kumpulan yang paling terkesan di dalam krisis ini. Malah, sekiranya peratusan kebangsaan boleh diguna pakai sebagai garis panduan, maka di dalam sektor Perkhidmatan ini pula, dalam kalangan SME, usahawan mikro merupakan jumlah yang paling ramai. 

Dengan kata lain, pendedahan risiko ekonomi akibat wabak COVID-19 seperti pemberhentian operasi, penurunan perniagaan, kesukaran mendapatkan kredit serta lain-lain ditambah dengan sumber yang sudahpun terhad bagi usahawan mikro, secara tidak langsung meletakkan kumpulan tersebut sebagai golongan amat terkesan ekoran krisis ini. 

Perniagaan jenis pembaikian kenderaan dan motosikal; pemborongan barangan pertanian dan penternakan; pemborongan bahan-bahan untuk industri F&B; kedai-kedai runcit; stesen minyak; pengangkutan untuk pelancongan; perkhidmatan tempat kediaman seperti hotel, asrama, inap desa atau homestay; perkhidmatan F&B; perniagaan hartanah; khidmat pelancongan serta perusahaan berbentuk seni, hiburan serta rekreasi secara kolektifnya mempunyai kira-kira 180 ribu pekerja di Pulau Pinang, dan perniagaan-perniagaan ini mempunyai risiko ekonomi yang amat tinggi. 

Umumnya, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Peka PKS yang merupakan pinjaman tanpa faedah kepada usahawan SME. Skim ini diharap akan membantu SME di Pulau Pinang dalam mengharungi cabaran ekonomi yang melanda mereka. 

Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri melalui kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) juga sedang giat menggalakkan pendigitalan penjaja dan peniaga makanan di Pulau Pinang melalui kempen Jom Beli Online oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Malah, bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), platform e- Bazar Ramadhan bakal dilancarkan pada Selasa ini iaitu 14 April 2020. Menerusi kempen Jom Beli Online, saya telah dimaklumkan bahawa para penjaja yang mengambil bahagian baru-baru ini telah merekodkan peningkatan hasil jualan mereka. Syabas saya ucapkan! 

Saya berharap lebih banyak SME akan bergerak ke arah pendigitalan. Ini kerana, bilangan SME Pulau Pinang yang melaksanakan pendigitalan kini adalah amat rendah iaitu kira-kira 37.9 peratus sahaja. 

Realitinya, kita perlu bersedia menghadapi dan berdepan dengan masa depan yang baru akibat kesan wabak COVID-19. Yang menjadi kebiasaan kita dahulu mungkin akan berubah. Perniagaan kita mungkin terjejas. Pekerjaan kita mungkin terkesan. Bagaimanapun, jangan resah, Kerajaan Negeri bersama-mu dalam ‘Strategi Next Normal Pulau Pinang’. Tetapi, saya berharap anda juga akan bersiap-sedia daripada segi mental dan fizikal untuk menghadapi situasi ini. 

Sehingga itu, saya berharap anda semua akan terus bersabar, nescaya kita akan berjaya melawan COVID-19 bersama-sama.

Saya akhiri mesej hari ini dengan ucapan di bawah khasnya kepada semua penganut agama Kristian di negeri ini: 

Today is Easter Sunday, where Malaysians of Christian faith celebrate the resurrection of Jesus Christ. I wish all Christians, A Blessed Easter and I urge all to look with hope and trust in God during this perilous time.

Penang lawan Covid-19. 

CHOW KON YEOW

Back to top