Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 11, 2020 3:42:21 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi.

Hari ini merupakan hari ke-25 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan Fasa Ketiga PKP akan bermula pada 15 April hingga 28 April sebagaimana diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semalam. 

Adalah amat tinggi harapan saya agar semua terus bersabar, patuhi arahan, duduk di rumah dan kurangkan pergerakan di luar. Pematuhan ini adalah amat penting untuk kita memutuskan rantaian wabak pandemik COVID-19 dengan lebih menyeluruh. 

Memasuki Fasa Ketiga PKP, Kerajaan Negeri faham akan segala kesusahan serta kesulitan yang dihadapi rakyat di negeri ini. Umumnya, Kerajaan Negeri komited dan sedang mengkaji dengan lebih mendalam berhubung pelaksanaan beberapa pelan peningkatan termasuk pada aspek ekonomi, emosi dan sosial demi kepentingan semua komuniti di negeri ini yang mana akan saya kongsikan dalam tempoh masa terdekat. 

Semalam, saya telah mengadakan lawatan ke Kompleks Masyarakat Penyayang bagi menyantuni 39 gelandangan yang kini ditempatkan buat sementara waktu bagi tempoh pelaksanaan PKP ini. Saya bersyukur kerana rata-ratanya dilihat menjalani kehidupan harian yang lebih selesa dan terurus. Pendekatan yang dilaksanakan sejak 28 Mac ini merupakan salah satu inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi menjaga kebajikan golongan memerlukan dan pada masa sama, ia merupakan usaha ke arah kawalan penularan wabak COVID-19. 

Usaha-usaha ini akan diteruskan oleh Kerajaan Negeri demi kepentingan rakyat di negeri ini. Kita tidak pernah melupakan mereka yang susah, dan pada minggu ini, semua wakil rakyat telah bertungkus-lumus mengedarkan bahan-bahan makanan kepada golongan memerlukan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) masing-masing. 

Sebagai rekod dari Pejabat Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar sehingga 10 April 2020, ribuan bungkusan pelbagai bentuk makanan asas kering dan basah seperti beras, biskut, mee segera, minyak masak, gula, susu tepung bayi, ikan, ayam serta lain-lain telah berjaya diedarkan meliputi hampir keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kawasan Parlimen di seluruh negeri ini. 

Bagi kelengkapan peralatan utama, sebagaimana dijanjikan Kerajaan Negeri, sehingga 9 April 2002, sebanyak 1.3 juta pelitup muka telah diedarkan khususnya kepada barisan frontliners. Tidak terkecuali adalah golongan masyarakat setempat yang memerlukan. Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN-ADUN) telah dibekalkan dengan stok pelitup muka secara berperingkat untuk edaran di kawasan masing-masing. Tidak terkecuali adalah sumbangan peralatan personal protective equipment clothing, face shield, personal protective equipment (PPE), pensanitasi tangan, termometer, sarung tangan dan sarung kaki (shoe covers) yang keseluruhan berjumlah 330,352 botol/batang/pasang yang diteruskan pada setiap hari. 

Diharapkan segala bantuan ini sedikit-sebanyak akan meringankan kerisauan serta beban ditanggung anggota-anggota barisan hadapan kita. Malah, diharapkan juga seluruh rakyat Pulau Pinang memperoleh bekalan tersebut bagi kegunaan pada tempoh masa perlu.  

Pada kesempatan ini, saya ingin memohon agar rakyat Pulau Pinang supaya lebih berhati-hati ketika membuat pembelian pelitup muka secara online. Ini kerana, menurut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada tempoh 30 Januari 2020 hingga 9 April 2020, sebanyak 60 kertas siasatan perniagaan pelitup muka secara scam melalui online membabitkan kerugian RM466,496.00 telah dilaporkan membabitkan lima daerah di negeri ini. Ekoran itu, beberapa pendekatan telah diambil PDRM bagi membanteras jenayah siber berkaitan iaitu dengan meningkatkan kadar kesedaran orang ramai berhubung dengan trend penipuan yang dilakukan menggunakan teknologi komunikasi moden menerusi ceramah, iklan, program radio serta edaran risalah-risalah. Sila berwaspada semua, sentiasalah rujuk kepada maklumat serta pihak yang sahih sebelum membuat sebarang pembelian. 

Pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh saya pagi tadi, beberapa ketetapan serta makluman telah diputuskan oleh ahli-ahli mesyuarat, antaranya:-

(i) Berhubung sembilan (9) sektor pengilangan dan perkhidmatan tambahan yang dibenarkan beroperasi secara berperingkat hasil daripada pengumuman Kerajaan Pusat semalam, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Mesyuarat ambil maklum, namun kita menunggu perincian lanjut daripada kementerian-kementerian berkaitan berhubung garis panduan pelaksanaannya. 

Bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pendirian kami adalah lebih tertumpu kepada keseimbangan antara kesihatan awam dan kehidupan rakyat di negeri ini. Saya tertarik dengan ungkapan ini: “Safeguarding our lives and our livelihoods,” the shock to our lives and livelihoods from the virus-suppression efforts could be the biggest of the past 100 years. If we do not stop the virus, many people will die. If attempts to stop the pandemic cause severe damage to social and economic networks, people will experience large-scale suffering in the medium and long term”. Itulah cabaran yang kita perlu hadapi. 

(ii) Bagi sektor perkhidmatan gunting rambut asas yang turut diumumkan, Kerajaan Negeri memandang serius berhubung peratusan lebih daripada 95 peratus maklum balas awam yang menyatakan kebimbangan mereka. Malah, Mesyuarat turut mengambil kira persoalan-persoalan seperti faktor-faktor penjarakan sosial dan juga kemungkinan menyebabkan wujudnya kluster baru. 

Justeru, Mesyuarat memutuskan bahawa Kerajaan Negeri berhak untuk tidak mengikut keputusan Kerajaan Pusat sekiranya ia masih dilaksanakan, dan berharap Kerajaan Pusat akan mengkaji semula perkara ini demi keselamatan semua pihak. 

(iii) Bagi perkhidmatan-perkhimatan penjualan kedai input pertanian (baja/racun); hardware; penjualan makanan haiwan kesayangan dan ubatan yang diumumkan pada 3 April lalu, tempoh operasi akan dilanjutkan kepada jam 5 petang iaitu 8 pagi hingga 5 petang berbanding kini, 8 pagi hingga 2 petang. Hari pengoperasian masih dikekalkan iaitu dua (2) kali seminggu pada hari Isnin dan Khamis. 

(iv) Bagi disinfeksi kawasan umum, menurut nasihat yang diterima daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), inisiatif ini adalah tidak membantu dalam pembasmian kuman serta virus wabak. Apa yang lebih penting adalah kebersihan diri. Amalkan kebersihan diri sebagaimana disarankan iaitu basuh tangan dan mandi selepas terlibat dengan pergerakan di luar daripada rumah. 

Marilah kita terus bersama-sama menempuhi cabaran ini. Orang Pulau Pinang pasti boleh!

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top