Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 10, 2020 1:32:10 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi.

Hari ini merupakan hari ke-24 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Memasuki minggu terakhir Fasa Kedua PKP, mesej saya pada hari ini adalah lebih kepada perkongsian saya sebagai seorang individu, suami, seorang ayah dan juga seorang pemimpin. 

Kita sudah memasuki minggu terakhir Fasa Kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi menangani penularan wabak COVID-19. Sama ada perintah ini akan dilanjutkan, ia lazimnya menjadi tumpuan serta perhatian semua rakyat yang kehidupan harian terkesan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini.

Saya tiada jawapannya, dan kita perlu menunggu keputusan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada petang ini. Sebagaimana semua di sini, saya memang berharap kita boleh cepat kembali kepada situasi asal dan hentikan penularan wabak COVID-19 di negeri kita serta negara kita ini pada kadar segera. 

Akan tetapi, pihak berwajib iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu meneliti dengan lebih mendalam sebelum sebarang keputusan boleh diputuskan. Apa sekalipun keputusannya, saya berharap rakyat boleh menerima hakikat ini dan terus memberikan kerjasama bagi memutuskan rantaian wabak ini daripada terus merebak. Ia adalah demi keselamatan kita semua dan juga orang yang kita sayangi.

Dalam tempoh ini, banyak yang membelenggu pemikiran saya, apakah masa depan kita semua. Realitinya, dunia pasca COVID-19 adalah sebuah dunia yang tidak dapat kita bayangkan pada ketika ini.

Bermula daripada seorang individu dan kemudian merebak ke setiap negara di seluruh pelosok bumi ini. Dalam tempoh masa yang amat singkat, kita sebagai manusia menghadapi masa depan yang amat berbeza daripada sekarang, dan kini adalah tidak dapat dinafikan bahawa dalam mengorak ke arah perubahan ini, kemungkinan terdapat pihak yang kecundang di separuh jalan. 

Bagi seorang individu, apakah masa depan bagi kita semua. Kita mungkin terancam oleh isu kesihatan dan mungkin juga mata pencarian, nafkah kepada keluarga serta pekerjaan. Apabila seseorang individu terjejas, maksudnya keluarga dan masyarakat turut akan menerima impaknya.

Pada aspek ekonomi negara, apakah masa depan yang menanti usahawan dan syarikat-syarikat yang telah sekian lama beroperasi. Sememangnya masa depan adalah agak kabur dalam memastikan survival kita dalam dunia perniagaan serta sektor ekonomi secara keseluruhan.

Apakah dunia perniagaan pasca COVID-19 yang perlu kita tempuhi. Semestinya akan ada perniagaan yang akan hilang relevannya dan secara tidak langsung, kita perlu merombak semula sistem ekonomi dunia dan negara kita.

Setelah tiga minggu dalam PKP, saya percaya ramai sudah berasa letih berhadapan dengan kesulitan hidup dan masa depan yang tidak menentu. Ada yang tidak sanggup dan tidak mampu lagi mengerti erti ketabahan dalam perjuangan ini dan mahu menyerah diri. 

Tidak dinafikan, perasaan ini turut bermain dan menghantui sanubari saya. Akan tetapi, saya tahu bahawa sebagai pemimpin negeri ini, saya ada kewajipan kepada Pulau Pinang dan rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. Saya tidak boleh putus asa dalam melawan COVID-19.

Apa jua senario masa depan yang terpapar serta bermain-main di dalam pemikiran kita, ia tidak seharusnya menguasai dan seterusnya melemahkan semangat kita di dalam pertempuran melawan wabak ini.

Ayuh, marilah kita memberi sokongan padu kepada petugas-petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus, juga kepada rakan-rakan, anak-anak dan kawan sepejabat serta jiran-jiran kita bahawa kita perlu sepakat sehingga kita mencapai kejayaan. 

Teruskan berjuang, jangan mudah menyerah kalah demi mencipta masa depan yang kita bangga serta impikan. 

Bagi penganut agama Kristian, saya mengambil peluang ini mengucapkan blessed Good Friday. Semoga kita terus diberkati. 

Though times will make us stronger. Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top