Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 09, 2020 1:07:34 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi.

Hari ini merupakan hari ke-23 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Saya berharap anda akan terus tegas dan komited mematuhi PKP. Nasihatilah, tegurlah orang-orang yang masih berdegil khususnya yang kita kenali supaya kita sama-sama putuskan rantaian wabak COVID-19 ini. 

Setakat semalam, 8 April 2020, Ketua Polis Negeri memaklumkan bahawa kadar kepatuhan PKP adalah pada kadar 97.7 peratus, dan seramai 587 individu telah ditahan ekoran ingkar PKP. 

Sebagai makluman, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka yang melanggar PKP akan dikenakan kompaun RM1,000. 

Justeru, saya mohon agar rakyat Pulau Pinang sepakat serta terus menghormati undang-undang dan mematuhi PKP ini. Ayuh, buktikan kita boleh!

Tidak dinafikan bahawa ramai yang berasa bimbang apabila melihat kes positif COVID-19 telah meningkat sebanyak enam (6) kes semalam di negeri Pulau Pinang berbanding sifar ataupun hanya satu (1) kes pada hari-hari sebelumnya. 

Berkali-kali saya tegaskan sebelum ini bahawa jangan terlalu leka dengan angka-angka ini kerana pertempuran ini adalah sebuah maraton dan bukannya larian pecut yang hanya berakhir dalam tempoh masa singkat. Kita masih perlu dan terus bekerja keras. Jangan sesekali menanam sifat sambil lewa bahawa kita sudah boleh ‘relax’ akibat dikaburi oleh angka-angka berkaitan. Please do not think that we have done it, we must continue to work hard.

Mengambil peluang ini, saya ingin menyatakan bahawa setakat ini, syukur tiada laporan wujudnya kluster baru di negeri Pulau Pinang. Justeru, kes-kes terbaru merupakan pendedahan kluster lama. Ini sebenarnya suatu perkembangan yang baik. Kita perlu memastikan semua kes-kes positif COVID-19 timbul ke permukaan terutamanya dalam tempoh PKP ini. 

Atas dasar itu juga, pada awal minggu ini, saya telah memohon agar Kerajaan Pusat meningkatkan lagi kadar ujian saringan COVID-19 di negeri Pulau Pinang. Kita mesti mengetahui dengan jelas semua kes-kes positif wabak ini dan seterusnya mengambil tindakan yang sepatutnya termasuk mengasingkan pesakit-pesakit ini bagi memutuskan rantaian perebakan. 

Bagaimanapun, jangan sesekali kita panik apabila bilangan kes bertambah ekoran peningkatan kadar ujian saringan ini. Pengalaman di negara-negara seperti Korea Selatan yang dilihat sebagai berjaya mengekang wabak ini termasuklah melakukan seberapa banyak saringan yang mungkin. Pada aspek ini, Kerajaan Negeri adalah sudi bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam menjayakan pendekatan dicadangkan.  

Pada kesempatan ini, saya menyeru supaya kita terus memberi sokongan padu kepada petugas-petugas barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus, juga kepada rakan-rakan, anak-anak dan kawan sepejabat serta jiran-jiran kita bahawa kita perlu sepakat sehingga kita mencapai kejayaan melawan COVID-19. 

Sebelum mengakhiri siaran mesej saya hari ini, saya dahulukan sekalung penghargaan kepada Mah Sing Group & Mah Sing Foundation yang menyumbang 30,000 helai pelitup muka (surgical masks) kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang akan diedarkan kepada barisan frontliners yang memerlukan. 

Diwakili oleh:

1. Encik Lai Kok Soon, Pengurus Besar Kanan, Ketua Wilayah Utara

dan juga kepada:

Iconic Worldwide Berhad yang menyumbangkan 20,000 helai pelitup muka (Medical-grade face masks) kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Diwakili oleh:

1. Dato’ Tan Kean Tet, Pengarah Urusan

Teruskan berjuang, jangan mudah menyerah kalah. Though times will make us tougher. Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top