Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 08, 2020 1:55:55 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi.

Hari ini merupakan hari ke-22 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Semoga anda terus berada dalam keadaan yang sihat dan selamat bersama keluarga. 

Terima kasih kepada warga barisan hadapan yang begitu setia berkhidmat demi kesejahteraan kita semua. 

Saya baharu sahaja selesai mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebentar tadi. Antara perkara utama yang telah dipersetujui oleh jemaah Exco ialah berkaitan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14.

Walaupun tempoh PKP mungkin masih belum tamat dan sekiranya tamat sekalipun, kita harus terus melaksanakan langkah-langkah kesihatan awam, namun Kerajaan Negeri perlu menuruti Perlembagaan Negeri Pulau Pinang terutamanya Perkara 19(1) yang berbunyi:

“Yang Di-Pertua Negeri hendaklah memanggil Dewan Undangan dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk persidangan pertamanya dalam penggal yang kemudian.”

Tempoh enam (6) bulan tamat pada 7 Mei 2020. 

Justeru, jemaah Exco telah bersetuju dan saya akan mengadakan kunjungan rasmi terhadap Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang untuk memanggil Dewan Undangan Negeri bersidang pada 17 April 2020.

Selepas berbincang dengan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), ekoran keadaan wabak pandemik yang kita hadapi, persidangan DUN akan dilaksanakan seperti berikut:

Pertama, persidangan akan dipendekkan kepada setengah hari dan tiada istiadat kawalan kehormat akan diadakan.

Keduanya, perasmian persidangan akan dimulakan dengan amanat Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri. 

Ketiga, Ketua Pembangkang dijemput untuk membuat ucapan beliau.

Keempatnya, Ketua Menteri akan memberikan kenyataan Ketua Menteri atau Chief Ministerial Statement.

Kelima, soalan-soalan Lisan yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri akan dijawab secara bertulis. 

Keenam, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan disiarkan secara langsung.

Ketujuh, Dewan Undangan Negeri (DUN) akan bersidang di Dewan Sri Pinang dan langkah-langkah pembasmian kuman lokasi, penjarakan sosial, pengukuran suhu badan akan dilaksanakan terhadap semua pihak yang menghadiri persidangan tersebut. 

Mana-mana individu termasuk ADUN yang tidak sihat akan dikecualikan daripada mengikuti persidangan. Serentak itu, pihak DUN juga akan mengaturkan kehadiran pegawai perubatan bagi menguruskan hal-hal berkaitan kesihatan hadirin.

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri dan berharap Tuan Yang Terutama Tun akan mempersetujui susun atur persidangan pada kali ini. 

Pada masa sama, saya juga memohon agar Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN-ADUN) memahami situasi yang kita hadapi, dan akan terus memainkan peranan sebagai wakil rakyat. 

Saya berharap persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini akan berjalan lancar walaupun kita menghadapi kekangan akibat keadaan wabak.

Sebelum saya mengakhiri siaran mesej saya pada hari ini, Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan daripada syarikat PKT Logistics Group Sdn. Bhd. berjumlah RM100 ribu dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebagaimana diumumkan sebelum ini yang berjumlah RM1 juta kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang. 

Sumbangan daripada syarikat PKT Logistics Group Sdn. Bhd. iaitu syarikat tempatan yang beroperasi di Batu Kawan diwakili oleh Pengurus Besar Cawangan Pulau Pinang-nya, Encik Jasmon Lim; manakala PDC diwakili oleh Pengurus Besar-nya, Dato’ Mohd. Bazid bin Hj. Abd. Kahar. 

Serentak itu, bagi memperkasakan lagi barisan hadapan kita dalam menghadapi wabak COVID-19, sebuah badan amal, One Hope Charity juga bakal menyumbangkan barangan kelengkapan seperti pelitup muka, isolation gown, jump suit dan peralatan perubatan bernilai kira-kira RM1.8 juta kepada pihak hospital serta klinik; Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP); Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang pada petang ini. 

Sekalung penghargaan kepada semua. Tough times will make us stronger. Penang Lawan COVID-19.

CHOW KON YEOW

Back to top