Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 07, 2020 1:30:27 pm

Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi.

Hari ini merupakan hari ke-21 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Semalam, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan Bantuan Prihatin PKS. Pulau Pinang sebagai sebuah negeri perindustrian menyambut baik pengumuman Kerajaan Pusat berkaitan dan berharap segala bantuan yang diumumkan akan dilaksanakan pada kadar secepat mungkin. 

Objektif kita selepas ini adalah untuk membangunkan semula ekonomi Negeri dan negara agar kehidupan rakyat boleh kembali seperti biasa. 

Saya tahu bahawa ramai peniaga dan usahawan tertunggu-tunggu pengumuman lanjut tentang Skim Pinjaman Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang atau secara ringkasnya, Skim Peka PKS. 

Tujuan utama Kerajaan Negeri memperkenalkan skim ini adalah untuk membantu usahawan mikro serta usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ataupun SME di Pulau Pinang bagi membolehkan mereka meneruskan perusahaan masing-masing dengan penyediaan pusingan modal yang terjejas dalam tempoh kesukaran ketika penularan wabak COVID-19 sehingga menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Realitinya, Kerajaan Negeri melihat sektor PKS ini sebagai rakan kongsi yang sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri dalam membangunkan Negeri Pulau Pinang. Sektor PKS penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan produktiviti, inovasi dan seterusnya menyumbang kepada kemakmuran rakyat serta Negeri ini. Justeru, pada masa susah, tidak sesekali Kerajaan Negeri akan membiarkan anda keseorangan… Tidak! Seperti yang saya sering tegaskan, kita susah sama-sama, kita senang sama-sama. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni.

Sukacita saya ingin mengumumkan bahawa para usahawan PKS Negeri Pulau Pinang boleh mula membuat permohonan Skim Peka PKS bermula 8 April 2020. Tarikh tutup ialah pada 21 April 2020

Menerusi skim tersebut, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM30 juta sebagai dana dalam Skim Peka PKS. Agensi yang terlibat dalam pengurusan skim ini ialah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Semua permohonan perlu dibuat atas talian melalui laman web: www.pdc.gov.my.

Skim Peka PKS yang disediakan bakal melibatkan dua kategori iaitu Industri Kecil dan Sederhana (IKS); serta Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS). 

Bagi IKS yang terlibat dalam sektor pembuatan, mereka boleh memohon pinjaman sehingga RM50 ribu. Bagi PKS yang terdiri daripada syarikat yang terlibat dalam sektor lain pula, permohonan adalah sehingga RM20 ribu. 

Secara ringkasnya, skim ini ialah pinjaman tanpa faedah yang perlu dibayar kembali mengikut kaedah berikut:

a. Pada enam (6) bulan pertama, peminjam tidak perlu membuat sebarang pembayaran balik.

b. Pada bulan ke-7, peminjam perlu mula membuat pembayaran balik setiap bulan sehingga bulan ke-30.

c. Sebagai insentif, rebat akan diberikan kepada peminjam yang berjaya melangsaikan pinjaman pada bulan ke-18 ataupun sebelumnya. 

d. Sekiranya pinjaman gagal diselesaikan dalam tempoh 30 bulan, penalti bayaran lewat sebanyak 8 peratus akan dikenakan. 

Segala maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.pdc.gov.my dan memandangkan bahawa peruntukan untuk Skim Peka PKS adalah berjumlah keseluruhan RM30 juta, maka pinjaman hanya akan diberikan kepada pemohon yang memenuhi syarat-syarat dan secara ‘first come, first serve basis’. 

Pada dasarnya, apa yang ditawarkan menerusi Skim Peka PKS merupakan simbolik komitmen Kerajaan Negeri terhadap golongan usahawan PKS dan SME di negeri ini. Umumnya, golongan usahawan adalah juga diseru untuk membuat permohonan terhadap Bantuan Prihatin PKS yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat sebelum ini. 

Ayuh… para usahawan, majikan, pemilik-pemilik perniagaan, penyewa, tuan tanah, para kakitangan dan rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan, kita sama-sama bangkit untuk membina semula Negeri Pulau Pinang.

Sebelum mengakhiri siaran mesej hari ini, bersama-sama kita saksikan rakaman sebuah video yang menunjukkan ketegasan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan kepatuhan kilang-kilang di Pulau Pinang yang dibenarkan beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) bagi tempoh PKP ini. Turut dihargai adalah kerjasama yang diberikan oleh pihak kilang yang komited mematuhi garis panduan ditetapkan. 

Tough times will make us stronger. Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top