Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 06, 2020 12:35:00 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. 

Ini hari ke-20 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Daripada pemerhatian saya, saya bersyukur kerana rakyat Pulau Pinang semakin memahami perlunya mematuhi arahan untuk kurangkan pergerakan keluar rumah. 

Walaupun berada di rumah, jangan sebarkan berita palsu, khabar angin dan berita yang belum disahkan oleh pihak berkuasa. 

Umumnya, dalam tempoh 20 hari ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil tindakan berdasarkan tiga (3) strategi utama, iaitu:

PERTAMA: Pengawalan wabak melalui penguatkuasaan PKP dan kerja-kerja pembasmian kuman.

KEDUA: Penerangan awam melalui pelbagai kaedah dengan saluran perkongsian maklumat secara ringkas, pantas dan telus. 

KETIGA: Pengurusan impak melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang. 

Saya berasa bersyukur kerana setakat ini hasil berkat usaha wira-wira barisan hadapan, kerjasama rakyat Pulau Pinang dan pelaksanaan strategi yang berkesan, Negeri kita masih dalam keadaan yang terkawal. 

Masuknya hari ke-20 ini, Kerajaan Negeri bersiap-sedia untuk menghadapi hari-hari yang akan datang termasuk untuk membina semula Negeri kita pasca-PKP ini. Saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan sentiasa menjaga keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang. 

Di sini, saya ingin berkongsi tiga (3) cadangan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Kerajaan Pusat untuk tempoh sembilan (9) hari terakhir pelaksanaan PKP sehingga 14 April ini: 

PERTAMA, saya berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menambah dan memudahkan prosedur ujian saringan COVID-19. Jika perlu, Kerajaan Negeri bersedia untuk membantu usaha KKM dalam inisiatif ini di Pulau Pinang. Ini kerana, kita perlu menggunakan kesempatan pada tempoh pelaksanaan PKP ini untuk membolehkan semua kes positif COVID-19 timbul ke permukaan dan seterusnya mengambil tindakan yang diperlukan. In other words we want to see all Covid-19 positive cases to emerge during this period.

KEDUA, saya mohon Kementerian Dalam Negeri untuk melaksanakan kawalan pergerakan di sempadan-sempadan bagi Negeri Pulau Pinang. Ini adalah bagi membolehkan Pulau Pinang memutuskan rantaian perebakan COVID-19 secara lebih berkesan. Negeri-negeri seperti Sarawak dan Sabah yang mempunyai kuasa imigresen negeri telahpun lebih awal melaksanakan pendekatan ini. 

KETIGA, saya menyeru pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Kementerian Sumber Manusia untuk menetapkan dan menguatkuasakan protokol Persekitaran, Kesihatan dan Keselamatan (Environment, Health and Safety) bagi pihak industri agar semua perusahaan yang dibenarkan beroperasi diwajibkan mematuhi langkah-langkah keselamatan serta kesihatan dengan tegas tanpa pengecualian. Satu garis panduan yang lebih jelas terhadap industri penting dan industri sokongan kepada industri penting ini perlu dikemas kini dan diumumkan sebagai makluman umum. 

Dengan ini, saya berharap Kerajaan Pusat akan mempertimbangkan cadangan-cadangan saya di atas. Saya akan cuba membawa semua cadangan dinyatakan secara rasminya kepada Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 akan datang. 

Semoga kita terus berusaha membebaskan Negeri dan negara kita daripada ancaman COVID-19.

Tough times will make us tougher. Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top