Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 05, 2020 12:33:03 pm

Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi sekalian. 

Hari ini merupakan hari ke-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Bermula semalam 3 April 2020, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan untuk melaksanakan kuarantin terhadap penumpang dari luar negara.

Bagi negeri kita, menurut Pengurus Kanan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), tiada lagi penerbangan antarabangsa ke Pulau Pinang kini ekoran pembatalan oleh semua syarikat penerbangan sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Bagi proses kuarantin terhadap penumpang dari luar negara, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyatakan bahawa penumpang luar negara yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) walaupun penduduk Pulau Pinang sekalipun, perlu dikuarantin di Kuala Lumpur dan tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang. 

Saya berharap anda akan bersabar dan mematuhi arahan terbaru ini demi keselamatan semua. Percayalah, pengorbanan anda memberikan makna yang besar kepada semua pihak. Kita mesti bersama-sama mematahkan rangkaian perebakan wabak COVID-19 ini. 

Orang Penang mesti boleh!

Sejajar dengan laungan tersebut, Ketua Polis Pulau Pinang memaklumkan bahawa kadar kepatuhan PKP sehingga 12 tengah malam 4 April 2020 ialah 97.8 peratus. Sedikit lagi untuk capai 100 peratus, ayuh kita buktikan!

Dalam tempoh 19 hari ini, walaupun jumlah kes di negeri ini hampir mencecah tiga digit sehingga laporan jam 12 tengah hari semalam, 4 April 2020, saya amat terharu dengan komitmen yang ditunjukkan oleh barisan hadapan (frontliners) di negeri ini. Tanpa mengira siang dan malam, setiap hari mereka bertungkus-lumus memastikan keselamatan kita semua terjamin. Saya bersyukur apabila dimaklumkan oleh Pengarah JKNPP semalam, sehingga kini tiada anggota barisan hadapan kita yang dijangkiti dengan virus pandemik ini, marilah kita terus mendoakan keselamatan mereka. 

Memetik seruan Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya berharap agar barisan frontliners kita terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial (social distancing) dan pemakaian alat pelindung diri mengikut keperluan. Bagi pengamal perubatan di hospital serta klinik swasta yang juga merupakan barisan hadapan dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, semua juga dinasihatkan supaya mengamalkan langkah-langkah pencegahan sebagaimana dinyatakan terutamanya amalan penggunaan penutup mulut dan hidung semasa mengendalikan pesakit serta menggunakan peralatan perlindungan peribadi atau personal protective equipment, PPE) yang sesuai apabila melaksanakan sebarang prosedur klinikal.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami sentiasa bersedia dan komited untuk menyumbangkan peralatan-peralatan perlu kepada barisan hadapan ini. Sebagai rekod, sehingga kini, sebanyak 370 ribu pelitup muka telah diedarkan kepada frontliners pelbagai agensi serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); sarung tangan (230 ribu) dan lain-lain. 

Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Speaker Dewan Undangan Negeri yang menyumbang satu bulan gaji kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang. Begitu juga dengan inisiatif semua wakil rakyat Pulau Pinang yang sanggup mengetepikan perbezaan politik dan bergabung melawan COVID-19. Semalam, Ketua Pembangkang dan Ketua Backbencher Dewan Undangan Negeri telah mengeluarkan kenyataan bersama untuk menderma 30 peratus daripada gaji masing-masing kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka semua. 

Serentak itu, sekalung penghargaan juga kepada InvestPenang dan rakan-rakan industri di negeri Pulau Pinang yang telah tampil menghulurkan sumbangan untuk melawan wabak ini. 

Setakat ini, kira-kira RM1.5 juta telah disumbangkan dalam bentuk peralatan keperluan perubatan seperti pelitup muka, pelindung muka, sarung tangan, PPE, mesin tekanan darah, sistem ultrabunyi, alat dialisis, komputer, pencetak dan sebagainya. 

Justeru, adalah menjadi harapan saya agar lebih ramai pihak yang akan tampil memberikan bantuan sebegini. Anda boleh menyumbang terus kepada pihak hospital atau melalui Tabung Covid-19 Pulau Pinang menerusi akaun Maybank, 557054620930. 

Pada hari ini, kita juga amat berbesar hati menerima sumbangan 3,000 keping face shields daripada Buddhist Tzu-Chi Merits Society Malaysia kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk kegunaan warga barisan hadapan yang diwakili oleh Pesuruhjaya, Encik Khoo Boo Leong.  

Sebelum mengakhiri mesej hari ini, ikhlas saya nyatakan bahawa saya cukup tersentuh dengan mesej-mesej peribadi yang dihantar kepada saya. Terima kasih di atas sokongan yang diberikan, doa, kata-kata semangat dan yang bertanyakan khabar tentang kesihatan saya – “Saya dalam keadaan baik - cuma rambut ada sedikit panjang dan tidak begitu kemas…”

Thank you for giving me support, prayer, messages of encouragement, concern about my health etc. I am doing fine, just my hair is a bit long and untidy…

Tough times will make us tougher. Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top