Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 04, 2020 1:05:39 pm

Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi.

Hari ini merupakan hari ke-18 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Saya ingin mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan saya terutamanya wakil-wakil rakyat Pulau Pinang dan pasukan mereka yang telah menonjolkan kepimpinan yang cemerlang sepanjang tempoh PKP ini.

Walaupun pusat khidmat wakil rakyat ditutup bagi mematuhi PKP, wakil-wakil rakyat, ahli-ahli Majlis Bandaraya, ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dan lain-lain semuanya tidak pernah berhenti memberikan perkhidmatan kepada rakyat di seluruh Negeri Pulau Pinang. 

Saya memerhatikan bahawa mereka telah turun padang untuk memastikan orang ramai mematuhi langkah-langkah kesihatan awam seperti penjarakan sosial, penggunaan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan sebagainya.

Mereka juga telah mengedarkan bahan-bahan makanan kepada rakyat yang memerlukan bantuan bersama-sama MPKK, JPWK and juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang begitu bermurah hati membantu serta berganding bahu menjaga kebajikan masyarakat. 

Sejak minggu lepas, saya juga melihat wakil-wakil rakyat sudah mula mengagihkan pelitup muka atau face mask selain hand sanitizer kepada orang awam di kawasan masing-masing. 

Sebagai makluman anda, Kerajaan Negeri telahpun mengagihkan pelitup muka, sarung tangan dan termometer inframerah kepada warga barisan hadapan dan juga kepada semua pejabat wakil rakyat. Setakat ini, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah diberikan 2,000 pelitup muka untuk agihan kepada rakyat di kawasan masing-masing. Saya akan memastikan lebih banyak lagi pelitup muka disumbangkan kepada frontliners kita serta rakyat secara amnya apabila bekalan yang seterusnya sampai di Pulau Pinang. 

Dalam aspek pengagihan makanan, barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan pek bantuan bekalan makanan asas seperti beras, tepung gandum, minyak masak, mee, biskut, minuman coklat, gula dan makanan tin untuk diedarkan kepada golongan miskin di negeri ini. Kita akan menyediakan kira-kira 20,000 pek yang mengandungi bekalan yang saya nyatakan tadi, dan para petugas kita akan mula membuat pengedaran bermula minggu depan. Sistem pengagihan makanan berpusat ini akan dipantau dari masa ke masa untuk penambahbaikan. 

Golongan-golongan yang disasarkan sebagai penerima bantuan adalah seperti berikut:-

(i) Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat; 

(ii) Penerima bantuan Program Agenda Ekonomi Saksama (AES);

(iii) Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah kos rendah; atau 

(iv) mana-mana undividu/keluarga yang telah dikenal pasti layak menerima bantuan oleh ADUN kawasan 

Bagi pengoperasian perkhidmatan-perkhidmatan lain yang diumumkan oleh saya semalam, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memperincikan dengan lebih lanjut berdasarkan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Adalah difahamkan bahawa Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai akan mengadakan siaran langsung Facebook berhubung perkara ini pada jam 3 petang nanti. 

Dalam pada itu, saya tahu bahawa ramai peniaga dan usahawan sedang menanti-nanti pengumuman lanjut tentang Skim Pinjaman Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang, pengumuman perincian skim berkaitan dijadualkan pada 7 April ini. 

Akhir sekali, saya ingin menasihatkan semua pekerja dan sukarelawan yang turun padang, sama ada sebagai kakitangan barisan hadapan mahupun bagi membantu menjaga kebajikan rakyat, anda semua hendaklah sentiasa patuh kepada arahan PKP, serta sentiasa menjaga keselamatan serta juga kesihatan diri. Sesungguhnya, orang yang memberi penjagaan perlu terlebih dahulu menjaga diri.

Terima kasih dan sekalung penghargaan di atas jasa dan sumbangan anda semua. 

Tough times will make us tougher. Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top