Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 03, 2020 3:40:37 pm

Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi.

Hari ini merupakan hari ke-17 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Semoga anda terus bersabar dan terus mematuhi arahan untuk duduk di rumah, kurangkan pergerakan serta amalkan langkah-langkah penjarakan sosial.

Terima kasih kepada anda semua yang telah berkorban dengan mematuhi PKP yang telah memasuki Fasa 2. 

Di Pulau Pinang, masyarakat Cina telah mengekalkan disiplin dengan tidak keluar menziarahi kubur nenek moyang serta orang tersayang mereka pada tempoh Cheng Beng tahun ini. Saya ucapkan terima kasih di atas kerjasama anda. 

Hari ini merupakan hari Jumaat ke-3 umat Islam di negeri Pulau Pinang tidak dapat menunaikan solat Jumaat di masjid. Terima kasih di atas kerjasama anda. 

Begitu juga dengan rakyat Pulau Pinang beragama Kristian yang tidak dapat hadir ke gereja masing-masing kerana mematuhi PKP, terima kasih kepada anda.

Penghargaan juga kepada masyarakat Hindu dan Sikh di Pulau Pinang kerana telah mengamalkan kepercayaan dan agama anda tanpa melanggar PKP.

Terima kasih di atas pengorbanan anda semua. Percayalah bahawa pengorbanan anda akan menyelamatkan ramai nyawa. Justeru, semoga Tuhan memberkati serta terus melindungi rakyat dan negeri Pulau Pinang yang kita cintai ini. 

Satu lagi pengorbanan yang kita semua terpaksa laksanakan adalah pemberhentian semua perkhidmatan bas CAT percuma tajaan Kerajaan Negeri yang kini masih beroperasi, berkuatkuasa esok iaitu 4 April 2020. Bagi laluan BEST FIZ, laluan A dan laluan C sahaja akan terus beroperasi dengan sebuah bas setiap laluan sebagaimana yang diumumkan pada 31 Mac 2020.

Sebagai makluman, perkhidmatan bas laluan biasa Rapid Penang masih beroperasi seperti biasa. Anda boleh mendapatkan jadual perjalanan dan maklumat lanjut melalui aplikasi pintar Rapid Penang Journey Planner ataupun menghubungi Hotline Rapid Penang, 04-255 8000.

Berkaitan soalan yang sering ditujukan kepada saya tentang pengoperasian perkhidmatan-perkhidmatan lain, mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh saya pagi tadi telah meluluskan sebagaimana berikut:-

*Pembaikan segera untuk kerja-kerja kritikal dibenarkan serta pembersihan dan penyemburan racun serangga bagi mengelakkan bahaya kepada orang awam. 

*Kerja-kerja peyelenggaraan kepada sepuluh (10) sektor kritikal perlu diteruskan. 

*Bagi perkhidmatan perbankan, hanya bahagian IT dan bahagian yang menguruskan wang tunai sahaja dibenarkan beroperasi. 

Bagi perkhidmatan-perkhidmatan di bawah, tempoh operasi adalah dua (2) kali seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis bermula 6 April 2020 dari jam 8 pagi hingga 2 petang sahaja:-

*Penjualan kedai input pertanian (baja/racun).

*Kedai hardware.

*Penjualan makanan haiwan kesayangan, makanan haiwan, dan ubatan.

*Kedai menjual alat tukar ganti.

Selaras itu, Mesyuarat turut memutuskan pembatalan penganjuran bazar Ramadan di seluruh negeri ini bagi mengekang penularan COVID-19. Perkara itu diputuskan pada mesyuarat pagi tadi selepas mengambil kira keselamatan kesihatan rakyat di Negeri ini. 

Di sini, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada seorang usahawan di Pulau Pinang yang telah menawarkan hotel beliau sebagai penginapan kepada pertugas-petugas hospital dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sepanjang tempoh ini. Dalam pada itu, adalah menjadi harapan saya akan ada pihak-pihak swasta yang tampil menawarkan penginapan kepada mereka yang perlu dikuarantin termasuk yang baru tiba dari luar negara. Sama-sama kita pastikan rangkaian jangkitan COVID-19 diputuskan, ini memerlukan usaha sama bersama.    

Serentak itu, sukacita saya memaklumkan bahawa pada hari ini, seramai 1,392 penerima bantuan am negeri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telahpun menerima bantuan tunai one-off RM500 sebagaimana dijanjikan dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang. Bagi penerima bantuan persekutuan JKM, saya dimaklumkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang bahawa bantuan akan disalurkan selewat-lewatnya pada 10 April 2020.

Selain itu, pada awalnya tarikh untuk pengagihan bantuan RM500 kepada penjaja berlesen hanya bermula selepas 15 April 2020, namun sukacita saya ingin memaklumkan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mula menyalurkan bantuan tersebut hari ini dan kedua-dua PBT yakin bahawa semua bayaran dapat disempurnakan dalam tempoh tiga hari setelah menerima dokumen lengkap daripada pihak berkaitan. 

Malah, bayaran bagi pemandu pelancong juga telah dimulakan sejak semalam. Bagi penarik beca, bayaran akan dilakukan secara manual pada minggu ini. 

Umumnya, Kerajaan Negeri faham akan kesusahan yang diharungi oleh rakyat Pulau Pinang, justeru, adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk menghulurkan segala bantuan dengan kadar segera. Saya mensasarkan bahawa menjelang minggu ke-2 bulan April, kita akan capai 100 peratus penyempurnaan bayaran Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang. 

Pada hari ini juga, Kerajaan Negeri amat berbesar hati menerima sumbangan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pemaju Tamarins Group Sdn. Bhd.. 

  1. Tenaga Nasional Berhad

    *Sumbangan sebanyak RM2 juta kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk pembelian peralatan perubatan dan klinikal.

    Diwakili oleh:

    1. Pengurus TNB (Business Partner-Penang), Puan Norsalizawati binti Hashmawi
    2. Pengurus TNB (Business Partner-Penang), Encik Abd. Manan bin Abd. Rahman
    3. Ketua Perkhidmatan Pelanggan, Puan U. Ananda Rani 

    Turut hadir: 

    1. Pengarah JKNPP, Dr. Asmayani Khalid 
  2. Tamarins Group Sdn. Bhd. (pemaju) 

    *Sumbangan sebanyak RM200,000.00 kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang

    Diwakili oleh:

    1. Encik Tay Kean Huat, Director

Sebelum mengakhiri siaran mesej saya hari ini, sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya barisan frontliners dan rakyat Pulau Pinang yang terus bersama-sama Kerajaan Negeri sehingga ke hari ini. 

Pada kesempatan ini, saya ingin melancarkan sebuah video yang menggabungkan semua inisiatif dan usaha pelbagai pihak dalam bersama-sama membasmi wabak COVID-19 di Negeri Pulau Pinang sehingga kini.

Tough times will make us tougher. 

Sama-sama kita tempuhi, bangkit!

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top