Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Apr 01, 2020 2:17:39 pm

Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi.

Salam sejahtera kepada anda semua. 

Hari ini merupakan hari ke-15 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kalau mengikut rancangan asal kerajaan pusat, hari ini kita sudah boleh menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan. Namun, disebabkan kita gagal untuk meratakan lengkung wabak atapun flatten the curve, maka PKP telah dilanjutkan untuk 14 hari lagi sehingga 14 April ini. 

Sebagai makluman semua, sehingga semalam, 31 Mac 2020 iaitu berakhirnya tempoh Fasa 1 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 208 individu telah ditahan membabitkan kes ingkar PKP di Pulau Pinang. Justeru, janganlah terus berdegil, patuhilah arahan. 

Bertabahlah saudara serta saudari yang saya kasihi sekalian. Marilah kita sama-sama duduk di rumah, kurangkan pergerakan, amalkan penjarakan sosial dan patuhi arahan pihak berkuasa agar kita boleh menamatkan PKP ini selepas 14 April. Jika kita masih gagal mengikut arahan maka kemungkinan pelanjutan PKP akan berlaku.

Semalam, saya hadiri mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri di Putrajaya. Di sini, izinkan saya melaporkan dua perkara yang telah dibincangkan dalam mesyuarat tersebut:

PERTAMA, setelah saya mengutarakan mengenai cadangan waktu operasi pasar awam di dalam mesyuarat berkaitan, ahli-ahli mesyuarat telah bersetuju dan memutuskan bahawa tempoh operasi pasar awam dihadkan dari jam 6 pagi sehingga 12 petang, manakala tempoh operasi pasar borong dihadkan dari 4 pagi sehingga 10 pagi. Had operasi ini akan dilaksanakan di seluruh negara termasuk Pulau Pinang.

KEDUAnya, Majlis Tindakan Ekonomi Negara akan mengkaji usul daripada sektor perusahaan kecil dan sederhana, PKS ataupun SME dan membantu sektor ini mendepani cabaran wabak COVID-19.

Berkaitan aspek ini, Kerajaan Negeri juga akan mempertimbangkan cadangan-cadangan daripada perwakilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Negeri Pulau Pinang, dan saya akan mengumumkan keputusan yang diputuskan dalam tempoh masa terdekat. Prinsip kita di Pulau Pinang ialah, kerajaan perlu berganding bahu bersama-sama sektor swasta untuk sama-sama membangunkan semula negeri Pulau Pinang pasca COVID-19.

Dalam pada itu, sukacita saya ingin maklumkan bahawa, seperti yang telah dijanjikan, Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang telah mula diagihkan pada hari ini iaitu 1 APRIL 2020. 

Seramai 4,700 wira barisan hadapan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menerima RM300 setiap seorang pada hari ini. 

Bagi wira-wira barisan hadapan agensi Kerajaan Persekutuan, peruntukan telah disalurkan kepada jabatan-jabatan masing-masing dan pihak-pihak berkaitan akan uruskan pembayaran masing-masing. 

Pada hari ini juga, semua penerima bantuan AES berjumlah 551 orang di negeri Pulau Pinang, yang terdiri daripada keluarga miskin akan menerima RM500 di dalam akaun bank masing-masing. 

Bagi para penerima bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), adalah diharapkan wang akan disalurkan dalam tempoh satu hingga dua hari lagi 

Selain itu, bantuan RM500 kepada pemandu teksi, dan RM300 kepada pemandu e-hailing juga sudah mula diagihkan pada hari ini. 

Penyewa rumah sewa Kerajaan Negeri dan premis perniagaan Kerajaan Negeri tidak perlu membayar sewa mereka pada bulan ini. 

Manakala, penghuni projek rumah sewa-beli Kerajaan Negeri, peminjam Skim Pinjaman Harapan, Tabung Usahawan Tani dan Pinjaman Penuntut dibenarkan untuk menangguh bayaran bermula bulan ini selama TIGA bulan. 

Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang juga telah menerima dana bantuan kecemasan RM30,000 bagi kawasan masing-masing. Dana ini perlu digunakan sepenuhnya untuk membantu rakyat yang susah. 

Saya berjanji, semua Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang akan disalurkan dengan secepat mungkin kepada kumpulan sasar dalam bulan April ini.

Kerajaan Negeri akan sentiasa bersama-sama anda untuk mengharungi segala cabaran dalam tempoh sukar ini. 

Manakala bagi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) iaitu agensi pembangunan utama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, antara inisiatif yang diputuskan adalah seperti berikut:-

1. Penangguhan pembayaran bagi pembelian tanah, tanah perindustrian dan bangunan perindustrian yang telah ditandatangani perjanjian jual beli, sehingga 30 Jun 2020.

2. Tempoh pengesahan penerimaan tawaran penjualan, penyewaan tanah perindustrian dan bukan perindustrian serta bangunan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2020.

3.     Pengecualian sewaan satu (1) bulan bagi bulan April 2020 bagi peniaga-peniaga yang sedang menyewa di projek-projek PDC di bawah:-

· Gerai Bukit Tengah (24 unit).

· Gerai/kiosk di Komtar, Stadium Batu Kawan, tempat letak kereta bertingkat Bukit Bendera dan Lorong Kulit.

4. Penangguhan bayaran sewa bagi bulan April untuk IKS Tempatan, unit komersil di The One Bayan Baru, premis perniagaan Jalan Burmah, Burmah Square dan Kompleks Jalan Kedah. Pembayaran sewa yang ditangguhkan ini dibenarkan untuk dibayar secara berjadual dalam tempoh enam (6) bulan dan perlu diselesaikan pada tahun 2020.

5.     Pengecualian caj sewaan perumahan penempatan semula dua (2) bulan bagi April dan Mei 2020 untuk rumah kluster Lebuh Cecil dan Pengkalan Weld serta Taman Crescentia, Batu Kawan. 

6.     Pengecualian caj sewaan tanah satu (1) bulan untuk April 2020 bagi Persatuan Kebajikan Anak Muda Balik Pulau (food truck).

Serentak itu, PDC kini juga dalam proses penyediaan tatacara permohonan bagi Pinjaman Tanpa Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang. Saya berharap dapat umumkan butir-butir ini dalam tempoh satu hingga dua hari lagi. 

Sebagai menunaikan peranan tanggungjawab sosial, PDC telah memutuskan untuk menyumbang sebanyak RM1.0 juta kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang dalam usaha mengekang penularan pandemik ini dan lain-lain inisiatif yang berkaitan. 

Penang Lawan COVID-19.

CHOW KON YEOW

Back to top