Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Mar 30, 2020 2:28:00 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi.

Hari ini ialah hari ke-13 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Semoga anda semua terus bertabah menghadapi cabaran ini. 

Saya tahu kesusahan anda. 

Yang miskin, hidup akan menjadi lebih susah. 

Yang bekerja makan gaji sudah bimbang kalau-kalau selepas ini sama ada masih ada kerja. 

Yang bekerja sendiri terutamanya yang mengambil upah harian, sudah 13 hari tiada pendapatan. 

Malah, para usahawan terutamanya usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut terjejas. Kedai dan pejabat tidak boleh buka, sewa premis perniagaan tetap berjalan, gaji pekerja tetap diberi, stok barangan tidak boleh dijual, selepas ini jika ekonomi tidak baik, perniagaan pun akan terus merundum. 

Saya faham kebimbangan anda semua. 

Walaupun Kerajaan Negeri mengumumkan insentif bantuan COVID-19 bernilai RM20 juta pada 17 Mac 2020, kita telah meneliti keadaan semasa dan menaikkan peruntukan Pakej Bantuan Rakyat Negeri sehingga RM75 juta, iaitu penambahan sebanyak RM55 juta. 

Ini kerana kita sedar bahawa, rakyat negeri Pulau Pinang, tidak kira apa golongan sekalipun, memerlukan sokongan kerajaan pada saat-saat kritikal ini. 

Walaupun Kerajaan Negeri tidak mempunyai sumber yang besar, namun kita pastikan bahawa pengagihan kepada golongan memerlukan bantuan. Kita mempunyai 15 kumpulan sasar dan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang ini akan memberikan manfaat secara langsung kepada lebih 400,000 orang perseorangan tanpa mengira keluarga mereka, pekerja mereka dan komuniti masing-masing. 

Sebagaimana saya nyatakan sebelum ini, Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang ini direka agar kita boleh mengurangkan proses birokrasi. Kerajaan Negeri telah ada data hampir semua kategori terlibat dan wang akan MULA disalurkan pada bulan APRIL 2020 kepada semua penerima. Saya telah meminta semua jabatan-jabatan terlibat untuk menyegerakan proses ini bagi mengurangkan beban ditanggung rakyat kini. 

Umumnya, saya tahu bahawa bantuan setakat ini mungkin tidak memadai. 

Justeru, kerajaan perlu berganding bahu dengan sektor swasta untuk memastikan ekonomi negeri terus mampu memberikan peluang pekerjaan, peluang mencari nafkah, peluang membina kerjaya diri, dan seterusnya peluang untuk menjaga keluarga masing-masing. 

Justeru, dalam Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang, kita memberikan pengecualian sewa premis perniagaan milik Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) selama satu bulan. Kebanyakan penyewa premis perniagaan kerajaan ialah usahawan kecil. Mereka tidak perlu membayar sewa bulan APRIL 2020. Saya berharap pemilik premis perniagaan swasta di Pulau Pinang juga akan turut menghulurkan bantuan sedemikian kepada para penyewa masing-masing.   

Selain itu, kita juga menyediakan Pinjaman Sifar Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang, yang mana RM30 juta diperuntukan bagi membolehkan usahawan mikro dan usahawan PKS membuat pinjaman untuk “pusing modal” dalam tempoh sukar ini. Bukan sahaja pinjaman ini tidak dikenakan sebarang riba ataupun faedah, malah peminjam hanya perlu mula membayar selepas enam (6) bulan mendapat wang pinjaman. 

Lanjutan daripada itu, pejabat saya juga telah menghubungi persatuan-persatuan usahawan Pulau Pinang seperti Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) cawangan Pulau Pinang, dan dewan-dewan perniagaan negeri untuk mendapatkan maklum balas daripada golongan usahawan berhubung pendekatan bagaimana Kerajaan Negeri boleh berganding bahu dengan sektor swasta untuk membina semula ekonomi Pulau Pinang secara menyeluruh. 

Sebagai tambahan, kesusahan golongan usahawan termasuk maklum balas daripada golongan majikan bagi sektor PKS ini turut akan saya utarakan pada mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 yang bakal dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada esok, 31 Mac 2020 jam 12 tengah hari. 

Pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh saya pagi tadi. Beberapa persetujuan dan inisiatif lanjutan bakal dilaksanakan ke arah membasmi wabak ini pada peringkat kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini. Antaranya:-

*Ketua Polis Negeri memaklumkan bahawa kadar kepatuhan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga semalam, 29 Mac 2020 di Pulau Pinang telah mencapai 95 peratus. 

*

*

*

Penang Lawan COVID-19.

CHOW KON YEOW

Back to top