Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Mar 29, 2020 12:40:38 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi.

Selamat sejahtera. 

Hari ini merupakan hari ke-12 Perintah Kawalan Pergerakan. 

Saya berharap anda semua sentiasa sihat dan selamat di sisi keluarga dan orang tersayang.

Hari ini saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa pihak berkuasa telah dan akan mengambil tindakan yang lebih tegas berhubung penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang. Justeru, ikutlah arahan yang dikuatkuasakan kerana ia adalah demi kebaikan dan keselamatan kita bersama. 

Sebagai makluman anda, sehingga semalam iaitu 28 Mac 2020, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 158 orang awam yang ingkar akan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang. 

Manakala, pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengarahkan penutupan bahagian pasar Kompleks Sri Aman di Relau berkuat kuasa semalam ekoran kegagalan mengamalkan langkah-langkah penjarakan sosial; tidak mengawal bilangan kemasukan pelanggan pada satu-satu masa dan tidak menyediakan pensanitasi tangan atau hand sanitizer. Serentak itu, MBPP juga telah mengarahkan semua pengusaha gerai di luar kawasan Pasar Jelutong untuk memberhentikan perniagaan mulai 30 Mac 2020. 

Sebagai makluman, pelbagai pendekatan telah diambil oleh MBPP termasuk pendidikan awam dan lain-lain sebelum mengeluarkan notis amaran sehingga arahan penutupan. Arahan penutupan terpaksa diambil oleh pihak berkuasa berkaitan ekoran ketidakpatuhan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan.

Dengan ini, saya berharap para peniaga dan orang awam jangan sesekali memandang ringan arahan Perintah Kawalan Pergerakan. Pihak berkuasa termasuk polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka yang masih berdegil. Ini adalah untuk kebaikan kita semua. Bersabarlah untuk tempoh ini agar negara dan negeri kita kembali kepada keadaan sedia kala.

Pagi esok, saya akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang. Adalah diharapkan ahli-ahli jawatankuasa mesyuarat akan memperinci dan memperkasakan lagi langkah yang bakal diambil untuk terus melindungi Negeri Pulau Pinang daripada penularan wabak COVID-19 ini. Pulau Pinang sehingga 12 tengah hari semalam (28 Mac 2020) mencatatkan peningkatan enam (6) kes baru menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 86 kes. Adalah menjadi harapan saya agar angka ini tidak lagi meningkat dan pada masa sama, kita senantiasa mendoakan keselamatan barisan hadapan (frontliners) yang bertungkus-lumus serta berkorban demi keselamatan kita. 

Melihat kepada paparan mesej Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) semalam berhubung penumpang-penumpang yang menaiki penerbangan Qatar Airways QR866 dari Doha ke Pulau Pinang, dan penumpang bas ekspres StarMart Express AJS6666, di sini, saya ingin menyeru kepada pihak-pihak berkaitan supaya mengikut arahan yang diberikan. Janganlah berdegil kerana ini bukan perkara yang wajar diperlekehkan. 

Dengan ini, saya dahulukan dengan ucapan terima kasih di atas kerjasama anda semua. 

Rakyat Pulau Pinang, ayuh kita bersama-sama… Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top