Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Mar 28, 2020 1:07:00 pm

Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi.

Hari ini merupakan hari ke-sebelas Perintah Kawalan Pergerakan. Terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang yang mematuhi perintah sepanjang 11 hari ini. Kerana anda, Pulau Pinang lebih selamat. Ketua Polis Negeri telah melaporkan bahawa pematuhan rakyat Pulau Pinang telah mencapai 94 peratus sehingga semalam. 

Kepada wira-wira barisan hadapan kita, saya tahu anda telah bekerja keras selama 11 hari ini. Kerajaan Negeri dan rakyat Pulau Pinang menghargai jasa anda. Sedikit penghargaan Kerajaan Negeri berbentuk insentif khas RM300 kepada anda diharapkan dapat membalas sumbangan anda semua kepada kami. Namun, saya sedar, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati; hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas jasa anda kepada rakyat negeri ini. 

Semalam, YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat. Pakej tersebut bertujuan untuk membantu rakyat yang terkesan, komuniti perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi secara amnya. Ini merupakan pakej rangsangan ekonomi menangani impak COVID-19 yang kedua selepas Pakej Rangsangan Ekonomi RM20 bilion yang diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 27 Februari 2020. 

Saya berharap gabungan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang dan Pakej Prihatin Kerajaan Persekutuan akan membolehkan rakyat bangkit semula daripada kemuraman ekonomi akibat wabak ini. 

Fokus kita sekarang ialah untuk memastikan segala bantuan dan insentif kewangan sampai dengan pantas serta jitu kepada kumpulan sasar. Bagi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang, saya berjanji wang bantuan akan mula diagihkan bermula bulan April 2020, iaitu dalam tempoh empat hari lagi.

Sebagaimana saya tekankan sejak awal krisis ini bahawa kini bukan masa untuk berpolitik. Kita perlu menggembleng tenaga agar usaha membantu rakyat boleh dilaksanakan dengan pantas dan lancar. 

Dalam aspek ini, Kerajaan Negeri memberikan peruntukan khas dana bantuan rakyat RM30,000 secara saksama kepada semua 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang tanpa mengira parti politik mereka. 

Pada pagi tadi, saya juga telah menghubungi Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ Muhamad Yusoff Mohd. Noor yang juga merupakan ADUN Sungai Dua bagi menjemput beliau menjadi Ahli Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh saya. Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab terhadap kerja-kerja penyelarasan pelbagai agensi negeri dan Persekutuan berhubung pengurusan isu COVID-19. Malah, saya juga menjemput beliau untuk hadir di mesyuarat seterusnya iaitu pada Isnin, 30 Mac 2020 jam 9.30 pagi di Komtar. Sebagai makluman, beliau telah bersetuju dengan pelantikan dan jemputan berkaitan.

Saya berharap dalam tempoh krisis COVID-19, semua wakil rakyat negeri Pulau Pinang, tanpa mengira parti kerajaan mahupun pembangkang akan bekerjasama bagi memastikan kebajikan, kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang terpelihara.

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top