Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Mar 27, 2020 12:32:36 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi.

Salam sejahtera kepada anda semua. 

Hari ini genap 10 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Terima kasih kepada semua Rakyat Pulau Pinang yang telah bekerjasama dalam menjayakan usaha melawan COVID-19. 

Pagi ini, saya telah bermesyuarat dan berbincang dengan Ketua Polis Negeri dan Pengarah Keselamatan Negeri Majlis Keselamatan Negara Pulau Pinang (MKN). Saya dimaklumkan oleh Pengarah MKN bahawa kawalan di bawah PKP akan diperketatkan ke setiap daerah bagi mencapai hasil yang lebih berkesan. Jawatankuasa tindakan telah dimobilisasi ke setiap daerah supaya pelaksanaan PKP akan lebih baik. Justeru, rakyat Pulau Pinang diseru untuk terus memberikan kerjasama. 

Serentak itu, saya turut dimaklumkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang bahawa kadar pematuhan PKP di Pulau Pinang telah mencapai 94 peratus di negeri ini. Terima kasih semua, kita perlu lebih komited untuk mencapai kadar 100 peratus, terbaik di seluruh negara! Pada dasarnya, Ketua Polis Negeri menyatakan bahawa kita berada di landasan yang betul, kawalan serta penguatkuasaan akan terus dijalankan. Adalah tidak menjadi niat Kerajaan Negeri dan pihak penguat kuasa untuk membebankan rakyat, sebaliknya kita perlu bersepakat dan berganding bahu dalam memastikan kita menang dalam ‘perang’ ini. Kerajaan Negeri dan pihak penguat kuasa akan memastikan bekalan makanan tidak akan terputus, dan sekali lagi saya tekankan yang kita menagih kerjasama daripada semua rakyat Pulau Pinang ke arah mencapai kemenangan ini. 

Susah senang kita tempuhi bersama… barisan Exco Kerajaan Negeri termasuk saya turut bersetuju untuk menderma satu (1) bulan gaji kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang. 

Tuan-tuan dan puan-puan, 

Semalam, saya dimaklumkan bahawa ada pihak mempertikaikan bantuan RM1,000 kepada masjid dan RM500 kepada surau di negeri Pulau Pinang. Bantuan tersebut diberikan untuk tujuan pembasmian kuman serta pembersihan lokasi-lokasi berkaitan memandangkan kemungkinan terdapat infeksi daripada jemaah kluster Seri Petaling. 

Saya yakin bahawa rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini faham akan situasi ini. Kita jangan sesekali biarkan pihak yang tidak bertanggungjawab memainkan isu perkauman dan agama dalam keadaan yang kritikal ini.

Bagi institusi bukan Islam yang memerlukan bantuan pembersihan sedemikian, mereka boleh membuat permohonan menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing ataupun melalui Tabung Amanah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Kerajaan Negeri.  

Lazimnya, saya berasa amat bangga bahawa di Pulau Pinang, ada banyak pertubuhan bukan kerajaan ataupun NGO, dan individu-individu yang bermurah hati yang ingin menghulurkan bantuan kepada golongan susah dan kurang mampu. 

Ramai yang telah meluahkan niat, malah ada juga yang telah menggerakkan ahli-ahli mereka untuk menyiapkan makanan, menghantar barang keperluan, membersihkan kawasan awam dan sebagainya. 

Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada anda semua. 

Di satu pihak yang lain, Kerajaan Negeri sedang mengatur sistem pengagihan makanan dan barangan keperluan asas kepada isi-isi rumah yang memerlukan bantuan. Sebelum ini, kerja-kerja pengagihan dilaksanakan oleh para wakil rakyat setempat. 

Tujuan Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan menstruktur semula kerja-kerja pengagihan tersebut ialah:

1) Kita hendak mengurangkan pergerakan terutamanya pergerakan yang tidak tersusun dalam tempoh PKP ini; 

2) Kita tidak ingin individu-individu yang terlibat dengan kerja-kerja pengagihan terdedah dengan suasana wabak tanpa perlindungan; dan, 

3) Kita hendak mengelakkan pembaziran bekalan makanan dan keperluan asas ekoran pengagihan yang tidak terancang serta efisien. 

Justeru, nasihat saya ialah, biarlah Kerajaan Negeri menstrukturkan semula kerja-kerja pengagihan makanan, dan biarlah pihak berkuasa seperti anggota perubatan, polis, tentera, bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat pada waktu ini. Malah, isu gelandangan di Terminal Bas Komtar yang diutarakan kepada saya semalam, Kerajaan Negeri memandang serius dan pendekatan khas akan diambil pada kadar segera. 

Seperti yang saya nyatakan semalam, kita bukan lagi berlari dalam acara pecut 100 meter sahaja, kita dalam larian marathon! Saya memohon NGO dan badan-badan kebajikan agar merancang dengan baik sumber serta tenaga yang ada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Selepas 14 April 2020, Kerajaan Negeri masih memerlukan perkhidmatan anda untuk sama-sama menghulurkan bantuan kepada rakyat Pulau Pinang dan membangunkan semula negeri yang kita cintai. 

Dengan ini, saya sekali lagi ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin serta bermurah hati menghulurkan bantuan kepada rakyat dan negeri Pulau Pinang. 

Teruskan bersabar dan patuhilah arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan semua. 

Pulau Pinang lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top