Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Mar 26, 2020 12:32:00 pm

Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi.

Salam sejahtera. 

Hari ini merupakan hari ke-9 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Semoga anda dan sekeluarga berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Dengan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 Apri 2020, kita mesti mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang mencukupi. Pada tempoh ini, sokongan kekeluargaan dan komuniti adalah amat penting. Elakkan emosi negatif, jangan marah-marah, dan cubalah pelbagai aktiviti baru di rumah, contohnya masak bersama-sama anak-anak, bermain board games, membaca buku, mahupun menulis diari dan sebagainya. Kepada yang mempunyai halaman rumah, ataupun anjung rumah (balcony), saya galakkan anda untuk keluar bersantai di kawasan perkarangan rumah tersebut. 

We are no longer running in a sprint category. We are now running a marathon. Let us ensure all of us reserve our strength to complete this race. 

Semalam, saya telah mengumumkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang berjumlah RM75 juta. 

Pakej tersebut merangkumi kira-kira 15 kumpulan sasar dan melibatkan lebih 400,000 penerima secara langsung, tidak kira keluarga mereka, pekerja mereka dan juga jemaah agama yang terlibat. 

Kita sedar bahawa kemungkinan ada yang tercicir daripada pakej bantuan khas yang diumumkan, itulah sebabnya Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30 ribu kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk digunakan sebagai dana bantuan kecemasan kepada rakyat di kawasan mereka. Semua ADUN termasuk ADUN pembangkang akan menerima jumlah yang sama. Dengan ini, saya menyeru agar wakil-wakil rakyat peka dan komited dalam mengenal pasti keperluan khusus di kawasan masing-masing dan mengambil tindakan segera. 

Ramai juga orang bertanya bagaimana mereka boleh memohon untuk bantuan dijalankan. Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang ini direka agar kita boleh mengurangkan proses birokrasi terutamanya permohonan dan pendaftaran penerima. Kerajaan Negeri sudah ada data hampir semua kategori terlibat. Justeru, jangan bimbang, tidak perlu mendaftar, wang akan MULA disalurkan pada bulan APRIL 2020 ini kepada anda. 

Bagi skim Pinjaman Tanpa Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan membuat pengumuman proses permohonan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2020. 

Saya berjanji Kerajaan Negeri akan meneliti perkembangan terkini situasi di Pulau Pinang dan kita akan mengumumkan bantuan-bantuan yang lain sekiranya perlu. 

Semalam, saya berkata bahawa Kerajaan Negeri sudah membuka langkah dan saya menjemput pihak swasta untuk turut bersama-sama membantu golongan yang memerlukan bantuan. 

Ekoran itu, saya telah menerima banyak tawaran untuk sumbangan pihak swasta. Dalam masa sehari ini sahaja, sektor swasta terutamanya di Pulau Pinang ini telah memberikan komitmen sumbangan hampir RM2 juta. 

Justeru, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan menubuhkan sebuah tabung iaitu Tabung Covid-19 Pulau Pinang menerusi Maybank 557054620930 bagi menerima sumbangan ke arah membantu sektor yang memerlukan bantuan di negeri Pulau Pinang. Butiran akaun juga boleh diperoleh melalui laman web, www.PenangLawanCovid19.com.

Saya berharap semua pihak akan bersama-sama Kerajaan Negeri dalam usaha Penang Lawan COVID-19. 

Hari ini, sukacita saya ingin melaporkan bahawa Kerajaan Negeri telah menyerahkan botol-botol pensanitasi tangan (hand sanitizers) dan poster kesedaran Penang Lawan COVID-19 kepada perumahan bangunan berstrata di seluruh negeri atas kerjasama JMC/JMB dan wakil-wakil rakyat. Serentak itu, penyerahan hand sanitizer dan termometer infra merah kepada wira barisan hadapan kita di Majlis Bandaraya Seberang Perai serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan pasukan-pasukan keselamatan turut dilaksanakan sejak awal minggu ini. Usaha ini akan diteruskan berdasarkan bekalan keperluan yang sampai dan diterima secara berperingkat. 

Selain itu, melalui sumbangan TopGlove, Kerajaan Negeri telah menyalurkan 70,000 pasang sarung tangan perubatan kepada wira barisan hadapan di Hospital Pulau Pinang (HPP). Malah, turut disumbangkan adalah 300 set ‘protective cover all safety clothing’ daripada pihak swasta kepada HPP.

Kerajaan Negeri komited memastikan wira-wira barisan hadapan kita, serta rakyat dan negeri Pulau Pinang terus dilindungi melalui strategi yang cermat dalam pengagihan sumber kewangan, tenaga kerja serta bekalan yang diperlukan.

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top