Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Mar 25, 2020 3:05:00 pm

Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi.

Salam sejahtera. 

Hari ini merupakan hari ke-8 Perintah Kawalan Pergerakan. Saya sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan kita semua. Semoga Tuhan Yang Maha Pengasih akan melindungi kita dan menjauhkan kita dari segala malapetaka. 

Baru sebentar tadi, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Kerajaan Negeri sebenarnya sudah bersiap-siaga untuk menghadapi senario ini. Umumnya, Kerajaan Negeri telah membuat perancangan daripada segi sumber manusia, logistik serta bekalan untuk memastikan impak paling minimum terhadap rakyat dan negeri Pulau Pinang. Justeru, saya berharap kita semua akan kekal bertenang, kekal bersabar dan kekal bersatu berdepan cabaran ini.

Hari ini merupakan ulang tahun ke-213 sambutan Hari Polis. Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berada di barisan hadapan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan. Dengan adanya mereka, kita lebih selamat. Saya mengambil kesempatan ini mewakili seluruh rakyat Pulau Pinang mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan polis yang sentiasa sedia berkhidmat.  

Sebagaimana yang dijanjikan, izinkan saya membentangkan Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang. 

Kerajaan Negeri pada 17 Mac 2020 telah mengumumkan insentif bantuan COVID-19 sebanyak RM20 juta, iaitu sehari sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Namun, setelah meneliti isu-isu yang timbul dalam lapan (8) hari ini, dan mengambil kira keperluan rakyat Pulau Pinang, maka Kerajaan Negeri telah meluluskan jumlah tambahan kepada pakej bantuan tersebut. Anggaran jumlah keseluruhan pakej ini adalah RM75 juta. 

Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang mempunyai tiga objektif utama: 

PERTAMA, memberikan bantuan segera kepada golongan yang paling terkesan (the most vulnerable group), yakni penjaja, peniaga kecil, pemandu teksi, penarik beca, pemandu e-hailing, OKU dan kumpulan B40. 

KEDUA, mengupayakan golongan pekerja untuk berdiri semula dan meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti. 

KETIGA, membolehkan kelangsungan perniagaan atau ‘business continuity’ di negeri Pulau Pinang bagi memastikan ekonomi negeri akan terus dibangunkan pasca-31 Mac 2020. 

Berikut merupakan butiran lanjut Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang. 

1. Bantuan tunai one-off RM500 kepada peniaga kecil dan penjaja berlesen

Pulau Pinang merupakan negeri yang terkenal dengan makanan jalanan ataupun street food serta pelbagai produk tempatan yang disaji setiap hari oleh ribuan penjaja di negeri ini. Golongan tersebut bukan sahaja usahawan yang rajin, malah sumbangan mereka kepada industri pelancongan negeri adalah amat besar sekali. 

Wabak COVID-19 yang telah membantutkan sektor pelancongan serta perkhidmatan negeri ini secara tidak langsung menjejaskan pendapatan para penjaja secara drastik. 

Justeru, demi meringankan beban mereka, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan tunai secara one-off berjumlah RM500 kepada semua peniaga kecil serta penjaja berlesen yang berdaftar dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). Bantuan ini juga bakal merangkumi peniaga pasar malam, pasar tani dan kendara saji (food truck).

Pendaftaran untuk bantuan tersebut akan bermula 15 APRIL 2020. 

Bantuan ini bakal memanfaatkan 14,012 peniaga kecil dan penjaja berlesen seluruh negeri Pulau Pinang. 

Jumlah kos yang ditanggung kerajaan negeri ialah RM7.0 juta. 

2. Bantuan tunai one-off RM500 kepada pemandu pelancong berdaftar

Sepertimana para penjaja tadi, pemandu pelancong merupakan antara tunggak industri utama negeri Pulau Pinang dan mereka juga antara golongan yang paling terkesan dalam tempoh ini. 

Justeru, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan tunai secara one-off bernilai RM500 setiap seorang kepada 1,367 pemandu pelancong Pulau Pinang yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri ialah RM685,000.00

3. Bantuan tunai one-off RM500 kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat

Sudah tentu dalam suasana ekonomi yang mencabar ini, golongan paling terkesan merupakan mereka yang kini telah bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

Justeru, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan tunai one-off sebanyak RM500 setiap seorang kepada semua penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat, termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan penerima AES. Pembayaran akan dibuat terus ke dalam akaun mereka pada bulan April 2020. 

Bantuan ini bakal melibatkan 18,657 penerima. Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri ialah RM9.33 juta. 

4. Penambahan wang insentif tahunan pemandu teksi dan penarik beca

Bagi membantu sektor ini yang terkesan dengan keadaan masa kini, wang insentif tahunan Kerajaan Negeri kepada pemandu teksi dan penarik beca berbaki RM300 akan diawalkan ke bulan April 2020 dan ditambah lagi dengan bantuan one-off RM200, menjadikan jumlah yang akan diterima pada bulan April ini adalah sebanyak RM500 setiap seorang.

Bantuan ini akan memanfaatkan 2,248 pemandu teksi dan 318 penarik beca dengan jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri sebanyak RM513,600.00. (Tidak termasuk insentif asal yang telah dibajetkan).

5. Bantuan tunai one-off RM300 kepada pemandu e-hailing

Kerajaan Negeri juga maklum akan kesukaran yang dihadapi semua pemandu e-hailing di Pulau Pinang ekoran tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Justeru, pemandu e-hailing di negeri Pulau Pinang bakal menerima bantuan one-off sebanyak RM300 setiap seorang. 

Ini akan melibatkan kira-kira 10,000 pemandu e-hailing Negeri Pulau Pinang. Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri ialah RM3 juta. 

6. Pengecualian sewa bulanan Rumah Sewa Kerajaan Negeri dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kelolaan Kerajaan Negeri

Sebagai bantuan tambahan kepada golongan paling terkesan, Kerajaan Negeri juga akan memberikan pengecualian sewa bulanan selama DUA (2) bulan kepada penghuni-penghuni di 4,860 unit Rumah Sewa Kerajaan Negeri dan PPR kelolaan Kerajaan Negeri di Pulau Pinang. Ini bermakna, para penghuni skim perumahan tersebut tidak perlu membayar sewa bulan APRIL 2020 dan MEI 2020

Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri ialah RM932,844.00.

7. Pengecualian sewa premis-premis perniagaan Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT)

Bagi meringankan lagi beban peniaga-peniaga kecil, Kerajaan Negeri akan memberikan pengecualian sewa SATU bulan untuk premis-premis perniagaan milik Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk pasar-pasar awam, lot-lot kedai dan sebagainya. Pengecualian sewa ini berkuatkuasa bulan APRIL 2020 dan melibatkan 10,999 premis perniagaan.

Semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga diarahkan untuk TIDAK mengutip sewa tapak pasar malam dan pasar pagi bagi tapak-tapak yang diuruskan oleh mereka bagi bulan APRIL 2020. 

Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri bagi perkara ini ialah RM1.61 juta.

8. Bantuan zakat sebanyak RM3 juta kepada golongan asnaf

Zakat Pulau Pinang (ZPP) juga telah memperuntukkan RM3 juta untuk membantu golongan asnaf beragama Islam. Perkara ini telah diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 merangkap Yang diPertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Yang Berhormat Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pada 19 Mac 2020. 

9. Bantuan kewangan khas kepada masjid dan surau 

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) juga akan memberikan bantuan one-off sebanyak RM1,000 kepada masjid dan RM500 kepada surau di seluruh negeri Pulau Pinang sebagai bantuan membiayai kos penyelenggaraan, pembersihan serta pembasmian kuman. 

Bantuan ini akan melibatkan 226 masjid dan 538 buah surau di negeri Pulau Pinang.

Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri ialah RM495,000.00.

10. Bantuan tunai one-off kepada pesakit COVID-19 Pulau Pinang

Kerajaan Negeri merasai kesusahan dan bersimpati dengan keluarga pesakit COVID-19. Lebih tragis lagi adalah mereka yang meninggal dunia akibat virus tersebut. Justeru, sebagai tanda takziah, Kerajaan Negeri akan menghulurkan bantuan tunai one-off sebanyak RM500 kepada pesakit yang disahkan positif COVID-19 di negeri ini, dan bantuan tunai one-off RM1,000 kepada waris pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di Pulau Pinang. 

Jumlah dana yang diperuntukan untuk perkara ini ialah RM300,000.00.

11. Insentif khas RM300 kepada semua wira barisan hadapan pihak berkuasa tempatan (PBT)  

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, seramai 4,791 pekerja telah dikerahkan sebagai pekerja barisan hadapan ataupun frontline workers membabitkan Skuad Khas COVID-19 kedua-dua PBT di Pulau Pinang.

Justeru, demi menghargai jasa dan sumbangan wira barisan hadapan yang mengambil risiko berkhidmat untuk rakyat Pulau Pinang dalam tempoh penuh cabaran ini, Kerajaan Negeri akan menyalurkan insentif khas secara one-off berjumlah RM300 kepada setiap seorang daripada mereka. 

Jumlah kos yang ditanggung Kerajaan Negeri hasil daripada pemberian insentif khas ini adalah sebanyak RM1.4 juta.

12. RM3.3 juta untuk memperkasakan wira barisan hadapan agensi dan jabatan Kerajaan Persekutuan

Kerajaan Negeri juga akan memberikan insentif khas one-off sebanyak RM300 setiap seorang sebagai menghargai jasa wira-wira barisan hadapan daripada agensi dan jabatan kerajaan persekutuan seperti warga Jabatan Kesihatan Negeri, anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APAM), Jabatan Imigresen dan RELA.

Terima kasih tidak terhingga kepada semua wira barisan hadapan yang melakukan pengorbanan demi menjaga rakyat dan negeri Pulau Pinang. 

Insentif khas kepada anggota agensi dan jabatan persekutuan akan melibatkan 10,511 keanggotaan. Kos yang ditanggung Kerajaan Negeri ialah RM3.3 juta.

13. Perolehan bekalan peralatan keselamatan diri

Kerajaan Negeri memandang serius masalah kekurangan bekalan peralatan keselamatan diri bukan sahaja untuk pekerja barisan hadapan malah orang awam. Justeru, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM10 juta untuk tujuan perolehan bekalan peralatan keselamatan diri seperti pelitup muka ataupun face masks, pensanitasi tangan (hand sanitizer), termometer infra merah dan sebagainya. 

Sejak minggu pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Kerajaan Negeri telah membekalkan peralatan perubatan dan keselamatan diri seperti Peralatan Perlindungan Diri (Personal Protective Equipment, PPE), katil, bantal, pelitup muka, termometer, pensanitasi tangan dan lain-lain kepada pihak hospital dan pekerja barisan hadapan yang lain. 

Sebagimana dimaklumkan semalam, Kerajaan Negeri telah membuat tempahan 6 juta keping pelitup muka bagi kegunaan negeri Pulau Pinang. Saya akan memberikan maklumat terkini dari masa ke masa berkaitan semua bekalan ini. 

14. Pinjaman Tanpa Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang (Penang Business Continuity Zero Interest Loan)

Saya sedar bahawa semua rakyat Pulau Pinang terkesan dengan dengan impak berikutan wabak COVID-19. Usahawan-usahawan terpaksa menanggung kerugian ekoran pasaran ekonomi yang muram.

Kelangsungan perniagaan adalah amat penting untuk memastikan ekonomi Pulau Pinang bangkit semula dalam tempoh masa terdekat dan peluang pekerjaan kepada rakyat akan terus dijana.

Justeru, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Pinjaman Tanpa Faedah Kelangsungan Perniagaan Pulau Pinang ataupun Penang Business Continuity Zero Interest Loan bagi membantu usahawan mikro dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) menempuh masa penuh kesukaran ini.

Skim pinjaman ini akan mempunyai dua kategori, iaitu

A. Kategori usahawan mikro yang mana pemohon boleh memohon pinjaman sehingga RM5,000 setiap seorang; dan

B. Kategori usahawan PKS yang mana pemohon boleh memohon pinjaman sehingga RM10,000 setiap seorang.

Semua pinjaman di bawah skim ini adalah tanpa faedah, dan peminjam akan diberi tempoh masa enam 

(6) bulan sebelum pembayaran balik pinjaman bermula. 

Saya berharap dengan skim pinjaman ini, usahawan kita akan terus berusaha demi membangunkan perusahaan masing-masing, dan seterusnya memacu ekonomi negeri serta negara.

Jumlah dana yang diperuntukan bagi tujuan ini adalah RM30 juta.  

15. Peruntukan khas kepada ADUN sebagai dana bantuan kecemasan masyarakat setempat 

Saya sedar bahawa peruntukan di atas mungkin tidak dapat merangkumi semua pihak yang terkesan. 

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang akan diberi peruntukan tambahan sebanyak RM30,000 bagi setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) untuk digunakan sebagai dana bantuan kecemasan kepada masyarakat setempat. 

Semua 40 ADUN negeri Pulau Pinang termasuk ADUN pembangkang akan diberikan peruntukan khas ini. 

Kos yang ditanggung Kerajaan Negeri untuk peruntukan ini ialah RM1.2 juta. 

16. Penangguhan tempoh pembayaran kepada Kerajaan Negeri

Sebagai tambahan kepada bantuan-bantuan yang disebut di atas, Kerajaan Negeri juga akan melanjutkan tempoh akhir pembayaran kepada perkara-perkara berikut selama TIGA bulan:

i) Penangguhan tempoh akhir bayaran cukai petak atau cukai tanah daripada 31 MEI 2020 kepada 30 OGOS 2020. 

ii) Penangguhan tempoh bayaran skim sewa-beli Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) bagi bulan April, Mei dan Jun 2020 selama TIGA bulan.

iii) Penangguhan tempoh pembayaran balik pinjaman Skim Pinjaman Harapan, Tabung Usahawan Tani dan Pinjaman Penuntut selama TIGA bulan.

Kerajaan Negeri telah membuka langkah, justeru pihak swasta adalah dijemput untuk turut serta dalam usaha pemulihan ekonomi negeri Pulau Pinang. Saya berharap dengan suntikan dana RM75 juta ini oleh Kerajaan Negeri, sektor swasta juga diharap tampil untuk memainkan peranan mereka. Saya berharap pihak swasta juga akan memberikan insentif dan rangsangan bagi memulihkan semula ekonomi negeri kita. 

Melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah mengurangkan sewa premis perniagaan milik kerajaan, dengan ini, saya turut berharap pemilik premis perniagaan swasta juga akan tampil untuk mengurangkan sewa masing-masing. 

Kerajaan Negeri telah memberikan insentif kepada peniaga kecil dan PKS, justeru, saya menyeru mereka untuk terus bertekad menjalankan aktiviti perniagaan, dan terus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Pulau Pinang. Kerajaan negeri telah memberikan bantuan kepada sektor-sektor tertentu, oleh itu, saya berharap mereka tidak akan berputus asa pada tempoh masa kesukaran ini dan akan tetap bekerja, berusaha bersama-sama membangunkan semula negeri dan negara kita. 

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top