Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Mar 24, 2020 2:13:55 pm

Rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi.

Salam sejahtera.

Hari ini merupakan hari ke-7 Perintah Kawalan Pergerakan. 

Setakat jam 12 tengah hari, 23 Mac 2020, jumlah kes positif COVID-19 di seluruh negara mencecah 1,518 kes dengan 14 kes kematian.  Bagi Pulau Pinang, jumlah kes positif COVID-19 ialah sebanyak 66 kes pada tempoh masa sama dengan pecahan mengikut daerah adalah 19 kes bagi Daerah Timur Laut; Daerah Barat Daya (7); Daerah Seberang Perai Utara (9); Daerah Seberang Perai Tengah (22) dan Daerah Seberang Perai Selatan (9). 

Pertambahan kes yang tidak menyenangkan dan perlu diberikan perhatian serius. Justeru, saya terus menyeru agar rakyat Pulau Pinang terus komited dan berkorban demi menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kini. 

Mengikut laporan pihak berkuasa tempatan (PBT), pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri Pulau Pinang telah mencecah 90 peratus. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Pulau Pinang yang telah mendisiplinkan diri untuk duduk di rumah dan mengurangkan pergerakan masing-masing. Serentak itu, saya juga mengucapkan terima kasih kepada wira-wira barisan hadapan seperti warga perubatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sudah tentu petugas-petugas di kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah melaksanakan tugas mereka dengan begitu berdedikasi.

Kita perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan untuk lapan (8) hari lagi. Bagi mengetatkan lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk melaksanakan dua (2) langkah tambahan berikut:

1) Bas CAT, yang merupakan pengangkutan awam percuma tajaan Kerajaan Negeri akan diberhentikan selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

2) SEMUA premis-premis perniagaan hanya dibenarkan untuk beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 8 malam setiap hari berkuat kuasa esok, 25 Mac 2020. Tempoh masa tersebut diputuskan dengan mengikut kesesuaian rutin operasi premis Negeri Pulau Pinang. 

Saya faham bahawa kehidupan kita semua amat terkesan sepanjang tempoh ini. Saya memohon kesabaran anda semua. Kita akan mengharungi krisis ini bersama-sama. Saya berjanji, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan kepada seluruh rakyat negeri Pulau Pinang, bak kata pepatah Cina, 有难同当,有福同享, kita susah sama-sama, kita senang sama-sama.

Bercakap tentang insentif kepada rakyat, Pulau Pinang merupakan antara negeri pertama yang mengumumkan pakej bantuan berjumlah RM20 juta untuk membantu rakyat berdepan dengan impak wabak COVID-19. Saya akan membentangkan butiran lanjut pakej tersebut esok, 25 Mac 2020, selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.

Satu lagi perkara yang telah saya janjikan, setelah membuat carian dan rundingan dengan pembekal, Kerajaan Negeri telah membuat tempahan 6 juta pelitup muka ataupun facemask dengan memberi keutaman kepada keperluan barisan hadapan (frontliners) dan golongan masyarakat yang memerlukan. Saya akan memberikan makluman dari semasa ke semasa berhubung bekalan berkenaan termasuk bahan-bahan perlu lain seperti termometer, pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan sebagainya. 

Pada hari ini juga, Kerajaan Negeri telah membekalkan ribuan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan termometer infra merah kepada kedua-dua pihak berkuasa tempatan, pasukan-pasukan keselamatan bagi memperkasakan lagi petugas-petugas barisan hadapan Kerajaan Negeri. Malah, nasib warga kurang upaya dan warga emas yang tinggal bersendirian turut memperoleh perhatian Kerajaan Negeri dengan bantuan khas pembekalan makanan oleh para sukarelawan.

Di sini sekali lagi saya tekankan bahawa Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha untuk melindungi dan menjaga keselamatan serta kebajikan rakyat Pulau Pinang. Justeru, marilah kita memberi sokongan kepada satu sama lain dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di negeri ini: orang Pulau Pinang umpama sekeluarga.

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top