Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Mar 23, 2020 2:43:50 pm

Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi.

Hari ini merupakan hari ke-6 Perintah Kawalan Pergerakan. 

Saya sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan anda semua. Semoga Pulau Pinang dan Malaysia dilindungi daripada bala penyakit. 

Dengan penuh rasa sedih dan hiba, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga seorang pesakit COVID-19 yang meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang semalam, 22 Mac 2020. Pagi ini (23 Mac 2020), dilaporkan angka kematian seluruh negara telah mencecah 11 orang. 

Jumlah kes positif COVID-19 di seluruh negara mencecah 1,306 kes, manakala jumlah kes positif COVID-19 di Pulau Pinang ialah 58 kes setakat jam 12 tengah hari, 22 Mac 2020. 

Ini merupakan situasi yang membimbangkan. Jangan berdegil lagi. Kita mesti mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan dengan tegas.

Sekiranya tidak, tempoh arahan mungkin akan dilanjutkan dan kita akan menghadapi lebih banyak kesukaran. 

Sebagai langkah tambahan, perkhidmatan bas awam Rapid Penang akan dikurangkan sebanyak 70 peratus bermula hari ini. Perkhidmatan bas CAT percuma akan dikurangkan sebanyak 50 peratus. Semua jadual perkhidmatan awam Rapid Penang boleh dirujuk melalui aplikasi telefon pintar Rapid Penang Journey Planner termasuk perubahan masa operasi feri yang juga telah dikurangkan frekuensinya. 

Nasihat saya ialah duduk di rumah, kurangkan pergerakan keluar rumah. 

Gunakanlah perkhidmatan penghantaran untuk membeli barang-barang keperluan anda.

Banyak yang telah berlaku dalam tempoh 24 jam, arahan-arahan baru terpaksa dikeluarkan khususnya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan keselamatan semua.

Contohnya, pada hari pertama pelaksanaan larangan menjaja di tepi jalan membabitkan empat (4) pasar di bahagian pulau, Pasar Awam Air Itam mendapat liputan paling meluas sehingga ada pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja mempolitikkan isu ini seolah-olah ini merupakan kelemahan negeri Pakatan Harapan. Ada pula yang mengaitkannya dengan isu perkauman. 

Saya menolak sekeras-kerasnya tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut. Sejak awalnya saya sudah menegaskan bahawa saya tidak berminat untuk berpolitik dalam isu ini. Kita tidak berbangga sedikitpun walaupun angka kes positif COVID-19 di Pulau Pinang adalah jauh lebih rendah berbanding negeri-negeri lain, termasuk negeri-negeri yang mempunyai kerajaan parti politik yang tidak sama dengan kita. 

Ini bukan masanya kita membeza-bezakan sesama rakyat Malaysia. Mangsa COVID-19 di Pulau Pinang ialah orang Malaysia, mangsa COVID-19 di Johor juga orang Malaysia, mangsa COVID-19 di Kelantan tidak kurang status orang Malaysianya, mangsa COVID-19 di Sarawak, tetap orang Malaysia. Hentikan tindakan mempolitikkan COVID-19. Kita semua mesti menumpukan sepenuh usaha melawan wabak ini sebagai satu negara, dan satu bangsa. 

Hari ini, saya dimaklumkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bahawa keadaan di keempat-empat pasar berkaitan khususnya Pasar Awam Air Itam adalah 90 peratus terkawal. Malah, kebanyakan pasar-pasar awam telah melaksanakan kaedah pecegahan jarak sosial satu (1) meter dengan meletakkan tanda-tanda di lantai. Malah, sebagai tambahan, gerai-gerai tepi jalan di Pasar Awam Pulau Tikus turut akan ditutup berkuat kuasa esok, 24 Mac 2020. Untuk kerja-kerja pembasmian virus iaitu disenfeksi, bagi MBSP, ia dibuat dua (2) hari sekali, manakala meja ikan, sayur serta perniagaan lain akan dibasuh dengan serbuk pembersih setiap hari oleh peniaga, manakala di kawasan kelolaan MBPP, disinfeksi telah dilancarkan di semua pasar awam dan dilaksanakan setiap hari oleh wira-wira barisan hadapan (frontliners) pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Pagi ini, saya telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa COVID-19 Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mendengar taklimat terkini mengenai status COVID-19 di Pulau Pinang dari Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Setakat ini, usaha-usaha yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang adalah untuk menghabiskan saringan terhadap mereka yang berkaitan.

Saya juga menerima taklimat daripada Jabatan Imigresen Malaysia mengenai warga Pulau Pinang yang ke luar negara dan balik dari luar negara.

Begitu juga taklimat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berhubung keputusan membenarkan kilang-kilang tertentu yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services) untuk beroperasi.

Manakala, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula memberi taklimat tentang kedudukan barangan kesihatan seperti hand sanitizer, face mask dan sebagainya serta keadaan barangan keperluan harian yang mencukupi ketika ini.

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pulau Pinang juga memberi taklimat mengenai larangan bekerja, isu gaji dan sebagainya yang berkaitan.

Saya berharap kita akan memberi sokongan dan galakan antara satu sama lain dalam tempoh yang begitu mencabar ini. Saya yakin rakyat Pulau Pinang dan rakyat Malaysia mampu mengharungi tempoh kesukaran ini bersama-sama.

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top