Mesej Ketua Menteri

Mar 21, 2020 12:42:45 pm

Rakyat Pulau Pinang yang dikasihi.

Hari ini merupakan hari ke-4 Perintah Kawalan Pergerakan. Semoga anda dan keluarga anda berada dalam keadaan sihat walafiat di rumah masing-masing. 

Ayuh kita teruskan usaha melawan COVID-19 bersama-sama. Sementara warga perubatan kita bertungkus-lumus bekerja di hospital-hospital dan klinik-klinik, kita jangan menambahkan lagi beban kepada pasukan perubatan dengan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan. Duduk baik-baik di rumah masing-masing.

Seperti yang saya maklumkan kelmarin, saya telah menghadiri mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara berkaitan pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.

Berikut merupakan beberapa keputusan mesyuarat berkaitan negeri Pulau Pinang yang telah saya bangkitkan sebagaimana dijanjikan: 

PERTAMA, Ketua Menteri dan Menteri Besar bagi setiap negeri dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri yang akan bertindak sebagai jawatankuasa utama bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di peringkat negeri. 

Pengerusi mempunyai kuasa untuk mengarahkan agensi-agensi penguatkuasaan mengambil tindakan bagi memastikan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan.

KEDUA, YAB Perdana Menteri bersetuju bahawa semua kilang yang tidak berada dalam kategori perkhidmatan penting (essential services) perlu ditutup mengikut Perintah Kawalan Pergerakan. 

Justeru, saya menyeru agar kilang yang tidak berada di dalam senarai berkaitan supaya mengambil langkah perlu demi keselamatan semua dan sekiranya perlu, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap ketidakpatuhan ini. 

KETIGA, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memaklumkan bahawa mereka telah membuat persiapan untuk memastikan bekalan peralatan perubatan adalah mencukupi. 

KEEMPAT, berkaitan pelitup muka ataupun face mask, Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan memastikan kilang-kilang tempatan dapat membekalkan pelitup muka dengan secukupnya memandangkan kini sudah ada sekatan eksport terhadap barangan berkenaan. Kerajaan Pusat juga akan cuba mendapatkan bantuan daripada pembekal dari Negara China berhubung perkara yang sama. 

Umumnya, saya tahu dan faham bahawa ketiadaan bekalan pelitup muka membimbangkan orang ramai. Walaupun Kerajaan Pusat telah memberikan maklum balas di atas, Kerajaan Negeri juga akan berusaha sedaya-upaya untuk mendapatkan bekalan pelitup muka bagi kegunaan rakyat negeri Pulau Pinang. Saya akan memaklumkan kepada anda semua dengan serta-merta sekiranya kami berjaya memperoleh bekalan tersebut.

Buat masa kini, saya menyeru supaya anda terus kekal duduk di rumah dan kurangkan pergerakan keluar rumah. Hanya keluar rumah jika anda terlibat di dalam perkhidmatan penting ataupun essential services, untuk membeli makanan dan keperluan asas ataupun atas faktor kecemasan nyawa. Aktiviti sosial seperti berjalan-jalan, membeli-belah, melepak mahupun bersukan di kawasan awam adalah tidak digalakkan, malah ditegah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. 

Sebagai tambahan, ekoran maklum balas yang saya terima pagi ini mengenai kesesakan di kawasan pasar khususnya di bahagian pulau, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebentar tadi telah mengumumkan bahawa gerai-gerai penjaja (termasuk penjaja makanan) tepi jalan di Pasar Awam Air Itam; Pasar Awam Bayan Baru; Pasar Awam Jalan Perak; dan Pasar Awam Jelutong (dikecualikan untuk penjaja sayur  kerana tiada gerai sayur di dalam premis pasar) akan ditutup bermula esok, 22 Mac 2020. Ini adalah bagi menggelakkan orang ramai daripada berkerumun dan berkumpul di lokasi-lokasi berkaitan. 

Malah, bagi pihak Perbandanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), tiada bacaan meter penggunaan air akan dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini dan bagi semua urusan, umum adalah digalakkan menggunakan sistem online. 

Sebagai peringatan, rujuk saluran rasmi bagi maklumat yang sahih dan tepat.  Bagi platform media sosial, sila rujuk laman Facebook rasmi saya, https://www.facebook.com/ChowKonYeow/ atau laman kempen Penang Lawan COVID-19, www.facebook.com/penanglawancovid19 ; laman web, www.PenangLawanCovid19.com. Hubungi Bilik Gerakan Special Task Force COVID-19 Kerajaan Negeri Pulau Pinang di talian Hotline, 04 – 262 1207 / 04 – 262 1819 yang beroperasi 24 jam setiap hari.

Sebagai Ketua Menteri, saya ingin ulangi bahawa saya tidak akan membenarkan rakyat Pulau Pinang diancam oleh wabak ini dengan tidak mengambil tindakan tegas.

Penang Lawan COVID-19!

CHOW KON YEOW

Back to top