Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Mar 19, 2020 4:15:47 pm

Hari ini merupakan hari kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. 

Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Pulau Pinang yang telah mematuhi arahan untuk tinggal di rumah dan mengurangkan pergerakan masing-masing. 

Serentak itu, saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan ataupun frontliners seperti petugas-petugas perubatan; polis; bomba dan penyelamat; pegawai serta kakitangan pihak berkuasa tempatan; barisan pekerja swasta dalam sektor-sektor penting dan mereka yang terlibat di agensi-agensi kerajaan dalam memastikan operasi pentadbiran Kerajaan Negeri terus berfungsi. 

Pada hari ini, sidang media saya dianjurkan tanpa kehadiran fizikal pihak-pihak media adalah demi menyahut seruan pelaksanaan yang lebih tegas Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan. Sidang media ini disiarkan secara langsung iaitu menerusi Facebook Live di laman peribadi saya iaitu https://www.facebook.com/ChowKonYeow/. Dengan ini, saya berharap rakan-rakan media akan memahami tujuan Kerajaan Negeri berbuat demikian. Segala pertanyaan boleh dituju kepada saya melalui siaran Facebook Live ini. 

Pagi ini, saya sendiri telah ke Bilik Gerakan Negeri Pulau Pinang di Tingkat 7, Komtar yang mana pasukan Special Task Force COVID-19 dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersiap-sedia berkhidmat dalam tempoh 24 jam untuk bersama-sama seluruh rakyat negeri ini bersepakat melawan wabak ini. Selaras itu, talian Hotline, 04 – 262 1207 / 04 – 262 1819 turut diwujudkan bagi sebarang maklumat lanjut umum. 

Bagi platform media sosial, sila rujuk laman-laman rasmi www.facebook.com/penanglawancovid19 dan www.PenangLawanCovid19.com bagi mendapatkan maklumat sahih dan tepat. 

Di samping itu, semalam, pihak penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MPSP) mengambil pendekatan yang sederhana terhadap mereka serta pihak yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan. Ini kerana, kemungkinan ramai lagi yang tidak tahu, ataupun tidak faham ataupun tidak biasa lagi dengan Perintah tersebut memandangkan ianya baharu dilaksanakan pada hari pertama. 

Pada hari ini juga, saya telah menghadiri taklimat yang diadakan pihak PBT dan saya telah mengarahkan MBPP serta MBSP untuk mengetatkan lagi tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan tersebut demi kepentingan semua pihak di Negeri Pulau Pinang.  

Malah, pagi ini, saya turut menerima WhatsApp bertajuk ‘Mesej Daripada Doktor di Hospital Pulau Pinang’ yang telah diviralkan. Saya dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang bahawa ia adalah PALSU dan TIDAK BENAR sama sekali. Adalah ditekankan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dalam bersama-sama menangani penularan wabak ini termasuk makluman pembekalan peralatan di Hopital Pulau Pinang. 

Sebagai Ketua Menteri, saya tidak akan membenarkan rakyat Pulau Pinang terancam oleh wabak ini dengan tidak mengambil tindakan tegas.

Kerajaan Negeri akan terus bekerja keras bersama-sama dengan seluruh rakyat negeri ini memerangi wabak COVID-19. 

Penang Lawan COVID-19!!

CHOW KON YEOW

Back to top