Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Mar 18, 2020 6:04:00 pm

Hari ini merupakan hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara. Saya berharap rakyat Pulau Pinang kekal bertenang. Kita memerlukan kesabaran dan ketabahan mental untuk berdepan dengan cabaran dalam tempoh 14 hari ini. 

Terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang yang telah memberikan kerjasama mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Marilah kita sama-sama memastikan disiplin mengurangkan pergerakan di luar rumah demi mengawal perebakan wabak COVID-19. 

Sebagaimana dijanjikan Kerajaan Negeri dan barisan EXCO, kita akan tetap bekerja dan berfungsi untuk memastikan kelancaran segala urusan di Negeri Pulau Pinang.

Pada hari ini, saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyerahkan 10 kotak Peralatan Perlindungan Diri (Personal Protective Equipment - PPE) berupa jubah pembedahan (280 helai) kepada Hospital Pulau Pinang bagi melindungi wira-wira barisan hadapan (our frontliners) dalam melawan wabak COVID-19 ini. 

Walaupun sektor kesihatan bukan dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri, namun kami akan terus memberikan sokongan termasuk daripada segi kewangan kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKNPP) untuk memastikan kelengkapan mencukupi dalam "perang" lawan COVID-19 ini. Kami menghargai jasa wira-wira barisan hadapan dalam usaha mereka melindungi rakyat Pulau Pinang dan juga rakyat Malaysia.

Selain itu, pihak kami juga menerima banyak pertanyaan orang awam tentang maklumat lanjut tatacara Perintah Kawalan Pergerakan. Kebanyakannya adalah mengenani sama ada premis perniagaan mereka perlu ditutup atau tidak, pergerakan keluar sempadan negeri dan sebagainya.

Dengan ini , saya meminta serta menyeru agar rakyat Pulau Pinang kekal bertenang. Kami akan memuat naik maklumat-maklumat tersebut di laman Facebook, Penang Lawan COVID-19 di alamat seperti berikut:

www.facebook.com/penanglawancovid19 

Serentak itu, sebuah laman web Penang Lawan COVID-19 juga sedang dalam proses untuk diwujudkan sebagai platform capaian maklumat kepada orang awam. Alamat laman web adalah seperti berikut:

www.PenangLawanCovid19.com

Laman web tersebut dijangka dilancarkan pada 19 Mac 2020.

Menerusi laman berkaitan, semua maklumat terkini akan dimuat naik selain saluran-saluran rasmi sedia ada termasuk platform komunikasi rasmi lain di bawah Kerajaan Negeri.

Pada masa sama, rakyat Pulau Pinang juga boleh menghubungi wakil rakyat masing-masing untuk pertanyaan lanjut. Walaupun pusat-pusat khidmat wakil rakyat ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Perjalanan, namun pasukan wakil rakyat masih lagi boleh dihubungi untuk memberikan perkhidmatan tertentu kepada orang ramai.

CHOW KON YEOW

Back to top