Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Jan 20, 2021 6:57:37 pm

Salam sejahtera rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. 

Sebentar tadi, berlangsungnya Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara: Pengurusan COVID-19 Bilangan 7 Tahun 2021 dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri secara sidang video yang mana saya telah berkongsi dan memberi maklum balas berhubung beberapa perkara iaitu:- 

(i) Bersetuju dengan saranan YAB Perdana Menteri bahawa pemerkasaan usaha dalam menghadapi pandemik COVID-19 turut melibatkan setiap negeri yang mana pendekatan berkaitan membolehkan senario pencegahan secara ‘micromanage’ khasnya mengikut lokaliti dapat dilaksanakan berasaskan trend jangkitan;

(ii) Dengan ini, Pulau Pinang akan melakukan penstrukturan semula jawatankuasa teknikal sedia ada bagi membolehkan ia berfungsi dengan lebih efektif termasuk pada aspek penguatkuasaan, pendidikan umum dan perkongsian maklumat pada peringkat komuniti secara lebih berkesan; 

(iii) Menunggu maklum balas lanjut daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung permohonan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah di (a) Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), Jawi, Seberang Perai Selatan dan (b) Tapak Pesta Pulau Pinang, Sungai Nibong, Daerah Timur Laut menerusi peruntukan tambahan di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini; 

(iv) Butir-butir lanjut akan diperinci serta dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri COVID-19 pada hari esok, 21 Januari 2021;

(v) YAB Perdana Menteri memaklumkan bahawa setiap pemimpin tertinggi negeri akan dihubungi berhubung Pelan Imunisasi Kebangsaan sebagai keseragaman bekalan vaksin ke setiap negeri termasuk Pulau Pinang. 

Sekian, terima kasih. 

CHOW KON YEOW

Back to top