Mesej Ketua Menteri Pulau Pinang

Jan 11, 2021 11:37:19 pm

Salam sejahtera kepada seluruh rakyat Pulau Pinang yang saya kasihi. 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyeru rakyat negeri ini supaya menerima keputusan dan memberikan kerjasama demi menjayakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh dua minggu mulai 13 Januari hingga 26 Januari 2021. 

Kita perlu faham bahawa PKP adalah amat diperlukan apabila terdapat penambahan kes COVID-19 yang mendadak sehingga hampir melumpuhkan sistem perubatan awam negara kini. 

Justeru, semua sektor ekonomi perlu membuat penyesuaian untuk mengurangkan impak negatif terhadap pembangunan sosio-ekonomi negeri. Ini kerana, sekiranya kita tidak dapat memenangi pandemik COVID-19, kesejahteraan ekonomi juga tidak akan terjamin. 

Berlandaskan pengumuman ini, mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) COVID-19 Pulau Pinang akan bersidang pada pagi esok, 12 Januari 2021 bagi memperhalusi dengan lebih lanjut prosedur operasi standard (SOP) berhubung pelaksanaan PKP dalam tempoh dua minggu di negeri ini. 

Dalam pada itu, adalah diharapkan semua untuk terus bertenang, patuhi SOP dan terus amalkan amalan 4P dalam bersama-sama memutuskan rantai perebakan pandemik COVID-19. 

Penang Lawan COVID-19! 

CHOW KON YEOW

Back to top